Kitab Rahsia Bersuci
|
Allah berfirman:
“Allah tiada menghendaki untuk
menjadikan kesukaran ke atas kamu, akan tetapi Dia menghendaki untuk mensucikan
kamu.”
(al-Maidah:7)
Allah berfirman lagi:
“Padanya ada orang-orang yang suka
sekali bersuci dan Allah mencintai orang-orang yang bersuci itu.” (at-Taubah: 109)
Bersabda Rasulullah s.a.w.:
“Kunci sembahyang adalah
bersuci.”
“Agama itu didirikan atas
kebersihan.”
Orang-orang yang mempunyai pandangan
yang jauh dapat mengambil kesimpulan dari keterangan-keterangan ini, bahawa
perkara yang amat penting sekali ialah mensucikan kebatinan, kerana jauh sekali
maksud dari Hadith berikut ini:
“ Kesucian itu adalah setengah dari
iman.”
Iaitu hanya untuk mensucikan
kelahiran saja, yakni dengan menyirami tubuh dengan air dan mengalirkannya ke
seluruh anggota badan, sedangkan kebatinannya tetap rosak dan ditinggalkannya
terisi dengan anasir-anasir yang jahat dan kotor-kotoran. Alangkah jauh sekali
ia boleh bermaksud demikian.
Taharah atau bersuci itu ada empat
tingkatnya, iaitu:
1.
Mensucikan
anggota-anggota lahir dari hadas-hadas (najis-najis), anasir-anasir kotor dan
yang tidak perlu.
2.
Mensucikan
anggota-anggota badan dari perbuatan-perbuatan salah dan dosa.
3.
Mensucikan
hati dari akhlak yang terkeji dan kelakuan-kelakuan yang dibenci dan terkutuk.
4.
Mensucikan
kebatinan dari tertumpu kepada semua perkara selain Allah Subhanahu wa Ta’ala,
dan ini adalah cara bersucinya para Nabi Salawatullahi-alaihim dan juga para
Siddiqin.
Seseorang hamba tidak akan sampai ke
tingkat yang tertinggi sekali, melainkan setelah melalui tingkat yang rendah
terlebih dulu. Dia tidak akan sampai kepada tingkat mensucikan kebatinan dari
sifat-sifat yang terkeji itu dan menggantikan tempatnya dengan sifat-sifat yang
terpuji, selagi belum selesai membersihkan hati dari akhlak yang tercela dan
menggantikan tempatnya dengan akhlak yang baik. Demikian pula ia tiada akan
sampai ke tingkat ini, melainkan sesudah selesai dari mensucikan segala
anggota-anggota badan dari larangan-larangan Allah dan menggantikan tempatnya
dengan kerja-kerja ketaatan kepadaNya.
Oleh sebab itulah, apabila yang
dituntut itu bernilai dan mulia, tentulah lebih sukar dan susah untuk
mencapainya, lebih banyak pula halangan-halangannya. Maka janganlah anda
menyangka bahawa tingkat itu akan didapati dengan hanya bercita-cita saja, atau
akan dicapai dengan cara yang mudah.
Akan tetapi bila seseorang itu buta
mata hatinya dengan perbedaan tingkat-tingkat ini. Tentulah dia tidak akan
mengerti akan tingkat taharah atau rahsia bresuci ini, melainkan tingkat yang
terendah sekali, yang diumpamakan seperti kulit atas yang boleh dilihat jika
dibandingkan dengan isi atau sari yang dicari. Maka oleh kerana itu, dia
sentiasa mementingkan perhatiannya kepada kulit semata-mata seraya
menghabiskan semua waktunya pada membicarakan istinja’, membersihkan baju dan
mensucikan anggota-anggota yang lahir saja, dan mengalirkan air yang banyak.
Sebab dia menyangka, samada kerana waswasnya ataupun kerana khayalan
fikirannya, bahawasanya kesucian yang dituntut atau yang betul itu mementingkan cara-cara ini.
Sebenarnya dia tiada mengetahui
tentang perjalanan orang-orang yang terdahulu yang telah menumpukan segala
perhatiannya dan fikirannya kepada perkara mensucikan hati tanpa
mengendahkan perkara mensucikan yang lahir. Dia tiada mengetahui bahawa
Saiyidina Umar r.a. dengan ketinggian kedudukannya itu pernah berwudhu’
dengan air yang tersimpan dalam kendi seorang Nasrani. Orang yang terdahulu itu
juga sering bersembahyang di atas tanah dalam masjid. Ataupun memadai hanya
dengan menggunakan batu sewaktu beristinja’.
Nyatalah kini bahawa segala yang
diberatkan oleh mereka di masa itu ialah mensucikan kebatinan. Dan jarang-jarang
sekali pernah timbul satu-satu pertanyaan dari mereka itu megenai hukum-hukum
najis atau dari pertanyaan-pertanyaan yang titik-bengik.
Sekarang sudah sampailah giliran
golongan manusia yang kononnya mengambil berat tentang kebersihan, maka
dihabiskanlah semua masanya pada menghiaskan anggota-anggota lahir seperti
sifatnya tukang andam yang menghiaskan pengantinnya, padahal kebatinannya busuk
penuh dengan kotoran-kotoran, sifat-sifat sombong dan ujub (memuji diri),
sifat-sifat kebodohan dan riya’ serta nifaq. Malangnya tiada seorang pun yang
mengingkarkan atau memperhatikan perkara itu.
Akan tetapi kiranya seseorang itu
hanya menggunakannya batu dalam istinja’nya, ataupun menunaikan sembahyangnya
tanpa menggunakan sajadah (tikar sembahyang), ataupun mengambil wudhu’nya dari
wadah yang dimiliki oleh orang kafir, maka akan tibalah kiamatnya. Orang-orang
bodoh itu akan segera bertindak menyalahkan orang-orang itu dan memanggil
mereka sebagai orang-orang yang kotor. Cubalah anda perhatikan bagaimana yang mungkar
itu menjadi yang baik, dan yang baik pula menjadi mungkar. Dan lihat pula
bagaimana orang ramai mempelajari dari agama itu hanya gambarnya saja,
sepertimana mereka mempelajari hakikatnya dan ilmunya.
Kiranya anda telah maklum tentang
muqaddimah ini, maka marilah kita berbicara kini tentang tingkat-tingkat
taharah atau kesucian. Pertama sekali kita ambillah tingkatnya yang keempat,
iaitu membersihkan anggota-anggota lahir. Kita katakan bahawa pensucian lahir
itu ada tiga perkara:
1.
Membersihkan
diri dari benda-benda najis.
2.
Membersihkan
diri dari hadas
3.
Membersihkan
diri dari yang tidak diperlukan pada badan, dan yang ini dapat dilakukan dengan
memotong (seperti memotong kuku, cukur bulu ari-ari dan sebagainya) dan mandi,
menggunakan bedak, berkhitan dan lain-lain lagi.
Mensucikan kotoran atau najis
Pembicaraan mengenai hal ini
tergantung kepada tiga perkara, iaitu:
1.
Benda
yang disucikan.
2.
Benda
yang mensucikan.
3.
Cara
mensucikan.
Yang disucikan iaitu benda yang
najis
Mata benda itu ada tiga: iaitu benda
yang padat atau cair, binatang dan bahagian-bahagian dari binatang. Kesemua benda-benda padat atau cecairan dihukumkan suci
kecuali khamar (arak) dan segala cecairan yang memabukkan. Dan kesemua
binatang pula dihukumkan suci, kecuali anjing dan babi.
Tetapi apabila binatang-binatang itu
mati, maka hukumnya najis melainkan lima, iaitu:
1.
Manusia
2.
Ikan
3.
Belalang
4.
Ulat
buah-buahan atau seumpamanya yang terjadi dari makanan.
5.
Semua
binatang yang tiada darah yang mengalir seperti lalat, lipas atau sebagainya,
maka tiadalah air itu menjadi najis bila binatang-binatang serupa itu jatuh
kedalamnya.
Tentang bahagian-bahagian binatang
ada dua macam:
1.
Anggota
yang terpotong dari binatang itu, maka hukumnya adalah hukum bangkai kecuali bulunya.
Bulu binatang tiada menjadi najis samada matinya dengan sebab disembelih
ataupun tidak tetapi tulangnya adalah najis bila matinya tidak disembelih.
2.
Benda
basah yang keluar dari dalam badan binatang itu, maka mana-mana yang tidak
mempunyai tempat yang tetap, maka hukumnya suci seperti air mata, keringat, air
liur, hingus: dan mana-mana yang tempatnya tetap, maka hukumnya najis,
melainkan apa yang asalnya berpunca dari binatang itu sendiri, seperti air mani
dan telur. Adapun nanah, darah, tahi dan kencing dari binatang kesemuanya
najis.
Dan tiadalah dimaafkan najis-najis
tersebut samada sedikit atau banyak, kecuali dalam lima perkara:
1.
Bekas
tempat keluar najis (dubur) sesudah istinja’ yang menggunakan batu, dimaafkan
kira najis yang keluar itu tiada melampaui tempat itu.
2.
Lumpur
di jalanan ataupun debu dari kotoran tahi di tengah jalan, dimaafkan walaupun
diyakini kenajisannya, yakni dengan syarat sukar untuk menjauhkan diri
daripadanya, sehingga orang yang terkena lumpur atau debu itu tidak boleh
dituduh cuai atau lalai.
3.
Najis-najis
yang melekat di bawah khuf (sepatu yang ditentukan oleh syara’ boleh
memakainya dalam sembahyang) yang biasanya semuanya jalanraya tidak sunyi
daripadanya. Maka najisnya dapat dimaafkan sesudah dikikis semua najis-najis
itu sewaktu hendak digunakan.
4.
Darah
nyamuk, samada sedikit mahupun banyak, boleh dimaafkan kecuali jika ia melewati
batas kebiasaannya, samada yang melekat di pakaian anda mahupun di pakaian
orang lain yang anda memakainya.
5.
Darah
kudis atau bisul atau apa-apa yang terpisah daripadanya seperti nanah, atau
darah yang bercampur dengan nanah dimaafkan juga. Dalilnya, pernah Ibnu Umar
r.a. menggosok bisul di mukanya, maka keluarlah daripadanya darah. Beliau terus
bersembahyang tanpa membasuh darah itu terlebih dulu. Dalam pengertian yang
lain ialah segala yang memancar dari kotoran-kotoran bisul yang biasanya keluar
terus-menerus, begitu juga bekas-bekas luka dari bekam (atau pembedahan dan
operasi) melainkan kalau yang terjadinya itu jarang-jarang sekali baik berupa
luka atau lain-lainnya, maka hukumnya samalah seperti hukum darah istihadhah
(darah yang keluar dari wanita yang menderita sakit), hukumnya tidak boleh
dikira sama seperti darah yang keluar dari bisul, yang pada banyak hal manusia
tiada berdaya untuk menahannya
Kelonggaran syara’ dalam memaafkan
najis-najis yang lima macam itu menunjukkan bahawa perkara taharah atau bersuci
itu diletakkan atas kemudahan dan keringanan, sehingga ia tiada meninggalkan
tempat untuk berwaswas, yang mana waswas itu sebenarnya tiada berasal sama
sekali.
Benda yang mensucikan
Benda yang mensucikan najis itu
samada beku atau cair.
1.
Yang
beku adalah batu yang digunakan untuk beristinja’ dan ia boleh mensucikan
secara ringan saja, syaratnya mestilah benda itu keras, tahir (suci), boleh
menghisap (tidak licin) dan bukan dari benda yang muhtaram.
2.
Yang
cair pula, maka najis-najis itu tidak akan dapat disucikan melainkan dengan air
saja. Dan airnya pula bukan sebarangan, melainkan air yang lahir (suci) yang
tiada rosak percampurannya dengan sesuatu yang tiada diperlukan olehnya, dan
air itu terkeluar dari takrif suci bila ia berubah rasanya atau warnanya atau
baunya bila bercampur dengan benda najis. Tetapi kiranya ia tiada berubah
rasanya atau warnanya atau baunya bila bercampur dengan benda najis, maka
tiadalah dikirakan air itu sebagai najis,(* Menurut
Mazhab Syafi’l air itu mestilah dari dua qulah, jika kurang, hukumnya najis,
samada berubah atau tidak) berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.:
“Allah telah menjadikan air itu
suci, tidak dapat dinajiskan oleh sesuatu benda pun, melainkan kalau berubah
rasanya atau warnanya atau baunya.”
Cara mensucikannya
Najis itu samada dinamakan hukmiyah,
iaitu bila tiada berjirim (tiada berbekas) yang boleh dirasa, maka hukumnya
cukuplah dengan mengalirkan air di tempat yang dikatakan bernajis itu.
Ataupun dinamakan ‘ainiyah
(kelihatan), maka wajibkan menghilangkan diri najis itu. Dan kalau ada juga bekas-bekas warna sesudah dikikis
dan dibasuh, maka hukumnya dimaafkan. Juga dimaafkan baunya kalau sukar untuk
menghilangkan. Dan memeras sesuatu barang itu berkali-kali samalah seperti
mengikis dan membasuhnya, kalau sesudah itu warnanya tidak hilang juga,
hukumnya dimaafkan.
Bagi orang yang tabiatnya suka
berwas-was, hendaklah ia menyakinkan dirinya, bahawa kesemua benda-benda itu
asalnya dijadikan tahir atau suci. Oleh itu, jika ia tiada melihat dengan
matanya sendiri pada sesuatu benda itu ada najis, dan tiada mengetahui dengan
yakin ada najisnya, maka hendaklah ia bersembahyang saja dengannya.
Mensucikan hadas
Termasuk perkara mensucikan hadas
itu ialah wudhu’, mandi (wajib) dan tayammum, dan sebelum itu didahulukan
istinja’. Kini kita akan sebutkan cara-caranya, satu demi satu, secara teratur
beserta adab-adabnya dan sunnat-sunnatnya.
Kita mulakan dengan sebab-sebab
berwudhu’ dan adab-adab orang yang melepaskan hajatnya (buang air kecil dan
besar). Insha Allah Ta’ala.
Adab melepaskan hajat
Seseorang yang ingin melepaskan
hajatnya, hendaklah memilih tempat yang jauh dari pandangan orang ramai,
seperti di tempat yang lapang.
Hendaklah ia menutup (berlindung)
dengan sesuatu benda kiranya boleh didapat. Dan jangan ia tergesa-gesa memuka
auratnya, sebelum sampai ke tempat duduk untuk melepaskan hajat itu. Janganlah
hendaknya ia menghadap kiblat atau membelakanginya ketika itu. Juga janganlah
hendaknya ia melepaskan hajatnya ditempat-tempat biasanya orang ramai berkumpul
kerana berbual-bual atau duduk-duduk berehat. Janganlah ia membuang air kecil
pada air yang bertakung (tidak mengalir), atau di bawah pokok yang berbuah atau
di lubang. Juga jangan di tempat yang keras, atau di tempat tiupan angin agar
terpelihara dari percikan air kencing itu, dan hendaklah ia mengiring (dengan
punggungnya bertenggong) kepada kaki kirinya.
Apabila ia ingin membuang air kecil
di dalam bangunan (tandas), maka hendaklah ia mendahulukan kaki kiri ketika
memasukinya dan kaki kanan ketika keluar. Jangan pula ia membawa bersamanya
ketika itu sesuatu yang tertulis padanya Allah Ta’ala atau nama RasulNya s.a.w.
Ketika masuk ia membaca:
“Dengan nama Allah saya berlindung
denganNya dari gangguan syaitan, lelaki dan
perempuan.”
Ketika keluar ia membaca:
“Segala kepujian bagi Allah yang
telah menghapuskan dariku apa-apa yang boleh membahayakan aku, dan mengekalkan
bagiku apa-apa yang boleh memberi manfaat
kepadaku.”
Sesudah selesai buang air
sebaik-baiknya ia beristibra’ (mengetus) tiga kali, dan janganlah ia memikirkan
terlalu banyak beristibra’ itu, agar ia tiada berwaswas sehingga perkara ini
merumitkannya. Jika ia merasakan ada sedikit basah, hendaklah ia menganggap itu
sisa dari air. Ketahuilah bahawa orang yang paling ringan istibranya dikira
paling pandai dalam ilmu fiqhnya, sebab waswas itu menunjukkan ilmu fiqhnya
cetek.
Antara perkara yang diringankan
lagi, membolehkan seseorang itu membuang air kecil berdekatan dengan rakannya,
tetapi mestilah ada tutup antaranya. Yang demikian itu pernah dilakukan oleh
Rasulullah s.a.w. sendiri padahal baginda amat pemalu orang nya, tetapi itu
adalah untuk mengajar orang ramai tentang kebolehan melakukannya.
Cara beristinja’
Sesudah membuang air atau melepaskan
hajat itu dia pun beristinja’ dengan tiga butir batu. Selain batu boleh boleh
juga digunakan segala benda yang kasar tetapi suci.
Selanjutnya dia beristinja’ pula
dengan air; iaitu dengan menyiram air dengan tangan kanan di tempat keluarnya
najis itu, sedang tangan kirinya mengosok tempat itu sehingga tiada lagi yang
tinggal dari bekas najis di situ. Ini dapat dirasakan oleh tapak tangan kiri
yang menggosok tempat keluarnya najis tadi.
Hendaklah ia tiada melampau pada
mengorek atau meraba bahagian di dalam (dubur), kerana yang demikian itu akan
menimbulkan waswas pada diri. Ketahuilah mana tempat yang tiada boleh sampai
kepadanya air itu dikira bahagian dalam, sedangkan hukum najis itu tidak
terlibat pada kotoran-kotoran di segala bahagian dalam, selama ianya tiada
terlihat atau dihukumkan pada hukum lahir.
Dan hukum najis itu hanya terkena
pada bahagian-bahagian yang lahir saja, dan batasan pensuciannya ialah dengan
menyampaikan air kepadanya dan menghilangkan najis itu dari situ. Dengan itu
maka tidak perlu untuk ditimbulkan waswas lagi.
Cara berwudhu’
Sesudah selesai istinja’ dan hendak memasuki
sembahyang, maka hendaklah ia berwudhu’ terlebih dulu.
Mula-mula bersiwak (gosok gigi),
kemudian dia duduk kerana berwudhu’ sedangkan keadaannya menghadap ke kiblat,
lalu membaca Bismillaahirrahmaanir-rahiim. Sesudah itu, dia membasuh pula kedua
tangannya dahulu sebelum memasukkanya ke dalam bekas. Kemudian dia mengambil
air itu di dalam mulutnya, kecuali jika ia sedang berpuasa. Kemudian mengambil
secedok lagi untuk dimasukkannya ke dalam hidung untuk beristinsyaq tiga kali
juga. Air itu hendaklah disedut hingga sampai ke dalam lubang hidungnya serta
dikocak-kocaknya.
Selesai itu barulah dia mencedok
secedok air lagi untuk membasuh mukanya, dan hendaklah dia membasuhnya dari
hujung dataran dahi hingga ke hujung bahagian dari dagu memanjang; dan dari
satu telinga ke telinga yang lain melebar pula, dan air itu mestilah sampai
kepada keempat-empat tempat tumbuhan rambut; iaitu dua bulu kening, misai
(kumis), bulu yang tumbuh di bawah bibir dan bulu mata, dam rambut-rambut itu
biasanya tipis saja.
Dan air itu mestilah sampai juga ke
tempat tumbuhan janggut yang tipis. Kalau janggutnya lebat, maka memadailah air
itu sampai ke bahagian lahirnya saja, tetapi sunnat disisirkannya dengan jari.
Sunnat juga jari-jarinya dimasukkan di bulatan mata untuk membersihkannya
dari tahi mata atau lebihan celak.
Sesudah itu barulah dia membasuh
kedua tangannya hingga kedua sikunya tiga kali. Dimulakan dengan yang kanan
dulu. Jika memakai cincin, digerak-gerakkan cincin itu supaya air sampai di
bawahnya.
Sesudah itu diratakan kepalanya
dengan menyapu dengan kedua tangannya, setelah dibasahkan terlehih dulu dengan
air. Caranya dengan mempertemukan hujung-hujung jari kanannya dengan
hujung-hujung jari kiri, dan diletakkan kedua tangannya itu di muka kepala,
lalu melalukan keduanya itu hingga ke belakang kepala.
Sesudah itu, disapu pula kedua
telinganya di bahagian-bahagian luar dan dalam dengan cedokan air yang baru,
kemudian dia menyapu pula tengkuknya dengan air yang baru juga.
Seterusnya, dibasuh pula kedua kakinya
hingga ke bukulali serta disela-selakan antara jari-jari kaki.
Selesai melakukan itu semua, dia pun
mengangkat kepalanya menadah ke langit seraya membaca:
“Saya menyaksikan bahawa
sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah, dan menyaksikan sama bahawa
sesungguhnya Muhammad itu hambaNya dan RasulNya. Wahai Tuhanku! Jadikanlah saya
termasuk golongan orang yang bertaubat, dan jadikanlah saya termasuk golongan
orang yang bersuci, dan jadikanlah saya termasuk golongan hambaMu yang sholeh.”
Yang makruh dalam berwudhu’
Di waktu berwudhu’ itu makruh
melebihi dari tiga kali. Juga makruh berlebih-lebihan menggunakan air. Nabi
s.a.w. ketika berwudhu’ hanya melakukan tiga-tiga kali saja, seraya bersabda:
“Siapa yang melebihi (yakni lebih
dari tiga kali), maka ia telah membuat salah dan menganiaya.”
Sabdanya lagi:
“Akan datang suatu kaum dari ummat
ini, suka melampaui batas (berlebih-lebihan) dalam perkara berdoa dan bersuci.”
Ada dikatakan, bahawa antara
kelemahan seseorang dalam ilmu agamanya, gemarnya membuang-buang air ketika
bersuci. Makruh juga merenjis-renjiskan tangan sehingga air terpercik
daripadanya, ataupun menampar-nampar muka dengan air.
Maksud bersuci
Sesudah selesai dari berwudhu’ dan
hendak memulakan sembahyang, hendaklah ia menyakinkan di dalam hatinya,
bahawasanya ia telah bersuci segala anggota lahirnya; iaitu tempat pandangan
orang ramai kepadanya.
Sepatutnya dia juga harus merasa
malu kalau hendak bermunajat kepada Allah Ta’ala tanpa terlebih dulu
membersihkan hatinya, iaitu tempat pandangan Allah s.w.t. Sayugialah hendaknya
ia merasa yakin bahawa kesucian hatinya dengan bertaubat kepada Allah s.w.t.
dan menjauhkan diri dari segala akhlak yang terkeji serta berkelakuan dengan
akhlak yang terpuji itu, adalah lebih utama dari hanya mensucikan anggota yang
lahir saja.
Perumpamaanya sama seperti seorang
yang ingin mengundang seorang raja ke rumahnya, lalu dibiarkan dalam rumah itu
penuh dengan kotoran, padahal pintu rumah itu dibersihkan dan dicat baik-baik.
Bukankah yang demikian itu akan mendedahkan dirinya kepada kemurkaan raja, dan
menyebabkan dia menerima balasan daripadanya.
Cara mandi wajib
Mula-mula ia membasuh kedua belah
tangan tiga kali, kemudian beristinja’ dan menghilangkan segala macam kenajisan
yang ada pada badan, kalau memang ada. Sesudah itu, barulah ia berwudhu’ kerana
mahu bersembahyang, sebagaimana yang telah kita huraikan sebelum ini, kecuali
membasuh kedua belah kaki, maka hendaklah ia menangguhkannya dahulu.
Kemudian mulalah ia menyirami badan
dengan air, bermula dari kepala, kemudian bahagian kanan, kemudian bahagian
kiri pula.
Selesai menyirami air, ia pun
menggosok bahagian hadapan dari badan, kemudian bahagian belakang pula. Dan
hendaklah ia menyela-nyela rambut yang di atas kepala, begitu juga dengan
janggut, supaya air itu sampai ke pangkal tempat tumbuhnya rambut-rambut
itu, samada rambut-rambut itu lebat mahupun tipis.
Seorang perempuan yang mandi wajib
tidak perlu menghuraikan siputnya, kecuali kalau ia bimbang air tidak akan
sampai ke celah-celah rambut, dan hendaklah ia memelihara pula lipatan badannya
(agar air dapat meratai seluruh badannya).
Mandi itu menjadi wajib dengan empat
perkara:-
1.
Kerana
keluar air mani.
2.
Kerana
persetubuhan.
3.
Kerana
haidh.
4.
Kerana
nifas.
Selain dari mandi-mandi tersebut di
atas itu adalah sunnat hukumnya, seperti mandi kerana dua hariraya, kerana
hadir sembahyang Jum’at, kerana berihram, kerana wuquf di Arafah, kerana masuk
negeri Makkah dan bagi orang yang memandikan orang mati.
Cara bertayammum
Barangsiapa yang uzur tidak dapat
menggunakan air kerana ketiadaannya; samada setelah berusaha mencarinya tetapi
tidak dapat, ataupun kerana adanya halangan untuk sampai ke tempat air seperti
binatang buas, ataupun ada orang yang menahannya untuk pergi ke tempat air,
ataupun air itu ada tetapi hendak digunakan untuk minumannya sendiri atau
minuman hambanya, ataupun air itu kepunyaan orang lain, sedangkan orang yang
mempunyai air itu tiada ingin menjualnya melainkan dengan harga yang lebih
mahal dari harga biasanya, ataupun pada anggotanya ada luka-luka atau ada
semacam penyakit yang kalau digunakan air pada anggota itu nescaya akan
bertambah penyakitnya atau rosak, maka hukumnya hendaklah ia menunggu sehingga
masuknya waktu sembahyang.
Sesudah tiba waktu sembahyang,
barulah dia mencari debu yang bersih dari tanah yang suci. Bertayammum ialah
menepuk kedua belah tapak tangan dengan semua jari-jarinya rapat antara satu
dengan yang lain, lalu menyapukan kedua belah tapak tangan yang berdebu itu
keseluruh wajahnya sekali saja. Jangan dipaksakan sangat agar debu itu sampai
ke dalam sela-sela rambut, sama ada rambutnya tebal atau nipis.
Kemudian hendaklah menanggalkan
cincin (kalau bercincin) dan menepuk sekali lagi, sedangkan jari-jari tangan
direnggangkan pula, dan menyapukan tangan kanan dengan tapak tangan kiri
dan menyapukan pula tangan kiri dengan tapak tangan kanan.
Dengan satu tayammum, ia boleh
bersembahyang satu sembahyang fardhu saja, manakala sembahyang sunnat boleh
dilakukan sebanyak yang diperlukan. Kalau mahu melakukan sembahyang fardhu yang
lain, hendaklah ia bertayammum sekali lagi.
Kebersihan dari kelebihan-kelebihan
yang tahir
Ada dua jenis yang harus dibersihkan
iaitu; Jenis-jenis kotoran di badan dan najis-najis kelebihannya.
Jenis-jenis kotoran di badan
Adapun jenis-jenis kotoran atau
benda basah yang melekat di badan iaitu delapan:
1.
Apa-apa
yang berkumpul dari kotoran-kotoran di rambut kepala seperti daki dan kutu.
Membersihkan ini semua adalah digalakkan oleh syara’, iaitu dengan mandi dan
menyisir kemudian memakai minyak rambut, sehingga hilang semua kotoran itu dan
nampak bersih. Rasulullah s.a.w. sendiri sering meminyaki di rambutnya dan
menyisirnya, dan demikianlah baginda mengajar ummatnya supaya melakukan itu.
2.
Apa-apa
yang terkumpul dari kotoran di lubang telinga, hendaklah dibersihkan
3.
Apa-apa
yang terkumpul dari kotoran-kotoran di dalam lubang hidung, yang boleh
dibersihkan dengan menyedut air ke dalamnya dan mengocak-ngocakkannya.
4.
Apa-apa
yang terkumpul dari kotoran-kotoran di gigi dan di hujung lidah, boleh
membersihkannya dengan bersiwak atau menggosok gigi kemudian berkumur-kumur.
5.
Apa-apa
yang terkumpul dari kotoran-kotoran di janggut, seperti debu-debu atau kutu,
yang boleh dibersihkan dengan mandi dan menyisirnya dengan sisir (sikat).
Adapun membiarkan janggut secara tidak teratur untuk menunjukkan zuhud, ataupun
tidak mengambil berat tentang urusan diri adalah dilarang oleh syara’.
Meninggalkan cara-cara serupa ini kepada perkara-perkara yang serupa ini adalah
perkara-perkara kebatinan antara seorang hamba dengan Tuhannya Azzawajalla.
Ketahuilah olehmu bahawa Allah s.w.t. mengetahui akan tujuan hati orang itu,
dan mengelirukan keadaan tidak ada faedahnya sama sekali.
6.
Kotoran-kotoran
yang terkumpul di celah-celah jari. Orang-orang Arab dahulukala tidak biasa
membersihkannya, kerana mereka jarang sekali membasuh tangan selepas makan.
Oleh itu, sering pulalah berkumpul bekas-bekas makanan itu dicelah-celah jari,
maka Rasulullah s.a.w. memerintahkan supaya membasuh celah-celah jari itu.
7.
Membersihkan
hujung-hujung jari dari kotoran-kotoran. Rasulullah s.a.w. pernah menyuruh
ummatnya untuk membersihkan hujung-hujung jari dari kotoran-kotoran yang yang
ada di dalam kuku, sebab terkadang-kadang bila dipotong kuku masih tertinggal
sebahagian kotoran di situ, maka hendaklah dibersihkannya.
8.
Daki-daki
yang terkumpul di merata badan, tersebab oleh peluh atau debu-debu yang
melekat di situ. Membersihkannya ialah dengan mandi dan menggosoknya.
Tata-tertib dalam bilik mandi
Tidak salah bermandi di
tempat-tempat mandi umum (kolam renang) asalkan menjaga
tata-tertibnya. Sahabat-sahabat Rasulullah pernah
bermandi di tempat-tempat mandi umum di negeri Syam.
Ada pepatah yang berkata:
Sebaik-baik tempat ialah tempat mandi. Ia membersihkan badan dan mengingatkan
tentang api neraka. Kata-kata ini diriwayatkan dari Abu Darda’ dan Abu Ayub
al-Anshari r.a. Ada yang lain berkata pula: Seburuk-buruk tempat ialah tempat
mandi di mana para pemandinya mendedahkan aurat dan orang ramai sudah
kehilangan malu.
Perbedaan di antara dua tempat mandi
ini, ialah yang pertama mendedahkan bagi kita faedahnya yang kedua pula
mendedahkan bencananya. Tidak mengapalah kita mengambil faedah dari tempat
mandi itu, dalam pada itu jangan sampai kita tercebur kepada bencananya pula.
Selain dari itu, atas orang yang
menggunakan tempat mandi itu adalah pula tugas-tugasnya dari perkara-perkara
yang disunnatkan dan yang diwajibkan. Ada dua kewajiban atas pengguna tempat
mandi umum untuk memelihara auratnya dan dua kewajiban yang lain untuk
memelihara aurat orang lain.
Dua kewajiban untuk memelihara
auratnya ialah, menjaga agar auratnya jangan sampai ternampak oleh orang lain
dan menjaganya juga dari disentuh oleh mereka. Jangan sampai dibiarkan diperlakukan
sesuatu ke atasnya, atau dibersihkankan kotoran daripadanya melainkan dia yang
melakukannya sendiri. Kalau ada orang yang membantu menggosok, maka jangan
sampai dibenarkan menyentuh bahagian paha dan bahagaian diatasnya hingga
ke pusat.
Dua kewajiban untuk melihara aurat
orang lain, ialah menutup mata dari memandangnya seraya melarang orang itu
dari mendedahkan auratnya, sebab melarang orang dari mendedahkan auratnya
adalah wajib hukumnya. Ia wajib mengingatkan orang itu, tetapi bagi orang yang
diingatkan itu tidak wajib menurut pula.
Adapun perkara sunnatnya, di
antaranya ialah niat. Maka janganlah hendaknya ia masuk ke tempat mandi kerana
sesuatu maksud dunia , atau untuk bermain-main atau suka-suka saja, akan tetapi
hendaklah ia meniatkan bersuci yang dituntut oleh agama, kerana
menyediakan untuk bersembahyang.
Hendaklah ia masuk dengan kaki kiri,
dan janganlah ia tergesa-gesa masuk ke dalam tempat mandi yang panas, melainkan
sesudah ia keluar peluh pada tempat mandi yang pertama. Jangan banyak membuang
(membazir) air, malah wajib ia mengambil air sekadar hajat saja, sebab itulah
yang diizinkan kepadanya kalau hendak diperhitungkan. Mengambil air lebih dari
yang dihajati akan menyebabkan penjagaan tempat mandi itu tidak rela, kiranya
ia mengetahui, terutama sekali dari air panas. Sebab perbelanjaannya tentulah
besar dan menggunakan lebih dari yang diperlukan akan menyusahkan pemilik
tempat mandi itu.
Dan hendaklah ia mengingat pula
betapa panasnya api neraka itu kelak kalau dibandingkan dengan panasnya air
tempat mandi itu. Dianggapnya pula dirinya seolah-olah sedang dalam penjara
yang berhawa panas ketika itu, kemudian diperbandingkan juga dengan Neraka
Jahannam yang kira-kira sama tempat itu dengan tempat di Jahannam, yakni api
dari bawahnya dan gelap-gelita dari atasnya na’uzu billahi min zalik (kita
berlindung kepada Allah dari keadaan itu).
Tidak menjadi salah untuk berjabat
tangan dengan rakan yang baru masuk ke tempat itu atau
berkata: Tuhan memberikan kepadamu afiat. Boleh dibiarkan badannya digosok oleh
orang lain, begitu juga belakangnya dan tangan serta kakinya dipicit-picit oleh
orang lain juga.
Sebaik-baik saja dia keluar dari
tempat mandi itu, segeralah dia mengucap syukur kepada Allah s.w.t. atas nikmat
yang baru dikecapnya tadi, sesudah itu jangan pula disiram kepalanya dengan air
sejuk ketika hendak keluar atau meminum air sejuk, kerana yang demikian
itu bertentangan dengan peraturan kesihatan.
Orang-orang perempuan, makruh pergi
ke tempat-tempat mandi, melainkan kerana sesuatu dharurat, dan itu pun dengan
menjaga tutup badan dengan rapi.
Jenis-jenis kelebihan di badan
Adapun jenis-jenis kelebihan
atau yang tumbuh di badan itu ada delapan macam:
1.
Rambut
kepala: Boleh dicukur botak bagi orang yang menginginkan kebersihan
kepalanya dan boleh juga dipendekkan, tetapi dengan memakai minyak dan
menyikatnya secara teratur.
2.
Misai:
Disunnatkan memotong misai yang panjang melebihi bibir dan boleh
membiarkan hujung-hujungnya melebar ke kanan atau ke kiri.
3.
Bulu
ketiak: Disunnatkan membuangnya paling kurang setiap 40 hari sekali, atau lebih
awal lagi dari itu.
4.
Bulu
kemaluan: Disunnatkan membuangnya dengan dicukur, atau dengan kapur paling
kurang setiap 40 hari sekali, ataupun lebih cepat lagi dari itu.
5.
Kuku:
Memotongnya adalah sunnat disebabkan memang hodoh sekali kelihatannya bila
terlalu panjang, tambahan pula akan banyak sekali kotoran yang terkumpul
padanya. Dalam cara memotong kuku tidak ada riwayat yang sahih dari Nabi s.a.w.
6.
Kelebihan
pada pusat: Tali pusat hendaklah dipotong ketika bayi dilahirkan.
7.
Kulit
yang menutupi kemaluan: Membersihkannya adalah dengan berkhitan pada hari
ketujuh dari hari lahirnya. Tetapi kalau dikuatiri akan berlaku bahaya, tidak
mengapa jika ditunda.
8.
Janggut
yang panjang: Diriwayatkan dari setengah para sahabat dan tabi’in, yang panjang
itu adalah lebih dari cekakan tangan, maka hendaklah dipotong. Setengah yang
lain berkata pula: Membiarkan janggut panjang lebih baik. Perkara ini
terserahlah kepada diri orang itu sendiri, asalkan tidak terlalu panjang sekali
sehingga menghodohkan rupa dan muka, kelak orang ramai akan memandang jijik
kepadanya dan mencelanya. Oleh itu, hendaklah ia berjaga-jaga jangan sampai
berlaku keadaan yang serupa itu.
Mengenai janggut, ada sepuluh
perkara yang dimakruhkan dan sebahagian darinya lebih makhruh dari yang
lain:
1.
Mewarnakannya
hitam, atau
2.
Memutihkannya
dengan kapur,
3.
Mencabutnya,
atau
4.
Mencabut
rambut-rambutnya yang putih,
5.
Mengurangi
atau menambahnya,
6.
Menyikatnya
dengan cara menunjuk-nunjuk kerana tujuan riya', atau
7.
Meninggalkannya
bercelaru kononnya kerana kezuhudan,
8.
Terpengaruh
dengan kehitamannya kerana menganggap diri masih muda, atau
9.
Terpengaruh
dengan keputihannya kerana membesarkan diri, sebab sudah tua, dan
10.
Mewarnakannya
merah tanpa sebab, hanya kerana berangan-angan hendak menjadi orang saleh.
Adapun mewarnakannya hitam, ada
diriwayatkan larangan kerananya, sebab yang demikian itu akan menarik orang itu
kepada kemegahan diri, ataupun pengeliruan orang ramai. Manakala mewarnakannya
putih dengan kapur, mungkin kerana hendak menunjukkan kepada orang ramai bahawa
umurnya telah meningkat tua untuk tujuan meninggikan diri atas orang-orang
muda, ataupun untuk menunjuk-nunjuk dirinya banyak ilmu, kerana mungkin
disangkakannya kelebihan umur itu akan menghasilkan kelebihan kedudukanya,
alangkah batilnya pandangan serupa itu! Kerana kelebihan umur itu tidak akan
menambahkan si jahil melainkan kejahilan juga. Hanya ilmu pengatahuan sajalah
yang boleh menjadi buah dan akal fikiran, dan ia pula adalah suatu bakat yang
dikurnakan oleh Tuhan, manakala umur tua itu tidak akan meninggalkan apa-apa
kesan kepadanya. Orang yang sifatnya jahil atau kurang akal, maka sepanjang
umurnya ia akan hidup menunjukkan kejahilannya atau kekurangan akalnya. Orang-orang
tua dahulu kala sentiasa menonjolkan anak-anak muda kerana ilmu pengatahuannya.
Khalifah Umar Ibnul-Khattab r.a.
pernah mengemukakan bnu Abbas dalam majlis para sahabat yang tua-tua, sedangkan
Ibnu Abbas ketika itu masih muda lagi. Mereka pun bertanya kepada akan
hal-ehwal agama mereka.
Berkata Ibnu Abbas r.a.: Allah
Azzawajalla tiada mengurniakan seseorang hambaNya sesuatu ilmu, melainkan
sewaktu masih mudanya dan kebaikan itu tetap ada pada usia muda, kemudian
beliau membacakan firman Allah yang berbunyi:
“Mereka mengatakan bahawa kami
mendengar ada seorang anak muda yang menyebut-nyebutkan mereka dan anak muda
itu dipanggil Ibrahim.”
(al-Anbia’:60)
Dan firman Allah lagi:
“Mereka itu adalah anak-anak muda
yang beriman dengan Tuhan mereka, lalu Kami (Allah) pun menambahkan bagi mereka
hidayat.” (al-Kahf: 13)
Dan firmanNya lagi:
“Dan Kami (Allah) memberikan
kepadanya kebijaksanaan, ketika ia masih kecil." (Maryam: 12)
Berkata Ayub as-Sakhtiani:
Pernah aku terjumpa seorang tua yang
berumur 80 tahun sedang mempelajari sesuatu dari seorang anak kecil.
Pernah Abu Amru Ibnul-Ala’
ditanya: Maniskah seorang yang sudah tua belajar dari seorang anak kecil? Abu
Amru menjawab: Kiranya kejahilan itu akan menampakkan seseorang itu
bodoh di muka ramai, maka pelajaran pula akan menampakkan ia elok di
hadapan mereka.
0 comments:
Post a Comment