Kitab
Adab Membaca al-Quran
|
Allah s.w.t. telah mengurniakan ke
atas hamba-hambaNya dengan mengutuskan NabiNya (Muhammad s.a.w.) dan menurunkan
kitaNya (al-Quran) yang tiada didatangi kebatilan dari hadapan atau dari
belakang, sehingga terbentang luas bagi para ahli fikir jalan mengambil I’tibar
atau contoh tauladan daripadanya; iaitu dikeranakan ianya mengandungi banyak
cerita dan berita. Dengan adanya al-Quran, nyata dan teranglah bagi ummat
manusia jalan kukuh yang harus ditujui dan titian lurus yang harus dilalui,
kerana di dalam al-Quran itu terdapat berbagai-bagai hukum yang memperbedakan
di antara yang halal dengan yang haram. Al-Quran itu laksana cahaya yang
menerangkan yang aman dengannya manusia akan terselamat daripada kemegahan
diri, dan sebagai penawar yang mengubati segala jenis penyakit yang bersaarang
di dalam hati. Barangsiapa berpegang teguh dengan al-Quran, niscaya ia akan
terbimbing untuk mendapat petunjuk dan barangsiapa mengamalkan kandungannya
niscaya ia akan berjaya dan bahagia.
Berfirman
Allah di dalam al-Quran:
“Sesungguhnya Kami (Allah)
menurunkan peringatan (al-Quran) dan Kami pasti memeliharanya.”
(al-Hijr. 9)
Di
antara sebab-sebab yang menentukan terpeliharanya al-Quran di dalam hati
sanubari dan di dalam mashaf-mashaf, ialah mengamalkan pembacaannya selalu dan
mendalami maksud-maksudnya terus-menerus dengan memerhatikan adab-adab dan
syarat-syaratnya, kemudian menurut segala arahan yang terkandung di dalamnya
tentang amalan-amalan kebatinan dan tata kesopanan yang lahir. Yang demikian
itu amatlah penting sekali untuk diterangkan dan diperincikan.
Keutamaan
al-Quran dan pembacanya
Rasulullah
s.a.w telah bersabda:
“Barangsiapa membaca al-Quran
kemudian ia merasakan ada orang lain yang dikurniakan keutamaan melebihi apa
yang telah di kurniakan Allah kepadanya, maka sebenarnya ia telah
memperkecilkan sesuatu yang telah dibesarkan oleh Allah Ta’ala.”
Sabdanya
yang lain:
“Seutama-utama ibadat ummatku, ialah
membaca al-Quran.”
Sabdanya
lagi:
“Sebaik-baik kamu ialah orang yang
mempelajari al-Quran dan mengajarkannya pula.”
Ibn Mas’ud telah berkata: Sekiranya
anda inginkan ilmu pengetahuan, maka pelajarilah al-Quran, kerana sesungguhnya
al-Quran itu mengandungi ilmu-ilmu para ahli yang terdahulu dan yang
terkemudian.
Berkata
amru Ibnul-‘As: Barangsiapa membaca al-Quran, maka sebenarnya telah berada di
sampingnya darjat kenabian, hanya dia tiada dituruni wahyu saja.
Selanjutnya
ada sebuah Hadis dari Rasulullah s.a.w. yang mencela orang-orang membaca
al-Quran, padahal mereka lalai untuk melaksanakan pengajarannya, sabdanya:
“Tiada dikira beriman dengan
al-Quran orang yang menghalalkan segala larang-larangannya.”
Sabdanya lagi:
“Bacalah al-Quran selagi ia dapat
menegahmu (dari melakukan perkara-perkara yang dilarangnya) maka sekiranya ia
tiada dapat menegahmu berertilah engkau belum membacanya.”
Anas
pula berkata: Sungguh banyak sekali orang yang membaca al-Quran, sedangkan
al-Quran malaknatinya.
Berkata
Ibnu Mas’ud Al-Quran itu diturunkan untuk diamalkan segala ajarannya, maka
hendaklah kamu menjadikan pengajarannya sebagai amalan-amalan yang dibuat
sehari-hari. Sesungguhnya ada orang di antara kamu yang membaca al-Quran dari
awal hingga ke akhirnya, tiada sehuruf pun yang ditinggalkannya, tetapi dia
meninggalkan untuk beramalan dengannya.
Setengah
ulama berkata: Sesungguhnya seorang hamba itu akan membaca Al-Quran, dan ia
akan melaknati dirinya, sedang ia tidak sedar akan kelakuannya; iaitu bila dia
membaca: alaa la’na tullaahi ‘alazh-zhaalimin (Awas! Laknat Allah
ditimpakan ke atas orang-orang yang zalim), padahal orang itu berlaku zalim
terhadap manusia. Ataupun dia membaca: alaa la’natullaahi ‘alal-kaazibiin
(Awas! Laknat Allah ditimpakan ke atas orang-orang yang berdusta), padahal dia
selalu berdusta.
Tertib
lahiriah dalam membaca al-Quran
Dalam membaca al-Quran ada beberapa
hal yang harus diperhatikan iaitu:
Pertama: Hendaklah ia berada dalam keadaan berwudhu’ terus menerus
dengan penuh adab dan tenang. Dia boleh membaca secara berdiri ataupun duduk,
tetapi sebaik-baiknya menghadap kiblat, menundukkan kepala, tidak duduk secara
bersilang kaki, tidak bersandar ataupun duduk seperti duduknya orang-orang yang
sombong (takabbur). Kiranya ia membaca al-Quran tanpa berwudhu’, atau dalam
keadaan berbaring di atas tempat tidur tidak ada salahnya hanya pahalanya
kurang.
Allah
telah berfirman:
“Iaitu mereka yang mengingati Allah
(berzikir) dalam keadaan berdiri dan duduk dan ketika berbaring serta
memikirkan tentang kejadian petala langit dan bumi.”
(al-Imran: 191)
Allah
s.w.t. telah memuji mereka mengingati Allah dan memikirkan penciptaan langit
dan bumi, bermula dengan orang yang berzikir dalam keadaan berdiri, kemudian
yang dalam keadaan duduk dan seterusnya dalam keadaan berbaring.
Kedua: Dalam kadar pembacaan al-Quran setiap hari, kerana bagi
orang-orang yang membaca al-Quran itu ada beberapa cara dan adat dalam
membacanya sama ada banyak atau sedikit. Tetapi cara yang dipilih dari Usman,
Zaid bin Tsabit, Ibnu Mas’ud dan Ubai bin Ka’ab radhiallahu-anhum dilakukan
pengkhataman bacaan Al-Quran pada tiap-tipa hari Juma’at dengan dibahagikan
bacaannya kepada tujuh hizib (bahagian al-Quran)
Ketiga: Membaca Al-Quran dengan tartil atau memperelokkan bacaannya
dengan lagu atau tajwid. Yang demikian itu adalah sangat-sangat dituntut dalam
cara membaca al-Quran, kerana tujuan utama membacanya ialah memikirkan
maksud-maksudnya. Cara membacanya dengan tartil itu akan dapat menolong
memahami maksud-maksudnya. Sebab itu Ummu Salamah r.a. bila membaca al-Quran
sering mencontohi bacaan Rasulullah s.a.w dan membacanya seolah-olah ia sedang
mentafsirkan huruf demi huruf dari al-Quran itu.
Ibnu Abas r.a. pula berkata: Bagiku
jika membaca surah al-Baqarah dan surah ali-Imran dengan penuh tartil dan
memahami semua maksud-maksudnya adalah lebih aku utamakan daripada membaca
seluruh al-Quran secara sambil lalu saja.
Nyatakan,
bahawasanya membaca al-Quran dengan tartil dan tertib satu persatu itu lebih
dekat kepada tanda penghargaan dan penghormatan dan akan meninggalkan kesan
yang mendalam di dalam hati daripada membacanya secara tergesa-gesa dan sambil
lewa saja.
Keempat: Menangis ketika membacanya. Ini adalah sangat dituntut dan
puncanya tentulah dari kehibaan di hati, ketika ia memikirkan tentang ayat-ayat
yang berunsur ancaman dan kecaman serta-serta janji-janji Allah yang disediakan
terhadap orang-orang yang melanggar perintah-perintahNya. Dalam pada itu
hendaklah ia mengira-ngira dirinya yang selalu mencuaikan perintah-perintah
Allah dan laranganNya lalu ia merasa sedih dan hiba, dan pada ketika itu
tentulah ia akan menangis.
Kelima: Hendaklah ia memberikan pada setiap ayat yang dibacanya itu
haknya. Bila sampai membaca ayat Sajadah, hendaklah ia membuat Sujud Tilawah
(Sujud Bacaan). Begitu juga, sekiranya ia mendengar ayat Sajadah itu dibaca
oleh orang lain, hendaklah ia bersujud tilawah juga. Tetapi janganlah bersujud
melainkan ia dalam keadaan suci yakni ada wudhu’. Cara bersujud tilawah itu
ialah bertakbir Takbiratul-ihram dengan mengangkat kedua tangannya dulu, lalu
bertakbir lagi membuat sujud dan sesudah sujud bertakbir pula, kemudian duduk
semula, kemudian salam.
Keenam: Hendaklah ia memuliakan membaca al-Quran itu dengan
terlebih dulu membaca:
“Aku berlindung dengan Allah yang
Maha Mendengar lagi Mengetahui daripada syaitan yang terkutuk”.
Kemudian
teruskanlah membaca ayat al-Quran itu dan bila sampai kepada ayat tasbih,
hendaklah ia bertasbih dan bertakbir. Bila sampai kepada ayat yang memberikan
janji-janji yang baik, hendaklah ia meminta agar diberikan kurnia Allah dan
rahmatNya. Begitu juga bila sampai kepada ayat yang menjanjikan ancaman dan
siksaan, hendaklah ia meminta perlindungan Allah daripadanya. Semua doa ini
boleh dilakukan dengan menyebutnya dengan lidah, yakni memohon dengan berdoa
atau membacanya di dalam hati saja.
Ketujuh: Membaca al-Quran dengan suara
rendah kerana yang demikian itu adaalah lebih selamat daripada riya’ dan
menunjuk-nunjuk kepada orang ramai. Cara ini adalah utama bagi orang yang
bimbang dirinya akan tercebur ke dalam riya’ Tetapi jika ia tiada bimbang akan
timbul sifat riya’ dalam dirinya, dan jika ia membaca dengan suara yang nyaring
itu tiada pula mengganggu orang yang sedang bersembahyang maka dalam keadaan
yang seumpama itu, membaca al-Quran dengan suara yang tinggi atau nyaring itu
lebih utama, sebab kebanyakan bacaan yang diamalkan ialah dengan suara yang
tinggi. Selain itu, membaca dengan suara yang tinggi itu akan menghidupkan hati
dan menarik perhatian untuk memikirkan ayat-ayat yang dibacanya, dan ia juga
akan menolak rasa mengantuk dan menambah tenaga untuk membaca terus dan
mengurangi perasaan malas. Bila lengkap pada diri seseorang itu semua
sifat-sifat yang disebutkan ini, maka hendaklah ia membaca dengan suara yang
tinggi atau nyaring, sebab baginya itulah yang utama.
Kelapan: Memperindahkan bacaan al-Quran dan
mentertibkannya jangan sampai dibacakan terlalu panjang, sehingga merosakkan
susunannya, dan yang demikian itu adalah sunnat hukumnya.
Ada
sebuah Hadis berbunyi:
“Perindahkanlah (bacaan) al-Quran
dengan suara kamu.”
Hadis
yang lain pula:
“Tiada dikira dalam golongan kami,
orang yang tiada membacanya dengan suara yang baik”
maksud
dari suara yang baik di sini, ada yang mengertikan dengan melagukan al-Quran
lain dengan mengiramakannya. Dan yang lain lagi dengan mengulangi-ulangi
iramanya, dan maksud yang terakhir ini lebih dekat pada istilah ahli bahasa.
Pernah
Rasulullah s.a.w. mendengar Abu Musa al-Asy’ari melagukan al-Quran, lantas baginda
bersabda: Sesungguhnya orang ini telah dikurniakan suara seperti seruling
keluarga daud. Dalam suatu riwayat yang lain ada dikatakan bahawa para sahabat
Rasulullah s.a.w bila terkumpul dalam suatu majlis disuruhnyalah salah seorang
di antara mereka membaca suatu surah dari al-Quran.
Tertib
batiniah dalam membaca al_Quran
Dalam
membaca al-Quran secara batiniah tujuh perkara:
Pertama: Memahami kebesaran percakapan
(firman) atau percaya apa yang terkandung di dalam al-Quran dan ketinggiannya,
serta kemahaAgungan Allah s.w.t. dan kemahaRahmatNya ke atas sekalian
makhlukNya dalam menyampaikan segala percakapanNya sesuai dengan fahaman
mereka.
Kedua: Mengagungkan Zat Allah yang
berfirman. Orang yang membaca al-Quran terlebih dulu hendaklah menghadirkan di
dalam hatinya Zat Allah yang berfirman, agas ia sentiasa maklum bahawa segala
firman yang dibacanya itu bukanlah dari percakapan manusia. Dan kemahaAgungan
Allah tidak akan muncul di dalam hati, selagi tiada dapat membayangkan
sifat-sifat kebesaran Allah Ta’ala dan kemahaAgungNya dan segala
perbuatan-perbuatanNya. Andaikata ia dapat menggambarkan di dalam hatinya,
betapa hebatnya Arasy dan Kursi langit dan bumi dan segala isinya daripada jin
manusia, binatang-binatang, pohon-pohonan, dan ia mengetahui dengan penuh
keyakinan, bahawasanya pencipta semua itu dan pengusaannya serta pemberi
rezekinya ialah Satu dan Esa dan segala-galanya adalah di dalam genggaman
kudratNya, sentiasa terdedah di antara menerima kelebihan dan rahmatNya ataupun
menerima siksa dan kemukaanNya. Kiranya Dia (Allah) mengurniakan kenikmatan,
maka demikian itu dengan rahmatNya; dan kiranya Dia meyeksa maka yang demikian
itu adalah dengan keadilanNya. Dengan memikirkan hal-hal yang serupa inilah,
akan hadir di dalam hati penghormatan terhadap Zat yang berfirman; iaitu Allah
s.w.t. dan akan hadir sama juga penghormatan terhadap percakapanNya.
Ketiga: Menghadirkan hati ketika dalam
membaca al-Quran serta meninggalkan segala terlintas dari unsur-unsur lain dan
mengosongkan hati daripanya, agar semua tumpuan terhala kepada bacaan membaca
surah al-Quran sedang hatinya lalai daripadanya, segera akan diulangi semula
pembacaannya. Sifat ini timbul kerana penghormatan yang telah kita bicarakan
sebelum ini, sebab orang yang menghormati percakapan Allah itu, apabila ia
membaca al-Quran itu perkara-perkara yang akan mengembirakan hati, apabila si
pembacanya ahli dalam perkara-perkara itu. Jadi apalah gunanya lagi untuk
mencari kelapangan hati dengan memikirkan selain dari isi al-Quran, kalau
al-Quran sudah boleh memberikannya.
Keempat: Memikirkan erti-erti al-Quran dan
ini akan terlaksana dengan hadirnya hati ketika membaca al-Quran, sebab mungkin
sekali ia tidak memikirkan selain dari al-Quran, tetapi ia hanya mementingkan
pendengaran al-Quran buat dirinya sendiri, sedangkan ia tiada pula memahami
maknanya. Padahal maksud dari membaca al-Quran itu telah memikirkan
makna-maknanya. Kerana itulah disunnatkan membacanya dengan tartil, sebab
tartil pada lahirnya akan membolehkan pembaca memikirkan maknanya secara
batiniah:
Berkata
Ali r.a.: Tiada gunanya sesuatu ibadat yang dilakukakan tanpa ilmu pengetahuan
dan bacaan al-Quran yang dilakukan tanpa memikirkan maknanya.
Andaikata
dia tidak mampu memahami maknanya melainkan dengan berulang-ulang membacanya,
maka hendaklah mengulang pembacaannya itu, kecuali jika dia sedang
bersembahyang di belakang Imam. Pernah diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w
bangun di tengah malam (bersembahyang) membaca suatu ayat yang
diulang-ulanginya berkali-kali.
Kelima: Memahamkan tujuannya iaitu
menerangkan setiap ayat sesuai dengan maksudnya yang sebenarnya, sebab al-Quran
itu mengandungi berbagai-bagai perkara: di antaranya sebutan mengenai
sifat-sifat Allah azzawajalla dan perbuatan-perbuatanNya, cerita dan peristiwa
mengenai para Nabi serta kaum-kaum yang mendustakannya dan bagaimana pula
mereka telah menemui ajal mereka masing-masing Al-Quran juga mengandungi
perintah-perintah Allah dan larangan-laranganNya, dan berita-berita mengenai
syurga dan neraka.
Mengenai
sifat-sifat Allah azzawajalla, firmaNya:
“Tiada sesuatu pun yang
menyerupaiNya dan Dia (Allah) Maha Mendengar lagi
Melihat.”
(as-Syura: 11)
“Dia (Allah) adalah Maha Raja Maha
Suci, Maha Penyelamat, Maha Pembawa Keamanan, Maha Pelindung, Maha Mulia, Maha
Perkasa dan Maha Meninggi Diri.”
Maka
sewajarnyalah setiap manusia memerhatikan pengertian dari nama-nama dan sifat
Allah tersebut, agar tersingkap baginya rahsia-rahsianya.
Adapun
mengenai perbuatan-perbuatan Allah Ta’ala itu, iaitu seperti yang disebutkan
dalam ayat-ayat mengenai penciptaanNya terhadap petala langit dan bumi dan
sebagainya, maka sewajarnyalah si pembaca tadi memahami pula sifat yang
bagaimana yang disifati oleh Allah Ta’ala, kerana perbuatan itu menunjukkan
adanya yang mencipta dan demikian pula terbuktilah bahawa kebesaran
penciptaanNya itu menunjukkan kepada kebesaran Pencipta. Dan adalah wajar
sekali bagi seseorang menyaksikan dalam sesuatu penciptaan itu penciptanya,
bukan semata-mata mementingkan penciptaannya saja. Orang yang sudah kenal
kepada yang hak, tentulah akan melihat hak itu pada setiap sesuatu.
Maka
oleh itu, apabila seseorang membaca firma Allah Ta’ala seperti berikut:
“Tidakkah
kamu perhatikan apa yang kamu tanam?
(al-Waqi’ah: 63)
“Tidakkah
kamu perhatikan air mani yang kamu tumpahkan?”
(al-Waqi’ah: 58)
“Tidakkah
kamu perhatikan air yang kamu minum?”
(al-Waqi’ah: 68)
“Tidakkah kamu perhatikan
apa yang kamu nyalakan?” (al-Waqi’ah: 71)
Maka
janganlah pemandangannya hanya tertuju kepada air, api, tanaman dan air mani
semata-mata, malah hendaklah ia memerhatikan lebih jauh dari itu. Misalnya air
mani mula-mula ia hanya merupakan setitik air saja yang sama rupanya, kemudian
hendaklah ia memerhatikan betapa setitik air itu boleh berubah menjadi beberapa
bahagian seperti daging, tulang-belulang, urat-urat dan otot. Kemudian
bagaimana pula bahagian-bahagian ini terbentuk menjadi anggota-anggota badan
seperti kepala, tangan, kaki, jantung, hati dan lain-lain lagi. Kemudian dari
anggota-anggota tersebut terbentuk pulalah sifat-sifat yang mulia bagi manusia,
dari sifat-sifat pendengaran, penglihatan, akal fikiran dan lain-lain lagi.
Kemudian muncul pula daripadanya, sifat-sifat yang tercela seperti sifat-sifat
kemarahan, kesyahwatan, kecongkakan, kebodohan, kebohongan dan penentangan,
sebagaimana yang boleh difirmankan oleh Allah Ta’ala.
“Tidakkah manusia itu melihat
bahawasanya Kami (Allah) telah menciptakannya dari setitik air mani, tiba-tiba
ia menjadi pula seorang penentang yang nyata.” (Yasin: 77)
Cubalah
kita perhatikan perkara-perkara ajaib ini, agar kita boleh dapat meningkat pula
kepada perkara-perkara yang lebih besar lagi ajaibnya; iaitu penciptaan yang
daripadanya muncul segala ajaib-ajaib ini, dan setiap kali kita memerhatikan
kepada penciptaannya, kita akan sedar di sana ada penciptanya pula.
Adapun
hal-ehwal para Nabi alaihimus-salam, apabila dalam suatu peristiwa, mereka itu
telah dibohongi, didustai, dianiayai dan sebahagian pula dibunuh. Nanti di
lain-lain tempat pula, kita dapati mereka itu akan menang juga akhirnya,
disebabkan pertolongan Allah s.w.t. Dengan itu fahamlah kita, bahawa
segala-gala itu adalah dengan kemahuan dan kehendak Allah azzawajalla dan Dia
sentiasa akan memberikan pertolongan kepada kebenaran.
Adapun
mengenai hal-ehwal kaum yang mendustakan para Nabi itu seperti kaum ‘Ad dan
Tsamud, dan apa yang telah berlaku ke atas diri mereka itu, hendaklah dijadikan
fahaman itu sebagai tanda perasaan takut terhadap balasan Allah dan seksaanNya,
kemudian hendaklah kita mengambil contoh tauladan dari peristiwa itu bagi diri
kita.
Keenam: Meninggalkan perkara-perkara yang
boleh menyukarkan untuk memahami maksud-maksud al-Quran. Kebanyakkan orang
terhalang dari memahami maksud-maksud al-Quran kerana beberapa sebab, atau
tabir-tabir yang ditutup oleh syaitan ke atas hati mereka, sehinggakan butalah
matahari itu dari memahami keajaiban-keajaiban rahsia al-Quran.
Salah
satu dari tabir-tabir yang menghalang untuk memahami maksud al-Quran itu, ialah
terlalu mengambil berat untuk menentukan setiap huruf itu keluar dari
makhrajnya yang betul. Perkara serupa ini sering berlaku dan syaitan yang
bertugas untuk mengacau orang-orang yang membaca al-Quran itu sering cuba
mengelirukan si pembaca, agar ia terhalang dari memahami makna-makna Kalamullah
azzawajalla. Syaitan itu akan terus menggoda si pembaca dengan membisikkan
bahawa bacaannya tidak betul dan bunyinya tidak tepat menurut makhraj
huruf-hurufnya lalu ia terus mengulangi bacaan itu beberapa kali dan ia masih
sangsi terus, sama ada huruf-hurufnya benar-benar keluar dari makhrajnya atau
tidak, sehingga seluruh perhatiannya hanya tertumpu kepada perkara ini saja.
Orang yang dalam keadaan semacam ini, tentulah tiada dapat menyelam atau menyingkap
makna-makna al-Quran dan tentulah syaitan akan mentertawakannya kerana ia amat
patuh dan tunduk kepada godaan syaitan yang berjaya mengelirukannya.
Ketujuh: Mengkhususkan, yakni menunjukkan
segala pertuturan al-Quran yang sedang dibacanya itu kepada dirinya sendiri,
dan menganggap itulah yang dimaksudkan oleh firman-firman itu. Jadi apabila
ditemui perkara diperintah atau larangan, dimaksudkanlah dirinya sendiri yang
ditunjukkan perintah atau larangan itu. Begitu pula kiranya ditemui perkara
janji atau ancaman, dianggapnyalah yang demikian itu tertuju kepadanya sendiri.
Apabila ia mendengar cerita-cerita para Nabi dan orang-orang yang terdahulu,
janganlah dianggapnya itu sebagai suatu cerita hiburan di waktu malam, malah
yang dimaksudkannnya ialah mengambil contoh tauladan dari cerita-cerita
tersebut dan menjadikannya sebagai pengajaran untuk mendidik dirinya. Tiada
suatu cerita pun terdapat di dalam al-Quran, melainkan isinya mengandungi
faedah yang patut di contohi oleh Nabi s.a.w. dan ummatnya.
Dalam
hal ini Allah s.w.t telah berfirman:
“Yang boleh menetapkan hatimu
dengannya.”
(Hud: 120)
Maka
seseorang yang menatap cerita-cerita itu hendaklah membayangkan betapa Allah
dapat menetapkan hatinya dengan cerita-cerita perihal para Nabi tadi, bagaimana
Allah s.w.t. telah memberikan kesabaran untuk menghadapai segala penganiyaan
yang ditimpakan ke atas mereka oleh ummatnya. Kemudian bagaimana pula mereka
bersikap tegas dan tetap menunggu pertolongan Allah. Mengapa tidak! Sebab al-Quran
itu bila diturunkan ke atas Rasulullah s.a.w bukanlah khas untuk Rasulullah
s.a.w. semata-mata, bahkan ia diturunkan juga untuk ummatnya sebagai penawar,
Petunjuk,
rahmat dan cahaya bagi seluruh alam semesta. Sebab itu juga Allah s.w.t. telah
memerintahkan seluruh ummat manusia untuk mensyukuri kenikmatan diturunkan
al-Quran itu.
Allah
berfirman:
“Dan ingatlah nikmat Allah yang
dikurnikan keatas kamu dan apa yang diturunkan ke atas kamu dari kitab
(al-Quran) dan kebijaksanaan yang dengannya Allah mengajar kamu.”
(al-Baqarah: 231)
Andaikata
pertuturan di atas itu ditujukan kepada semua, maka ia juga ditujukan untuk
orang perseorangan sebagai mana firmanNya lagi:
“Agar aku dapat mengingatkan kamu
dengannya (al-Quran) dan orang-orang yang sampai kepadanya berita ini.” (al-Anam: 19)
Berkata
Muhammad al-Qurazhi: Barangsiapa telah sampai kepadanya al-Quran, maka samalah
seperti Allah telah berbicara dengannya Kalau dia telah benar-benar faham akan
maksudnya tentulah bukan saja dia menjadikan bacaan al-Quran itu sebagai suatu
amalan saja, malah dia akan membacanya laksana seorang hamba yang membaca surat
tuannya. Lalu ia pun memerhatikannya secara terperinci akan melaksanakan segala
arahan yang termaktub di dalam surat itu.
Oleh
kerana itu setengah para ulama berkata: Al-Quran itu adalah seperti
lembaran-lembaran surat yang sampai kepada kita dari hadhrat Allah azzawajalla,
yang mengandungi berbagai-bagai janji yang harus kita patuhi dalam semua
sembahyang kita, dan kita laksanakan pula di dalam segala ketaatan kita.
Kelapan: Meninggalkan kesan yang mendalam
di dalam hati dengan berbagai-bagai cara, menurut berbagai-bagai ayat yang
dibacanya. Setiap ayat yang difahamkan akan menimbulkan semacam hal yang mana
hati akan merasa berbagai-bagai perasaan; ada kalanya sedih, ada kalanya takut,
ada kalanya mengharapkan dan sebagainya. Jadi apabila makrifat telah sempurna,
tentulah perasaan takut akan mengelubungi hati dalam kebanyakan hal. Sebab
seringkali ayat al-Quran itu terikat oleh sesuatu sebab yang tertentu. Misalnya
bila disebutkan saja keampunan dan kerahmatan, tentulah ada syarat-syartanya
yang bukan mudah bagi orang yang betul-betul tahu untuk mencapainya,
sebagaimana firman Allah azzawajalla berikut:
“Dan sesungguhnya Aku Maha Pengampun….” (Taa haa:
82)
Sesudah
sepotong ayat ini, diikuti pula dengan syarat-syaratnya; iaitu empat perkara,
sebagaimana firman Allah dalam ayat yang sama iaitu:
“…… bagi sesiapa yang bertaubat,
yang beriman yang membuat amalan saleh, kemudian ia mengikut petunjuk.” (Taa haa: 82)
Firman Allah yang lain:
“Demi masa asar, sesungguhnya
manusia itu adalah di dalam kerugian, melainkan orang-orang yang beriman lalu
mengerjakan amalan saleh, mereka bertolonng-tolongan dalam kebenaran dan mereka
bertolong-tolongan dalam kesabaran.” (Surah al-‘Asr 1-3)
Pada
surah di atas tadi, disebutkan juga sebanyak empat syarat. Ada pula firman
Allah yang menyebutkan satu syarat saja iaitu:
“Sesungguhnya rahmat Allah itu amat
dekat dengan orang-orang yang membuat baik.” (al-A’raf: 56)
Dan
sememangnyalah syarat keehsanan itu meliputi segala sesuatu.
Demikian
keadaan al-Quran itu bagi orang yang membaca lembaran-lembarannya dari awal
hingga ke akhiratnya. Orang yang telah memahami isi al-Quran sedemikian rupa,
patut sekali merasa takut kepada Allah dan merasa hiba. Jika tidak maka tiada
apa-apa faedah dari pembacaannya itu, selain dari gerakan lidah semata-mata, di
samping itu dia akan menerima laknat Allah ke atas dirinya pula, sebagaimana
firmanNya:
“Ingatlah bahawasanya laknat Allah
itu ditimpakan ke atas orang-orang yang zalim.”
(al-A’raf: 44)
FirmanNya
lagi:
“Besar sekali dosanya di sisi Allah
iaitu kalau kamu mengatakan sesuatu sedang kamu tiada
melakukannya.” (ash-Shaf: 3)
FirmanNya
lagi:
“Maka tinggalkanlah siapa-siapa yang
telah menyeleweng dari mengingatkan Kami, dan mereka tiada menginginkan
melalaikan kehidupan dunia.” (an-Najm: 29)
FirmanNya
lagi:
“Dan barangsiapa tiada bertaubat,
maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”
(al-Hujurat: 11)
dan
banyak lagi ayat yang lain yang menunjukkan bahawa tujuan dari membaca al-Quran
itu ialah mengamalkan segala yang terkandung di dalamnya.
Adapun
bacaan dengan setakat menggerakkan lidah semata-mata tidaklah memberi apa-apa
kesan pada diri dan tidak ada gunanya. Yang dikatakan bacaan al-Quran yang
sebenarnya ialah bila lidah, akal fikiran dan hati turut sama-sama mengambil
peranan. Tugas lidah ialah membetulkan pengeluaran huruf-hurufnya melalui
tartil, tugas, akal fikiran ialah mentafsirkan makna-makna al-Quran. Dan tugas
hati pula ialah menerima nasihat-nasihat untuk mengesankannya di dalam diri
dengan meninggalkan segala larangan dan menurut segala perintah. Tegasnya lidah
mentartil, akal menterjemah dan hati mengambil peringatan.
0 comments:
Post a Comment