Kitab Ilmu Pengetahuan
|
Keutamaan Ilmu Pengetahuan
Di dalam al-Quran al-Karim terdapat
banyak sekali ayat-ayat yang menunjukkan kepada keutamaannya ilmu pengetahuan
itu. Di antaranya ialah:
“Allah telah menyaksikan
bahawasanya tiada Tuhan melainkan Dia jua, begitu pula para Malaikat dan para
ahli ilmu pengetahuan turut menyaksikan sama, iaitu Tuhan yang berdiri di atas
keadilan.” (ali-Imran: 18)
Perhatikanlah
pada ayat yang tersebut di atas itu, bagaimana Allah s.w.t. telah memulakan
penyaksian itu dengan diriNya sendiri, keduanya dengan para Malaikat dan
sesudah itu dengan para ahli ilmu pengetahuan. Itu saja sudah cukup untuk
membuktikan, betapa tingginya keutamaan ilmu pengetahuan dan kelebihannya.
Allah
berfirman pula:
“Allah
telah mengangkat orang-orang yang beriman dari golongan kamu, dan begitu pula
orang-orang yang dikurniai ilmu pengetahuan beberapa
darjat.” (al-Mujadalah: 11)
“Katakanlah: Tiada serupa
orang-orang yang berilmu pengetahuan dengan orang-orang yang tiada berilmu
pengetahuan.” (az-Zumar: 9)
“Hanyasanya orang yang takut kepada
Allah dari golongan hamba-hambaNya itu, ialah orang-orang yang berilmu
pengetahuan.” (Fatir: 28)
“Andaikata mereka mengembalikannya
(berita itu) kepada Rasul dan kepada orang-orang yang memegang urusan
pemerintahan diantara mereka, tentulah halnya telah dimengerti oleh orang-orang
yang menelitinya dalam golongan mereka itu”. (an-Nisa’: 83).
Jadi hukum mengenai perkara-perkara
yang berlaku itu harus dikembalikan kepada kebijaksanaan orang-orang yang
berilmu pengetahuan, kerana martabat mereka ditingkatkan dengan martabat para
Nabi dalam menyingkap hukum-hukum Allah s.w.t.
Adapun
Hadis-hadis yang berkenaan dengan keutamaan ilmu pengetahuan ada banyak juga,
seperti:
"Siapa
yang dikehendaki baik oleh Allah s.w.t., maka Allah akan meluaskan
pengetahuannya dalam hukum-hukum agama dan akan diilhamkanNya petunjuk di
dalamnya"
“Para ulama itu adalah warisan para
Nabi”.
Tentulah
tiada martabat yang lebih tinggi dari martabat kenabian, dan tiada kemuliaan
yang lebih utama dari kemuliaan mewarisi martabat itu.
Rasulullah
s.a.w. bersabda:
“Apabila datang kepadaku satu hari,
sedang pada hari itu aku tiada bertambah ilmu pengetahuan untuk mendekatkan
diriku kepada Allah azzawajalia, maka tiada akan diberkati bagiku terbitnya
matahari hari itu.”
Sabda
Rasulullah s.a.w. dalam menentukan kelebihan ilmu pengetahuan atas segala rupa
ibadat dan penyaksian, katanya:
“Keutamaan seorang yang berilmu
pengetahuan ke atas seorang yang banyak ibadatnya, laksana keutamaanku ke atas
serendah-rendah orang dari golongan sahabatku.”
Cubalah
perhatikan, betapa itmu pengetahuan itu dipersamakan seiring dengan darjat
kenabian, dan betapa pula direndahkan martabat sesuatu amalan yang sunyi dari
ilmu pengetahuan, sekalipun orang yang beribadat itu cukup mengetahui dengan
ibadat yang ia lakukan itu sehari-harian, kerana kiranya ibadat itu
ditunaikan tanpa ilmu pengetahuan, tentulah ianya tidak boleh dinamakan ibadat.
Rasulullah s.a.w. bersabda lagi:
“Kelebihan seorang alim atas seorang
'abid, laksana kelebihan bulan purnama ke atas seluruh bintang-gemintang.”
Di
antara wasiat Luqman al-Hakim terhadap anaknya ialah;
Wahai anakku! Pergauilah para
alim-ulama dan rapatilah mereka dengan kedua lututmu, sebab Allah s.w.t.
menghidupkan hati dengan nur (cahaya) hikmat, sebagaimana Dia menghidupkan bumi
dengan hujan lebat dari langit.
Keutamaan belajar
Adapun ayat-ayat al-Quran yang
berhubung dengan keutamaan belajar itu, di antaranya ialah:
“Mengapa tidak ada sekelompok
pun dari setiap golongan mereka itu yang berangkat untuk menambah ilmu
pengetahuan agama.” (at-Taubah: 122)
“Maka tanyakanlah para ahli ilmu
pengetahuan, kiranya kamu tiada mengerti.” (an-Nahal: 43)
Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Barangsiapa menempuh suatu jalan
untuk menuntut ilmu pengetahuan, maka Allah s.w.t. akan melorongkan baginya
jalan ke syurga.”
“Andaikata anda berangkat untuk
mempelajari suatu bab dari ilmu pemgetahuan, adalah lebih utama dari anda
bersembahyang seratus rakaat.”
“Menuntut ilmu adalah wajib di atas
setiap orang Muslim.”
Abu
Darda’ berkata:
"Kiranya
saya dapat mempelajari suatu masalah, itu adalah lebih saya cinta daripada saya
bangun beribadat sepanjang malam."
"Orang alim dan orang yang
menuntut ilmu itu, adalah dua orang yang berkongsi dalam kebaikan. Sementara
orang-orang selain keduanya adalah sesia belaka. Tiada bangun sama sekali.
Iman
Syafi’i.r.a. berkata pula:
"Menuntut ilmu itu lebih
utama dari sembahyang sunnat."
Berkata
Fatah al-Maushili rahimahullah:
"Bukankah si pesakit itu bila
tidak diberikan makan atau minum ubat, ia akan mati!"
Orang
ramai menjawab:
"Benar katamu!"
Dia
berkata pula:
"Demikian pulalah sifatnya
hati, kiranya ia tidak diberikan hikmat dan ilmu pengetahuan selama tiga
hari saja, akan matilah ia."
Sungguh
tepat sekali ucapan Fatah al-Maushili itu, kerana makanan hati ialah ilmu
pengetahuan dan hikmat, dan dengan kedua benda itulah ia boleh hidup,
sebagaimana tubuh badan itu hidup dengan makanan, Seorang yang tiada mempunyai
ilmu pengetahuan, hatinya menjadi sakit dan kematiannya sudah pasti. Akan
tetapi ia tidak akan merasakan yang demikian itu, kerana kecintaannya kepada
dunia dan kesibukannya tentang dunia itu akan melenyapkan perasaannya. Kita
berlindung dengan Allah pada hari di mana segala tabir akan tersingkap.
Sesungguhnya manusia itu sedang nyenyak dalam tidurnya, nanti ia bila mati akan
tersedar.
Berkata Ibnu Mas’ud r.a.:
"Hendaklah kamu mencari ilmu
pengetahuan sebelum ianya terangkat, dan terangkatnya ilmu pengetahuan itu
dengan kematian ahli-ahlinya. Seseorang kamu tiada dilahirkan sebagai orang
yang sudah pandai. Jadi ilmu pengetahuan itu akan dicapai hanya dengan belajar."
Keutamaan mengajar
Ayat-ayat al-Quran mengenai
keutamaan mengajar ini, ialah di antaranya firman Allah Ta’ala:
“Hendaklah mereka memberikan
peringatan kepada kaumnya, apabila telah kembali kepada mereka nanti, moga-moga
mereka berhati-hati.” (at-Taubah: 122)
Maksudnya
ialah memperingatkan mereka itu dengan pelajaran dan petunjuk yang
diperolehinya.
“Dan di waktu Tuhan mengambil janji
orang-orang yang diberikan olehnya kitab; iaitu hendaklah kamu sekalian
menerangkan perkara-perkara yang tersebut di dalam kitab itu, dan jangan sampai
kamu menyembunyikannya.” (ali-Imran: 187)
Maksudnya
ialah mewajibkan orang yang berilmu itu menyebarkan ilmunya dengan mengajar.
“Ada sebahagian dari mereka itu yang
menyembunyikan kebenaran, sedangkan mereka itu mengetahui
(hukumnya).” (al-Baqarah: 146)
Maksudnya menghukumkan salah atau
haram orang yang menyembunyikan ilmu pengetahuanya, sebagaimana dihukumkan
haram pula orang yang menyembunyikan penyaksiannya.
Firman
Allah Ta’ala:
“Barangsiapa
menyembunyikannya (penyaksian), maka berdosalah hatinya.” (al-Baqarah: 283)
“Siapakah orang yang lebih baik
ucapannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan berbuat
kebaikan.” (Fushshilat: 32)
Allah
berfirman lagi:
“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan
kebijaksanaan dan nasihat yang baik.” (an-Nahal: 125)
“Dan dia mengajarkan kepada mereka
(kandungan) kitab dan kebijaksanaan.” (al-Baqarah: 151)
Adapun Hadis-hadis yang menunjukkan
tentang keutamaan mengajar, umpamanya pesanan baginda Rasulullah s.a.w. ketika
mengirim Mu’az ke Yaman, bunyinya:
“Andaikata Allah s.w.t memberikan
hidayat kepada seorang dari hasil usahamu, adalah
lebih baik bagimu dari dunia dan
seisinya.”
Sabda
Rasulullah s.a.w.
“Sesiapa yang mengetahui sesuatu
ilmu lalu disembunyikannya, niscaya di Hari Kiamat nanti, ia akan dikekang oleh
Allah s.w.t. dengan tali kekang dari api neraka.”
“Sesungguhnya Allah s.w.t. dan para
MalaikatNya, begitu juga penghuni langit dan buminya, sehingga semut yang
berada di lubangnya dan ikan yang di lautan, semuanya memohon rahmat bagi orang
yang mengajarkan kebaikan kepada orang ramai.”
“Apabila
seorang anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah amalannya melainkan dalam
tiga perkara: iaitu sedekah jariah (yang berterusan), ilmu yang dimanfaatkan
dan anak yang saleh yang mendoakan
baginya.”
“Orang yang menunjuk ke jalan
kebaikan sama saperti mengerjakan baginya.”
Ada satu sabda lagi berbunyi: " Moga-moga Allah mencucurkan rahmatNya ke atas
Khalifah-khalifahku." Baginda lalu ditanya: " Siapakah mereka
khalifah-khalifahmu?" Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: " mereka
itu adalah orang-orang yang menghidupkan sunnatku serta mengajarkannya kepada
hamba-hamba Allah."
Dari atsar pula, apa yang
diriwayatkan dari Mua’z, katanya: " Pelajarilah ilmu pengetahuan,
sebab mempelajarinya kerana Allah adalah tanda takut kepadaNya, menuntutnya
adalah ibadat, menelaahnya adalah tasbih, mencarinya adalah jihad,
mengajarkannya kepada orang yang belum mengetahui adalah sedekah, memberikannya
kepada ahlinya adalah kebaktian. Dialah kawan dalam masa kesepian dan teman
dalam masa kesunyian. Dialah petunjuk jalan kepada agama, dan pendorong
kesabaran dalam masa kepayahan dan kesempatan."
Allah mengangkat setengah-setengah
kamu karena ilmu pengetahuannya, maka dijadikannya pemimpin, penghulu dan
penunjuk jalan kebaikan yang diikut oleh orang ramai. Orang yang berilmu
pengetahuan itu juga menjadi model utama dalam amalan kebajikan, dicontohi
segala jejak-langkahnya, dan dituruti segala kelakuannya.
Dengan ilmu pengetahuan seorang
hamba itu akan sampai ke peringkat orang-orang yang terpuji ketaatannya dan
tertinggi kedudukannya. Memikirkan perihal ilmu pengetahuan setanding pahalanya
dengan berpuasa, dan menelaahnya setanding pahalanya dengan bangun beribadat di
tengah malam. Dengan ilmu pengetahuanlah manusia mentaati Allah Azzawajalla,
memperhambakan diri kepadaNya, MengEsakanNya dan membesarkanNya.. Dengan ilmu
pengetahuan juga manusia boleh mencapai darjat kewajiban kewara’an, dan
dengannya pula manusia menyambung silatur-rahmi. Dengan ilmu pengetahuan juga,
ia akan mengenal yang halal dan yang haram. Ilmu pengetahuan itu adalah
diumpamakan sebagai pembimbing, manakala amalan pula menjadi pengikutnya, dan
berbahagialah orang yang menerima ilham dari ilmu pengetahuan, dan celakalah
orang yang terhalang dari ilmu pengetahuan.
Berkata al-Hassan r.a.:
" Kalaulah tidak kerana para
ulama, niscayalah manusia sekaliannya sama seperti binatang."
Maksudnya
dengan adanya para ulama yang mengajar manusia terkeluarlah mereka dari peringkat-peringkat
kebinatangan dan memasuki peringkat kemanusiaan.
Ilmu yang fardhu ‘ain
Bersabda Rasulullah s.a.w.:
“Menuntut
ilmu itu adalah wajib atas setiap
Muslim.”
Termasuk
ilmu yang dikatakan fardhu ‘ain itu, ialah ilmu pengetahuan yang bakal
mengenalkan asas tauhid (MengEsakan Allah) yang dengannya pula dapat diketahui
Zat Allah Ta’ala dan sifat-sifatNya.
Termasuk
fardhu ‘ain juga ilmu pengetahuan yang dengannya dapat dituntut cara-cara
beribadat,dibedakan antara yang halal dan yang haram, dan mana satu yang
dilarang oleh agama, dan mana yang pula yang dibolehkan dalam urusan agama, dan
mana pula yang dibolehkan dalam urusan hidup sehari-hari.
Termasuk juga ilmu yang fardhu ‘ ain
ialah ilmu yang mengenalkan hal-ehwal hati, mengenai sifat-sifatnya yang
terpuji, seperti bersabar, bersyukur, bermurah hati, berakhlak tinggi, bergaul
baik, berkata benar dan iklas. Begitu juga dengan sifat-sifatnya yang terkeji,
seperti balas-dendam, dengki, menipu, meninggi diri, riya’, marah berseteru,
membenci dan kikir. Maka mengetahui apa-apa yang harus dilakukan dari
sifat-sifat yang pertama dan apa-apa yang harus ditinggalkan dari sifat-sifat
yang kedua itu adalah fardhu ‘ain. Seperti mana hukumnya membersihkan hal-hal mengenai
kepercayaan, ibadat atau mu’amalat.
0 comments:
Post a Comment