Kitab
Rahsia Puasa
|
Sebesar-besar nikmat yang pernah
dikurniakan Allah ke atas hamba-hambaNya ialah dengan menjadikan puasa itu
benteng bagi para wali dan perlindungan bagi mereka dari segala tipu daya
syaitan dan angan-angannya, sebagimana Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:
“Puasa itu separuh kesabaran”
Allah telah berfirman:
“Hanyasanya orang-orang yang sabar
itu dipenuhi pahalanya tanpa perhitungan.” (az-Zumar: 10)
Kalau begitu pahalanya kesabaran itu
telah melampaui batas-batas perkiraan dan perhitungan dan memadailah kalau kita
mengetahui keutamaannya dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang berikut:
“Demi Allah yang jiwaku berada di
dalam genggamanNya, bahawa bau mulut seorang yang berpuasa adalah lebih harum
pada sisi Allah dari bau-bauan minyak kasturi. Allah azzawajalla berkata:
Sesungguhnya ia telah meninggalkan syahwatnya, makannya dan minumannya kerana
Aku. Puasa itu (dilakukan) kerana Aku, dan Akulah yang akan memberikan
balasannya sendiri.”
Orang yang berpuasa itu dijanjikan
Allah akan bertemu denganNya untuk menerima balasan puasanya itu.
Rasulullah s.a.w telah bersabda:
“Orang yang berpuasa itu mempunyai
dua kegembiraan: Kegembiraan yang pertama ketika masa berbuka puasanya, dan
kegembiraan yang lain ialah ketika masa menemui Tuhannya.”
Dalam penafsiran makna ayat yang
berikut:
“Tiada seorang pun yang mengetahui
apa-apa yang telah disembunyikan daripada mereka itu dari cahaya mata, iaitu
sebagai pembalasan terhadap segala yang mereka kerjakan.” (as-Sajdah:17)
Yakni amalan yang mereka kerjakan
itu ialah berpuasa sebab Allah berfirman pula pada ayat yang lain:
“Hanyasanya orang-orang yang
bersabar itu dipenuhi pahalanya tanpa perhitungan.” (az-Zumar: 10)
Nyatalah orang yang berpuasa itu
akan diberikan balasan secukup-cukupnya dan dilipat-gandakan pahalanya tanpa
dapat diragukan lagi atau diperhitungkan banyaknya. Sudah sewajarnyalah ia
menerima balasan yang begitu besar, sebab puasa itu adalah dikerjakan kerana
Allah semata-mata dan ditujukan kepadaNya, tiada lain. Walaupun ibadat-ibadat
yang lain itu pun ditujukan kepada Allah jua, tetapi ada dua perbedaannya:
1.
Bahawasanya puasa itu adalah menahan diri dan meninggalkan
hawa nafsu, dan ia adalah rahsia di dalam diri seseorang dan bukan merupakan
amalan yang boleh dilihat. Semua ketaatan dibuat di mata ramai dan dapat
diketahui, melainkan puasa saja, tiada yang melihatnya selain Allah
azzawajalla. Ia adalah suatu amalan dalam kebatinan yang disertai dengan
kesabaran semata-mata.
2.
Bahawasanya puasa itu merupakan suatu jalan penentangan
terhadap musuh Allah azzawajalla, sebab jalan syaitan itu, ialah melalui
syahwat dan hawa nafsu yang meminta banyak makan dan minum. Jadi dalam menekan
dan menentang kemahuan musuh Allah itu adalah suatu pertolongan kepada Allah
Ta’ala sedangkan pertolongan Allah kepada kita itu tergantung atas pertolongan
dari Allah Ta’ala.
Allah telah berfirman:
“Jika kamu sekalian menolong Allah
(menurut perintah Allah), tentulah Allah akan menolong kamu dan akan menetapkan
kaki kamu (kedudukan kamu).”
(Muhammad: 7)
Dengan jalan inilah puasa itu
menjadi pintu bagi segala peribadatan dan perlindungan dari hawa nafsu. Jika
kita telah mengetahui keutamaannya begitu besar sekali, maka hendaklah kita
menuntut syarat-syaratnya yang lahir dan batin dengan mempelajari
rukun-rukunnya, sunat-sunatnya dan syarat-syarat kebatinannya.
Kewajiban-kewajiban lahiriah puasa
Adapun kewajiban lahiriah puasa enam
perkara:
1.
Meneliti datangnya permulaan bulan Ramadhan dengan rukyah,
iaitu dengan melihat anak bulan. Jika tiada terlihat, maka genapkanlah bulan
Sya’ban 30 hari. Kami maksudkan, rukyah atau melihat itu, mestilah melalui ilmu
pengetahuan dan ini dapat disahkan dengan penyaksian seorang adil (orang yang
terkenal lurus perjalanannya dan tiada diragui boleh berbohong). Ini kalau
penyaksian maksudnya Ramadhan. Tetapi untuk penyaksian permulaan Syawal
atau anak bulan Syawwal, dihukumkan tidak sah, melainkan dengan dua orang saksi
adil, mengambil hukum yang lebih berat untuk menyempurnakan ibadat puasa.
Barangsiapa mendengar seorag adil dan ia percaya dengan yakin apa yang
disaksikannya tentang anak bulan itu tanpa apa-apa keraguan lagi bagi dirinya,
maka wajiblah dia berpuasa meskipun kadhi atau hakim tiada menghukumkan sah
penyaksiannya itu.
2.
Niat puasa pada setiap malam - mestilah dia berniat yang
khas dan tetap bagi kefardhuan puasa kerana Allah Ta’ala.
3.
Menahan diri dari menyampaikan sesuatu benda ke dalam
perutnya dengan sengaja tidak terlupakan dirinya sedang berpuasa. Kalau
dilakukan yang demikian, maka rosaklah puasanya; iaitu dengan makan atau minum,
memasukkan sesuatu melalui lubang hidung atau dubur. Tidak batal dengan
bersuntik, berbekam, bercelak, memasukkan pembersih ke dalam telinga atau
melalui zakar ataupun apa yang sampai ke perut tanpa disengajakan seperti debu
jalan, ataupun seekor lalat termasuk ke dalam perutnya. Kalau air masuk ke
dalam perut disebabkan berkumur-kumur tidak membatalkan puasa, kecuali jika dia
terlalu berlebihan-lebihan dalam berkumur-kumur, maka perbuatan serupa
membatalkan disebabkan kecuaian. Itulah yang dimaksudkan dengan perkataan
dengan sengaja. Adapun perkataan tidak terlupa - dimaksudkan supaya ia
terselamat dari lupa, kiranya ia terlupa, maka tidaklah dikira batal puasanya.
4.
Menahan diri dari persetubuhan tetapi kiranya dia bersetubuh
dengan terlupa maka tiadalah dikira telah berbuka. Kiranya dia bersetubuh di
sebelah malam, ataupun dia bermimpi, sehingga dia menjadi seorang junub di
sebelah paginya, maka tiadalah ia dikirakan berbuka.
5.
Menahan diri dari sengaja mengeluarkan air mani dengan
tujuan untuk bersetubuh ataupun tidak bersetubuh, sebab kelakuan yang demikian
itu adalah membatalkan puasa. Bercium-ciuman dengan isteri atau bercumbu-cumbu
dengannya tiada membatalkan puasa selagi tiada mengeluarkan mani, tetapi
perbuatan semacam itu adalah makruh hukumnya kecuali jika dia seorang yang
sudah tua, atau orang yang dapat menguasai dirinya (tidak takut keluar mani)
maka bolehlah dia bercium-ciuman. Walau bagaimanapun meninggalkan kelakuan
serupa ini adalah utama.
6.
Menahan diri dari muntah, sebab sengaja mengeluarkan muntah
dari perutnya membatalkan puasa tetapi kalau termuntah dengan tidak sengaja,
maka tidaklah batal puasanya. Dan sekiranya tertelan kahak dari kerongkongnya
atau dari dadanya, tiadalah batal puasanya, kerana keringanan sebab tidak dapat
ditahan, melainkan kalau dia menelannya sesudah kahak itu sampai ditengah
mulutnya maka hal itu akan membatalkan puasanya.
Perkara yang harus dilakukan bila
batal puasa.
Orang yang batal puasanya harus
melakukan empat perkara:
1.
Qadha’: Kewajibannya umum ke atas setiap Muslim Mukallaf
yang meninggalkan puasa dengan uzur ataupun tanpa uzur. Umpamanya, perempuan
yang datang darah haidh harus mengqadha’kan puasanya, demikian pulalah orang
yang murtad. Adapun orang kafir, anak kecil dan orang gila tidak wajib
mengqadha’kan puasanya. Dan hukum mengqadha’kannya tidak wajib berturut-turut,
tetapi bolehlah mengqadhakannya sesuka hatinya sama ada terpisah-pisah ataupun
terkumpul.
2.
Kaffarah: Kewajibannya berlaku hanya ke atas orang yang
bersetubuh pada siang Ramadhan, selainnya tidak dikenakan kaffarah. Adapun
kaffarahnya ialah memerdekakan seorang hamba. Kiranya ia tidak mempunyai wang
untuk menebus seorang hamba, maka berpuasalah ia dua bulan berturut-turut. Jika
ia tidak mampu, maka hendaklah ia memberi makan kepada 60 orang miskin setiap
seorang satu mud.
3.
Berhenti dari makan-minum dan sebagainya pada sisa harinya.
Ini diwajibkan ke atas orang yang menderhaka perintah Allah, kerana tiada
berpuasa ataupun kerana cuai pada perintah puasa (berbuka tanpa sebab atau
seumpamanya). Maka hendaklah ia berhenti dari makan-minum, apabila ternyata ada
seorang adil yang menyaksikan anak bulan pada hari syak (iaitu 30 Sya’ban),
sedangkan orang ramai semuanya tiada berpuasa pula, maka hendaklah sekaliannya
berhenti dari makan-minum dan sebagainya. Bagi orang yang sedang dalam
pelayaran, berpuasalah adalah lebih utama daripada berbuka,
4.
Mengeluarkan fidyah, iaitu bagi orang yang mengandung atau
ibu yang masih menyusukan bayinya, kerana khuatir kemudharatan ke atas bayi
jika ia berpuasa. Maka dikeluarkan fidyah kerana tiada berpuasa itu, setiap
hari satu mud gandum/beras kepada seorang miskin, kemudian puasa itu
diqadha’kan. Begitu pula dengan orang tua yang sudah lanjut umurnya, tiada
mampu untuk berpuasa, dikeluarkan fidyah satu mud juga.
Sunnat-sunnat puasa
Sunnat bagi orang yang berpuasa
melewatkan sahur dan menyegerakan berbuka, iaitu dengan buah kurma atau dengan
air sebelum bersembahyang. Sunnat baginya juga banyak bersedekah dalam bulan
Ramadhan, banyak membaca Al-Quran duduk beri’tikaf dalam masjid pada 10 hari
yang terakhir dari Ramadhan dan tiada keluar dari masjid itu, melainkan kerana
sesuatu hajat saja. Tiada mengapa dia memakai bau-bauan yang wangi di dalam
masjid, berakad nikah di situ, makan-minum dan tidur di dalamnya, membasuh
tangan di dalam besin, yang semua itu mungkin diperlukan ketika ber’iktikaf di
dalam masjid.
Jenis-Jenis puasa dan tingkatannya.
Ketahuilah bahawa puasa itu ada tiga
darjatnya.
1.
Puasa umum: iaitu berpuasa dengan menahan perut dan faraj
(kemaluan) dari mengecap kesyahwatannya, seperti yang telah berlalu huraiannya.
2.
Puasa khusus: iaitu puasa disertakan dengan mengekang
pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota dari
melakukann perkara-perkara yang haram atau dosa.
3.
Puasa khususul–khusus: iaitu berpuasa dengan menyertakan
semua yang tersebut di atas tadi dan menambah lagi dengan berpuasanya hati dari
segala cita-cita yang kotor dan pemikiran-pemikiran keduniaan dan memesongkan
perhatian dari selain Allah azzawajalla sama sekali.
Rahsia-rahsia puasa dan
syarat-syarat kebatinannya:
Semua ada enam iaitu:
1.
Memejamkan mata dan menahannya dari meluaskan pemandangan
kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada
segala sesuatu yang boleh menganggu hati, seperti melalaikannya dari berzikir
dan mengingat kepada Allah.
2.
Memelihara lidah dari bersembang kosong, berbohong, mencaci
maki, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan riya’.
3.
Memelihara pendengaran dari mendengar hal-hal yang dilarang
dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan haram pula didengarkan. Dan
kerana itu jugalah Allah s.w.t telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu
semacam itu dengan memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana dalam
firmanNya:
“Mereka itu suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang
haram.” (al-Maidah: 42)
4.
Memelihara seluruh anggota yang lain dari membuat dosa
seperti tangan dan kaki dan memeliharanya juga dari segala yang dibenci.
Demikian pula menahan perut dari memakan barang-barang yang bersyubhat waktu
berbuka puasa. Apalah gunanya berpuasa dari makanan yang halal, kemudian dia
berbuka pula, dia memakan makanan yang haram. Orang berpuasa seperti ini,
samalah seperti orang yang membangunkan sebuah istana yang indah, kemudian dia
menghancurkan sebuah kota. Rasulullah s.a.w bersabda:
“Ada banyak orang yang berpuasa
tetapi ia tiada memperolehi dari puasaya itu selain dari lapar dan dahaga (yakni
tiada mendapat pahala).”
Ada yang mengatakan bahwa orang itu
adalah orang yang berbuka puasanya dengan makanan yang haram. Yang lain pula
mengatakan orang itu ialah orang yang menahan dirinya berpuasa dari makanan
yang halal, lalu ia berbuka dengan memakan daging manusia; iaitu mencaci maki
orang kerana yang demikian itu adalah haram hukumnya. Ada yang mengertikannya
dengan orang yang tiada memelihara anggota-anggotanya dari dosa.
5.
Janganlah dia membanyakkan makan waktu berbuka puasa,
sekalipun dari makanan yang halal, sehingga terlampau kenyang, kerana tidak ada
bekas yang paling dibenci oleh Allah s.w.t. daripada perut yang penuh dari
makanan yang halal. Cubalah renungkan, bagaimanakah dapat menentang musuh Allah
(syaitan) dan melawan syahwat kiranya apa yang dilakukan oleh orang yang
berpuasa waktu berbuka itu, ialah mengisikan perut yang kosong itu dengan
berbagai makanan semata-mata kerana dia tidak mengisikannya di waktu siang
tadi. Kadangkala makanan-makanan yang disediakan itu berbagai-bagai rencamnya
sehingga menjadi semacam adat pula kemudiannya. Akhirnya dikumpulkanlah
bermacam ragam makanan untuk persediaan menyambut Ramadhan, dan dihidangkan
pula dalam satu bulan itu bermacam-macam makanan yang tidak pernah dihidangkan
dalam bulan-bulan sebelumnya. Sebagaimana yang termaklum bahwa maksud puasa itu
adalah menahan selera dan mengekang nafsu, agar diri menjadi kuat untuk taat
dan bertaqwa kepada Allah. Tetapi kalaulah hanya sekadar mengekang perut di
siang hari hingga ke masa terbuka, lalu membiarkan syahwat berlonjak-lonjak
dengan kemahuannya kepada makanan, dan dihidangkan pula dengan berbagai-bagai
makanan yang lazat-lazat, sehingga perut kekenyangan, tentulah perut akan
bertambah keinginannya kepada makanan-makanan itu. Malah akan timbul syahwat
pula keinginan yang baru, yang kalau tidak dibiasakan sebelumnya mungkin ia
tetap pada kebiasaannya. Semua ini adalah bertentangan dengan maksud dan tujuan
puasa yang sebenarnya. Sebab hakikat puasa dan rahsianya adalah untuk
melemahkan kemahuan dan keinginan, yang digunakan oleh syaitan sebagai
cara-cara yang menarik manusia kepada berbagai kejahatan. Padahal kemahuan dan
keinginan ini tidak dapat ditentang, melainkan dengan mengurangkan
syahwat. Barangsiapa yang menjadikan di antara hatinya dan dadanya tempat untuk
dipenuhi dengan makanan, maka ia terlindung dari kerajaan langit.
6.
Hendaklah hatinya merasa bimbang antara takut dan harap
kerana ia tiada mengetahui apakah amalan puasanya itu diterima oleh Allah,
sehingga tergolongnya ia ke dalam puak muqarrabin (hampir kepada Allah) ataupun
puasanya tertolak maka terkiralah ia ke dalam golongan orang yang terjauh dari
rahmat Allah Ta’ala. Perasaan seumpama ini seharusnya sentiasa ada pada diri
seseorang, setiap kali selesai melakukan sesuatu ibadat kepada Allah Ta’ala.
Puasa Tathawwu’
Ketahuilah bahwasanya puasa
tathawwu’ atau puasa sukarela itu dituntut untuk dilakukan pada hari-hari yang
diutamakan oleh Islam. Dan keutamaan hari-harinya itu ada yang dihubungkan
dengan tahun ada dengan bulan dan ada pula dengan minggu.
Yang dihubungkan dengan tahun
sesudah dikira puasa Ramadhan ialah berpuasa pada hari Arafah, Hari Asura dan
sepuluh hari pertama pada bulan Zulhijjah. Rasulullah s.a.w sendiri dikatakan
terlalu banyak berpuasa pada bulan Sya’ban. Ada sebuah Hadis mengatakan bahawa:
“Sebaik-baik berpuasa sesudah
Ramadhan ialah berpuasa pada bulan Muharram, “kerana Muharram itu adalah
permulaan tahun Islam dan memulakan bulan itu dengan kebajikan memanglah
dituntut dan diberatkan agar keberkatannya berterusan.
Ada Hadis yang lain: Apabila telah
masuk separuh bulan Sya’ban, maka tiadalah disunnatkan berpuasa lagi, sehingga
masuk pada bulan Ramadhan. Sebab itulah disunnatkan agar tiada berpuasa sebelum
bulan Ramadhan beberapa hari, tetapi jika mahu berpuasa juga bersambung dengan
bulan Ramadhan maka hukum nya harus pula.
Tiada dibolehkan berpuasa kerana
menyambut bulan Ramadhan dua hari ataupun tiga hari sebelum ketibaannya,
melainkan jika hari sebelum ketibaannya, melainkan jika hari itu menjadi hari
kebiasaannya ia berpuasa sunat (hari Isnin dan Khamis dan sebagainya). Setengah
para sahabat telah melarang berpuasa pada bulan Rejab sebulan penuh, supaya ia
tidak menyamai puasa dalam Ramadhan pula.
Adapun puasa yang dilakukan dalam
setiap bulan itu, ialah pada permulaan bulan, pertengahannya dan akhirnya. Di
pertengahannya ialah hari-hari putih, iaitu pada hari 13, 14 dan 15.
Manakala puasa mingguan pula
disunnatkan pada hari Isnin, Khamis dan Jumaat. Pada hari-hari itu bukan saja
disunnatkan puasa, malah disunnatkan memperbanyakkan khairat dan sedekah, agar
bertambah-tambah pula pahalanya dengan keberkatan hari dan masanya.
Sekarang telah jelaslah kepada kita
bila masanya diutamakan puasa maka untuk menyempurnakannya hendaklah setiap
manusia Muslim memahami pengertian puasa yang sebenarnya dan rahsianya dalam
menjernihkan hati dan meringankan kesusahan yang dilakukan semata-mata kerana
Allah Ta'ala saja.
0 comments:
Post a Comment