KITAB
Rahsia
Sembahyang Dan
Keutamaannya
(Bahagian
2)
Disambung dari Bahagian 1
Syarat-syarat kebatinan dari gerak
laku hati
Ketahuilah bahawa dalil-dalil pada
mensyaratkan khusyu’ atau kehadiran hati dalam sembahyang itu banyak sekali, di
antaranya firman Allah Ta’ala:
“Dan dirikan sembahyang itu untuk
mengingatiku”
(Taha: 14)
Nyatakan perintah untuk mendirikan
sembahyang itu merupakan perintah yang wajib. Kelalaian dan kelengahan dalam
perkaranya adalah bertentangan dengan maksud mengingatkan Allah. Barangsiapa
yang lalai atau lena dalam semua sembahyangnya, tidak boleh dikatakan dia
mendirikan sembahyang kerana mengingati Allah.
Allah berfirman:
“Dan janganlah kamu termasuk
golongan orang-orang yang lalai.” (al-A’raf: 205)
Ayat di atas memberikan maksud
larangan, tetapi lahirnya menunjukkan pengharaman. Dalam ayat yang lain Allah
berfirman:
“Sehingga kamu sekalian mengetahui
apa-apa yang kamu ucapkan.”
(an-Nisa’: 43)
Ayat tersebut memberikan maksud
larangan bagi orang-orang yang mabuk untuk memasuki sembahyang. Ini boleh juga
dikenakan ke atas orang-orang yang lalai, orang-orang yang berserabut
fikirannya dengan waswas dan hal-ehwal keduniaan.
Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Hanyasanya sembahyang itu adalah
dengan bertenang diri dan merendahkan diri.”
Dimulakan dengan rangkaikata
hanyasanya di sini, bermaksud bahawa sembahyang yang dilakukan tanpa keterangan
dan kerendahan diri bukanlah dinamakan sembahyang yang dituntut oleh syara’.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Barangsiapa bersembahyang, padahal
sembahyangnya itu tidak dapat mencegahnya dari perbuatan keji dan mungkar, maka
orang itu tiada akan bertambah sesuatu dari Allah melainkan jauh
daripadanya.”
Sebenarnya sembahyang orang yang
lalai itu tentu sekali tidak akan mencegahnya dari perbuatan keji dan mungkar.
Sabdanya lagi:
“Betapa banyaknya orang yang
mendirikan sembahyang, tetapi bahagaian yang didapatinya dari sembahyang itu
hanya penat-lelah
semata-mata.”
Yang dimaksudkannya di sini tiada
lain, melainkan orang yang lalai.
Sabdanya lagi:
“Tiada sesuatu yang diperolehi
seseorang hamba dari sembahyangnya, melainkan apa yang dibuatnya dengan akal
yang penuh
kesabaran.”
Yang sudah terang dan jelas dari
semua ayat-ayat dan Hadis-hadis di atas, bahawa orang yang sedang dalam
mengerjakan sembahyang itu, sedang bermunajat atau sedang berbicara
dengan Tuhannya Azzawajalla, sebagaimana yang telah diriwayatkan dari
Rasulullah s.a.w. Padahal kita semua telah mengetahui, bahawa orang yang
berbicara sedangkan dia lalai dan tidak hadir hatinya, tidaklah boleh dinamakan
munajat sama sekali.
Jika seseorang bersumpah dengan
berkata: “Sungguh-sungguh aku akan berterima kasih kepada si Fulan, aku akan
memujinya serta memohon daripadanya sesuatu hajat, lalu di dalam tidurnya dia
bermimpi bahawa dia mengucapkan kata-kata itu (yakni apa yang dia bersumpah
tadi), maka tiadalah terkira luput atau gugur dia dari sumpahnya itu.
Ataupun jika dia mengucapkan
kata-kata itu di sebuah tempat yang gelap-gelita, sedangkan si Fulan yang harus
ditunjukkan sumpahnya itu berada di situ, tetapi dia tiada mengatahui kehadiran
si Fulan itu di situ dan tiada melihatnya ketika itu, maka hukumnya tiada juga
gugur dia dari sumpahnya tadi, sebab semua ucapannya itu tidak ditunjukan
kepada si Fulan yang dimaksudkan, kerana si Fulan itu tidak hadir dalam hatinya
ketika kata-kata itu diucapkan.
Ataupun jika dia mengucapkan
kata-kata itu di siang hari dan kali ini pula si Fulan yang harus ditunjukan
sumpahnya itu ada di situ, dapat dilihat olehnya dengan terang, Tetapi
malangnya, dia lalai dan lena, kerana ketika itu, barangkali dia sedang dalam
keadaan susah atau banyak fikiran. Dia mengucapkan kata-kata itu, padahal
hatinya di tempat lain, tidak ditunjuk ucapanya itu kepada si Fulan yang
termaksud itu, maka hukumnya sama belaka, iaitu tiadalah dia gugur dari
sumpahnya.
Sememangnya sudah tidak dapat
disangsikan lagi, bahawa maksud daripada bacaan dan zikir di dalam sembahyang
itu, adalah untuk memanjatkan puji-pujian, kesyukuran, kerendahan diri serta
doa kepada Allah s.w.t. Seolah-olah kita bercakap-cakap kepada Allah azawajalla
yang berada di hadapan kita. Maka kiranya hati kita tertutup oleh tabir
kelalaian, sudah tentulah Zat Allah s.w.t. akan terlindung dari hati kita, maka
kita tidak akan dapat melihat atau menyaksikanNya. Malah hati kita itu
akan menjadi lalai dari yang diajak bercakap-cakap itu, dan tinggallah mulutnya
saja yang komat-kamit menurut kebiasaanya. Alangkah jauhnya orang ini dari
pengertian sembahyang yang sebenarnya yang disyaratkan untuk menggilapkan
(membersihkan) hati dan membaharukan zikir Allah azzawajalla serta memperkukuh
ikatan keimanan.
Pendekata kehadiran hati dalam
sembahyang merupakan jiwa dan roh kepada sembahyang itu sendiri. Barangsiapa
yang mengenal rahsia-rahsia sembahyang, mengertilah dia bahawa kelalaian
atau ketidak-hadiran hati di dalamnya menyalahi atau bertentangan dengan
sifat sembahyang yang betul.
Syarat-syarat
keistimewaan sembahyang
Syarat-syarat yang
menjadikan sesuatu sembahyang itu istimewa dari segi kebatinannya banyak
sekali, tetapi bolehlah disimpulkan kepada enam perkara:
(1) Kehadiran hati
dalam sembahyang.
(2) Mengerti
bacaan-bacaan sembahyang.
(3) Membesarkan
Allah dalam sembahyang.
(4) Merasakan
kehebatan Allah dalam sembahyang.
(5) Penuh harapan.
(6) Perasaan malu.
Berikut kita sebutkan huraiannya
secara terperinci, kemudian sebab-sebabnya, dan seterusnya mengusahkan cara
untuk mencapai syarat-syarat tersebut:
(1) KEHADIRAN HATI DALAM SEMBAHYANG
Maksudnya ialah agar dapat kita
mengosokan hati itu dari segala urusan yang boleh
mengganggu, ataupun yang tak ada
sangkut-pautnya dengan ibadat sembahyang yang sedang dikerjakan itu. Maka
hendaklah pengetahuannya dengan gerak laku badan dan gerak-geri hati itu
bersaingan kedua-duanya sekali; dan jangan sampai pemikirannya berputar kepada
selain dari keduanya itu.
(2) MENGERTI BACAAN-BACAAN SEMBAHYANG
Memahami atau mengerti maksud-maksud
perbicaraan dalam sembahyang itu adalah menjadi seperkara yang utama dalam
kontek menghadirkan hati dalam sembahyang; iaitu hati itu haruslah mengatahui
segala yang dibicarakan oleh lidah, kerana sembahyang itu memang mengandungi
banyak makna-makna atau maksud-maksud yang halus yang patut dimengertikan oleh
seorang dalam sembahyangnya. Dengan itu, barulah sembahyang itu dapat
mencegahnya dari melakukan perkara-perkara yang keji atau mungkar.
(3) MEMBESARKAN ALLAH DALAM SEMBAHYANG
Membesarkan Allah di dalam
sembahyang akan memberikan pengertian yang
mendalam kepada diri orang yang
bersembahyang
Itu, di sebalik menghadirkan hati
dan memahamkan bacaan-bacaannya.
(4) MERASAKAN KEHEBATAN ALLAH DALAM SEMBAHYANG
Merasakan kehebatan Allah akan
menambahkan lagi kebesaranNya yang dirasakan di
dalam sembahyang, dan ia diibaratkan
sebagai ketakutan yang berpunca dari kemaha-agungnya Allah Ta’ala yang disembah
ketika itu dan kemaha-tinggianNya.
(5) PENUH HARAPAN
Orang yang melakukan sembahyang itu
haruslah mengharapkan pahala yang banyak
dari Allah s.w.t., dan sebaliknya
harus pula ia merasa takut dari sikaanNya, yang mungkin ditimpakan oleh Allah
ke atasnya disebabkan oleh kecuaiannya.
(6) PERASAAN MALU
Dia juga harus mempunyai perasaan
malu terhadap Allah s.w.t., kerana kemungkinan
sekali tanpa disadarinya telah berlaku
daripadanya sesuatu kecuaian dalam sembahyang itu, atau sesuatu dosa yang tidak
disangka-sangkakannya.
Adapun sebab-sebab pencapaian maksud
yang enam di atas tadi ialah:
Pertama: Hendaklah kita mengetahui bahawa
yang boleh menyebabkan hati itu hadir ialah kekuatan azam, kerana hati itu
sentiasa menurut keazaman kita: Hati tidak akan hadir, melainkan sesudah kita
menujukan keazaman kita kepadanya. Jadi bila timbul sesuatu perkara yang
menarik perhatian kita, tentulah hati kita akan hadir dan meletakkan
perhatiannya kepada perkara itu, sama ada secara sukarela mahupun terpaksa,
sebab hati itu diciptakan dalam fitrah yang semacam itu dan ia tetap tertakluk
kepadanya.
Jika sekiranya hati itu tiada hadir
dalam sembahyang, tentulah ia tidak akan berdiam diri begitu saja, bahkan ia
akan berkeliaran ke sana ke mari menunjukan perhatiannya kepada hal-ehwal
keduniaan. Oleh itu, tiada jalan lain atau tiada penawar untuk menghadirkan
hati itu, melainkan dengan menumpukan segala perhatian kita kepada sembahyang
semata-mata. Dan perhatian kita itu tidak akan dapat dihadapkan sepenuhnya
kepada sembahyang, selagi belum ternyata atau terbukti bahawa hati yang
dituntut itu sepenuhnya bergantung kepada sembahyang. Yang demikian itu dapat
dicapai melalui keimanan dan keyakinan yang menetapkan, bahawa akhirat itu
adalah lebih baik dan lebih kekal, dan bahawasanya sembahyang pula adalah
sebagai suatu wasilah atau jalan untuk mencapai kebahagiaan itu disana.
Kedua: Memahamkan bacaan, iaitu sebabnya sesudah menghadirkan hati,
ialah menetapkan dan memusatkan akal fikiran untuk menangkap maksud dari
segala pertuturan dalam sembahyang. Penawarnya adalah seperti yang tersebut di
atas tadi serta menumpukan fikiran dan menyediakannya untuk menolak segala yang
mungkin mengacaunya, dan cara menolaknya ialah dengan menolak punca-puncanya;
yakni pokok-pokok bagi sebab-sebab yang boleh mempengaruhi akal fikiran dan
mengajaknya untuk berfikir-fikir.
Ketiga: Membesarkan atau memuliakan Allah dalam sembahyang, dan yang
demikian itu harus datangnya dari hati dengan dua cara:
(1) Mengenal
kebesaran Allah azzawajalla dan keagunganNya dan ini adalah dari asal-usul
keimanan.
(2) Mengenal
kerendahan jiwa dan kehinaannya serta keadaannya sebagai seorang hamba yang
tertakluk dan bertuhankan Allah yang Maha Agung.
Pengenalan terhadap kedua-dua cara
ini haruslah berterusan sehingga timbul ketenangan, kerendahan hati dan
seterusnya kekhusyu’an terhadap Allah s.w.t., maka ketika itulah baru kita
kenal pengertian membesarkan Allah dengan penuh kesempurnaan.
Keempat: Adapun merasakan kehebatan atau
ketakutan itu adalah keadaan yang harus disifati oleh jiwa yang
akan timbul sesudah mengenal akan kekuasaan Allah dan kesanggupanNya,
lalu melaksanakan kehendakanNya tampa campur tangan dari kuasa-kuasa yang lain,
Jika sekiranya Allah memusnahkan yang awal (terdahulu) semua sekali dan yang
akhir (terkebelakang) semua sekali, maka tiadalah akan berkurangan dari
kerajaanNya sesuatu sebesar zarrah (atom) pun. Oleh sebab itulah apabila
bertambah ilmu kita mengenai Allah, akan bertambah pulalah ketakutan dan
kehebatan perasaan kita terhadapNya.
Kelima: Adapun pengharapan, maka sebabnya ialah pengenalan kita
kepada belas kasihan Allah s.w.t. dan rahmatNya, serta segala kenikmatan dan
kemaha-halusan penciptaanNya. Begitu pula dengan menyakinkan kebenaran janjiNya
dengan balasan syurga bagi orang yang melakukan sembahyang. Apabila telah
muncul keyakinan dalam hati tentang segala janji-janji Allah, dan muncul sama
pengenalan tentang belas kasihanNya, niscaya tidak syak lagi akan timbullah
kesan dari kedua-duanya tadi hakikat pengharapan.
Keenam: Akhir sekali perasaan malu, dan dengan adanya sifat malu itu
dalam diri, akan teringatlah kita akan kecuaian kita dalam
menjalankan ibadat serta mengatahui, bahawa kita ini memang tidak
mampu untuk mendirikan semua hak-hak Allah Azzawajalla. Perasaan serupa itu
akan menolong kita untuk mengingat tentang keaiban-keaiban diri dan dan
kecelaannya, ketidak-iklasan diri dan kecenderungannya kepada balasan-balasan
yang kontan dalam segala amal perbuatannya, padahal kita mengatahui tentang
kebesaran apa yang bakal ditentukan oleh Allah yang Maha Mulia (yakni dari
balasan terkemudian). Dan hendaklah kita menyakini, bahawa Allah Azzawajalla
itu mengetahui dan menyingkap segala rahsia dan gerak-geri hati meskipun ia
terlalu kecil atau masih samar-samar.
Semua makrifat-makrifat ini bila
ditemui dengan keyakinan akan terpancarlah daripadanya, tidak syak lagi, suatu
keadaan atau perasaan yang dinamakan perasaan malu terhadap Allah Azzawajalla.
Sekianlah sebab-sebab bagi semua
sifat-sifat yang disebutkan di atas tadi. Setiap yang hendak dicari huraiannya,
terlebih dulu hendaklah diterangkan sebab-sebabnya, kerana setelah
mengenal sebab-musababnya dapatlah pula mengenal ubat dan penawarnya. Manakala
ikataan bagi semua sebab-sebab ini ialah keimanan kepada Allah Azzawajalla dan
keyakinan terhadapNya.
Penawar berguna untuk menghadirkan
hati
Ketahuilah, bahawa setiap orang
Mu’min itu wajib memuliakan Allah azzawajalla, takut hanya kepadaNya, berharap
hanya daripadaNya, dan sentiasa pula merasa malu terhadap segala kelalaian yang
timbul tersebab dari perilakunya terhadap Allah s.w.t. Semua perkara-perkara
yang tersebut ini haruslah tidak terlepas dari ingatannya, sesudah ada penuh
keyakinan terhadap Allah s.w.t., sekalipun kekuatan ingatan itu setanding
dengan kadar kekuatan keyakinannya. Sebab terhindarnya sesuatu sembahyang dari
ingatan kepada perkara-perkara tersebut, tiada lain melainkan disebabkan oleh
fikiran yang bercabang-cabang, terganggunya hati dan ketidak hadirannya dalam
bermunajat, berarti kelalaian dalam sembahyang. Dan tiada yang menjauhkan kita
dari sembahyang yang sempurna, melainkan kerana terlalu banyak fikiran yang
datang menggangu dan mengacau. Penawar dalam menghadirkan hati ialah menolak
semua fikiran-fikiran tersebut, dan sesuatu perkara itu tidak akan tertolak
melainkan dengan menolak sebabnya, maka hendaklah anda mencari sebabnya dan
mengetahui.
Adapun sebab-sebab kemunculannya
fikiran-fikiran yang tidak menentu dalam sesuatu sembahyang itu, ialah sama ada
merupakan perkara dari luar ataupun perkara dari dalam. Perkara-perkara dari
luar; iaitu seperti sesuatu yang didengar oleh telinga, ataupun dilihat oleh
mata. Hal serupa ini boleh menarik perhatian kita kepadanya, lalu perasaan kita
pun tertumpu kepadanya dan terpengaruh dengannya. Dari situ kita boleh
dibawanya dari suatu fikiran kepada fikiran yang lain, sampai bercabang-cabang
pula fikiran kita. Pada ketika itu semua yang kita lihat di hadapan kita akan
menjadi sebab pemikiran.
Orang yang kukuh niatnya dan kuat
keazamannya tidak akan dilalaikan oleh segala sesuatu yang bermain pada
pancainderanya. Akan tetapi si lemah tentu sekali pancainderanya akan membawanya
menggembara kepada berbagai-bagai pemikiran ketika itu.
Penawar kepada penyakit ini ialah
dengan memutuskan pemikirannya dari segala sebab-sebab ini; iaitu dengan
menutup matanya terlebih dulu, kemudian bersungguh-sungguh mencuba meletakkan
ke belakang semua yang mungkin mengganggu pancainderanya. Seterusnya, dia
mencari tempat yang berdekatan dengan tembok, supaya dalam sembahyang nanti
ruangan di hadapanya tidak terlalu lapang untuk dilihat oleh matanya. Dan
hendaklah dia menjauhkan diri dari menunaikan sembahyang di jalan-jalan raya,
yakni di tempat-tempat lalulintas orang ramai, ataupun di tempat-tempat yang
berlukisan, atau tikar-tikar yang penuh dengan gambar-gambar dan warna-warni,
kerana kesemuanya itu boleh menyebabkan kelalaian dalam sembahyang.
Adapun sebab-sebab kebatinan pula,
maka yang demikian itu adalah lebih hebat lagi. Orang yang bercabang-cabang
perhatiannaya dalam persoalan-persoalan keduniaan tentu sekali pemikirannya
tidak tetap setempat, ataupun menumpu kepada sesuatu perkara yang tertentu,
malah ia akan mengembara dari satu tempat ke tempat yang lain. Cara untuk
mengekang pemikiran-pemikiran ini dari berlaku, ialah dengan memaksa diri untuk
memahami, atau mengikuti makna-makna bacaan yang dibacanya di dalam sembanyang
dan melarang diri dari mengingati perkara-perkara yang lain dari itu. Untuk
membantu melaksanakan cara ini, seseorang yang ingin bersembahyang hendaklah
bersiap sedia sebelum bertakbir, lalu memperbaharui ingatannya tentang hari
akhirat dan tempat bermunajat itu serta bahayanya keadaan ketika itu.
Sebab ia sedang berhadapan muka dengan Allah s.w.t. Dan Allah dapat menyingkap
segala rahsianya pada masa itu. Sebelum mengangkat takbir, hendaklah ia
menumpukan segala perhatian dan hatinya kepada sembahyang saja, dan
jangan sampai ditinggalkan suatu tempat pun dalam hatinya itu untuk dipengaruhi
oleh perkara-perkara selainnya.
Apabila gelombang pemikirannya masih
belum lagi dapat disembuhkan oleh ubat yang seharusnya boleh mentenangkannya,
maka hendaklah ia mendapatkan ubat pembersih yang boleh melenyapkn pangkal
penyakit yang bersarang di dalam dasar urat sarafnya. Haruslah ia segera
memperhatikan apa-apakah yang memalingkan dirinya dari kehadiran hati tadi.
Tidak syak lagi, sesudah itu, akal fikiran itu akan kembali kepada tugasnya,
dan ketahuilah ia bahawa pemesongan yang berlaku tadi tiada lain, melainkan
disebabkan oleh gejala-gejala syahwat. Maka ia pun segeralah mengutuk dirinya
dengan mencabut segala syahwat-syahwat itu dari dalam dirinya serta memutuskan
semua perhubungan diri dengan syahwat-syahwat itu.
Ada sebuah riwayat yang diceritakan
dari Rasulullah s.a.w. bahawa baginda pernah memakai baju bersulam yang
diberikan kepadanya oleh Abu Juhum, lalu baginda bersembahyang,
sebaik-baik selesai saja bersembahyang, segeralah baginda menanggalkannya pula
seraya bersabda: Kembalikanlah baju ini kepada Abu Juhum sebab ia melenakan
saya dalam sembahyang tadi, dan tukarkanlah dia dengan baju biasanya saja
(yakni yang tiada bersulam).
YANG HARUS DIPERHATIKAN KETIKA
MENGERJAKAN RUKUN DAN SYARAT SEMBAHYANG
Jika anda mendengar suara muazzin
berazan. Hendaklah anda gambarkan di dalam hati, betapa hebatnya seruan yang
akan berlaku nanti di Hari Kiamat. Oleh itu anda merasakan pada lahir dan batin
anda hendak cepat-cepat menyahut seruan itu, kerana orang-orang yang akan
diseru dengan lemah-lembut kelak di hari perkiraan yang terbesar (Hari Kiamat).
Adapun taharah ataupun kesucian itu,
jika di tempat anda (melakukan sembahyang itu), ia diumpamkan sebagai tutup
yang terjauh; jika di pakaian anda, ia diumpamakan sebagai tutup yang terdekat;
jika di kulit badan anda, ia diumpamakan sebagai bungkus yang terhampir sekali,
maka hendaklah anda jangan pula sampai terlalai akan isinya yang diumpamakan
sebaagai zat anda, iaitu hati yang berada di dalamnya. Hati itu haruslah
dipelihara kesuciannya dengan banyak bertaubat dan menyesali diri atas segala
yang telah terlanjur. Di samping itu hendaklah anda sungguh-sungguh berazam
untuk meninggalkan segala ketelanjuran itu di masa hadapan. Kebatinan anda
itulah yang seharusnya dipelihara dan disucikan, kerana dialah yang menjadi
tempat pandangan Allah s.w.t. yang kita beribadat kepadaNya.
Adapun menutup aurat pula maka
ketahuilah bahawa maksudnya ialah menutup segala kejelekan badan anda dari
pandangan orang ramai, kerana zahirnya tubuh badan itu menjadi tempat pandangan
orang ramai, Apatah lagi dengan aurat-aurat kebatinan anda yang merupakan
kecelaan dan keburukan yang berselindung di dalam diri anda itu, yang tidak dapat
disingkapkan, melainkan oleh Allah Azzawajalla, maka lebih-lebih lagi harus
dijaga dan dipelihara.
Sebaik-baiknya hendaklah anda
bayangkan semua keburukan itu di dalam hati anda, dan berusahalah agar
kesemuanya ini dapat ditutup. Dalam pada itu, hendaklah anda yakin bahawa tiada
sesuatu pun yang akan dapat terlindung dari pandangan Allah s.w.t., tetapi yang
boleh menutupnya atau menghapuskannya ialah dengan menyesali diri, merasa malu
dan menampakkan ketakutan kepada Allah s.w.t. Apabila semua sifat-sifat ini
telah berada dalam hati, ketika itulah jiwa anda akan merasa hina dan rendah
dan hati pun sentiasa akan mengecap ketenangan di bawah perasaan malu tadi.
Pada waktu itu anda akan berdiri di hadapan Allah Azzawajalla sebagai seorang
hamba yang berdosa, yang membuat banyak kesalahan, ataupun seperti seorang
budak yang telah melarikan diri lalu menyesal dan kini kembali semula kepada
tuannya, sedang menundukkan kepalanya kerana terlalu dikuasai perasaan malu dan
takut.
Adapun menghadapkan muka ke kiblat,
iaitu memalingkan zahirnya wajah anda dari semua arah menghadap ke arah
Baitullah Ta’ala. Jangan pula sampai anda menyangka bahawa memalingkan hati
dari segala perkara dan hanya ditumpukan kepada Zat Allah Azzawajalla itu tidak
dituntut. Bahkan itulah yang sangat-sangat di tuntut pada ketika itu, dan tidak
ada selainnya. Jadi apa yang dibuat dari gerak-geri lahiriah itu menunjukkan
kepada gerak-geri batiniah, dan juga untuk menjaga segala gerak laku semua
anggota-anggota serta menentukannya menetap pada arah yang satu saja, sehingga
ia tiada menyalahi haluan hati. Sebab kiranya ia menyalahi gerak laku hati dan
menzaliminya dalam segala gerak-gerinya dan haluannya ke arah-arahnya, niscaya
ia akan menarik hati bersama-sama berpaling dari arah Allah Azzawajalla. Oleh
kerana itu berhati-hatilah agar haluan hatimu menyertai haluan tubuh badanmu.
Ketahuilah, sebagaimana wajah itu
tiada boleh menghadapkan ke arah Baitullah (Kaa’bah) kecuali dengan
memesongkannya dari arah-arah yang lain, begitu pulalah hati tiada akan menuju
kepada Allah Azzawajala, melainkan dengan memalingkannya dari yang lain-lain
dan mengosongkannya dari ingatan-ingatan selain dari Allah.
Adapun I’tidal atau berdiri tegak
lurus, maka yang sebenarnya batang tubuh seseorang itulah yang sedang berdiri
tegak, manakala hatinya pula sedang berhadapan dengan zat Allah azzawajalla,
dan mengingatkan hati agar bersifat dengan sifat rendah diri, hina dan
melepaskannya dari perasaan membesarkan diri dan takabur. Selain itu, ia akan
mengingatkannya lagi pada hari berdirinya di hadapan Allah azzawajalla, dan
pada hari susah-payahnya diri ketika dibawa ke pengadilan untuk disoal di Hari
Kiamat kelak.
Oleh itu, hendaklah anda ketahui
bahawa pada ketika itu anda sedang berdiri di hadapan Allah Azzawajalla, dan
Dia sedang memerhatikan anda dan mengatahui segala rahsia anda. Sayugialah
hendaknya, anda berdiri pada waktu itu, seperti anda berdiri di hadapan raja
pada zaman sekarang, ini jika anda sebenarnya tidak berdaya untuk mengesan
kebesaran Allah yang Maha Berkuasa itu.
Adapun niat itu merupakan suatu
keazaman untuk menyahut perintah Allah azzawajalla, yakni menunaikan sembahyang
yang difardhukan ke atas anda serta menyempurnakannya dengan penuh harapan,
agar mendapat balasan pahalaNya dan merasa takut dari siksaanNya. Begitu juga
untuk memohon mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. dengan penuh cita-cita untuk
mencapai pengurniaanNya; iaitu agar Allah s.w.t. akan menggerakkan hati untuk
bermunajat kepadaNya, meskipun dosa anda sudah terlalu banyak. Maka hendaklah
anda membesarkan darjat munajat kepada Allah itu dalam diri anda, sebagai suatu
perkara yang amat penting sekali. Kemudian, hendaklah anda perhatikan di dalam
hati anda, siapakah sebenarnya yang anda bermunajat kepadanya ketika itu?. Bagaimana
pula seharusnya munajat itu kepadaNya?. Dan apakah yang anda ucapkan dalam
munajat itu?.
Dalam menjalankan munajat serupa
itu, sepatutnya anda merasakan peluh mengalir dari atas dahi kerana perasaan
malu, manakala tubuh anda merasa gementar pula, kerana kehebatan
kedudukan di masa itu. Dan akan pucat-lesilah wajah anda dari perasaan
ketakutan.
Adapun bacaan takbir itu, maka
apabila anda menyebutkan dengan lisan hendaklah jangan anda mendustakannya di
dalam hati. Andaikata di dalam hati ketika itu ada sesuatu yang dipandang
lebih besar dari Allah s.w.t., ataupun hawa nafsu itu lebih menguasai jiwa anda
daripada Tuhan yang sedang anda beribadat kepadaNya, kemudian anda
menurutkan pula kemahuan hawa nafsu itu, maka samalah seperti anda menjadikannya
Tuhan selain dari Allah yang anda membesarkanNya. Jadi kata-kata Allahu Akbar
itu tiada lain hanyalah semata-mata di bibir saja, manakala hati tiada
mengakuinya atau membantunya. Alangkah berbahayanya orang yang
berkeadaan sedemikian itu, kalaulah tidak diikutkan segera dengan taubat
dan istightar, dan terutama sekali persangkaan yang terbaik terhadap Allah
s.w.t. yang melalui kemurahanNya dan belas kasihanNya dapat memberikan
keampunaan kepada kita sekalian.
Adapun doa Iftitah, maka ucapan anda
yang pertama sekali ialah:
“ Aku menghadapkan wajahku kepada
yang menjadikan petala langit dan bumi.”
Yang dimaksudkan dengan perkataan
wajah di sini bukanlah wajah atau muka yang lahir itu, kerana anda
menghadapkannya ke arah kiblat. Allah s.w.t. Maha Suci daripada boleh
ditetapkan adaNya di sesuatu arah atau jihat yang tertentu, sehingga anda
menghadapkan muka atau wajah di badan itu ke arahnya. Akan tetapi yang
dimaksudkan dengan wajah itu ialah wajah hati yang harus menghadap atau
menghala kepada Tuhan Pencipta petala langit dan bumi. Jadi hendaklah anda
perhatikan adakah ia menuju atau menghala kepada berbagai angan-angan atau
cita-cita dan adakah perhatiannya masih tertumpu ke dalam rumah atau di pasar
menurutkan segala macam syahwat dan hawa nafsu, ataupun ia sebenarnya telah
menuju atau menghala kepada Tuhan Pencipta langit?.
Awaslah, jangan sampai pula
pekerjaan munajat itu dimulakan dengan berdusta. Ingatlah bahawa wajah hati itu
tidak mungkin ditujukan semata-mata khalish kepada Allah s.w.t.
melainkan dengan memalingkan wajah itu dari perkara-perkara selain Allah. Oleh
itu hendaklah berusaha bersungguh-sungguh dengan serta-merta memusatkan tujuan
kita kepada Allah s.w.t.
Kiranya tidak mampu melakukan yang
demikian terus-menarus, maka hendaklah berkata dalam diri; Sekarang aku akan
cuba lagi, Kiranya tidak mampu juga, maka hendaklah mencuba lagi dengan
sebenar-benarnya.
Kemudian apabila membaca:
“Dalam keadaan cenderung dan
berserah.”
Apabila membaca:
“Dan tiadalah aku dari golongan
orang-orang musyrikin”
Sewajarnyalah anda memahamkan di
dalam hari bahawa syirik yang tersembunyi itu ialah umpama seorang mengkasadkan
(meniatkan) ibadatnya kepada Allah s.w.t., tetapi dalam pada itu, dia suka memuja-muja
manusia. Ingatlah dan peliharalah diri anda dari rupa syirik ini, dan hendaklah
merasakan malu di hati anda, kalau anda mendakwa diri bukan dari golongan
orang-orang yang musyrikin, tetapi anda tidak terlepas dari perbuatan syirik
ini, Ketahuilah bahawa pengertian syirik itu terkena kepada perbuatan yang
sedikit, mahupun yang banyak dari kelakuan serupa itu.
Apabila membaca:
“Hidupku dan matiku kerana Allah
Ta’ala.”
Ketahuilah bahawa hal serupa ini
adalah sama seperti halnya seorang hamba yang kehilangan dirinya, dan kini
sedang berada di hadapan tuannya. Kalaulah kata-kata itu diucapkan oleh seorang
yang keredhaannya, atau kemarahannya, atau berdirinya, atau duduknya, atau
keinginannya untuk hidup terus-menerus dan kegerunannya dari menemui maut
semata-mata, kerana urusan keduniaan tentulah tidak sesuai untuk keadaannya
seketika itu.
Bila membaca:
“Aku berlindung diri kepada Allah
dari bencana syaitan yang terkutuk.”
Hendaklah anda ketahui bahawa
musuhmu (syaitan) itu sentiasa memasang perangkap untuk memesongkan hati anda
dari Allah azzawajalla, semata-mata kerana dengki dan hasad terhadap munajat
yang anda lakukan terhadap Allah s.w.t. Kemudian anda bersujud pula kepada
Allah, padahal kerana sebab sujudlah syaitan itu dihalau dari rahmat Allah dan
menjadi terkutuk tersebab satu kali sujud saja yang ia enggan melakukannya.
Bila anda membaca isti’azah’
(A’uzubillahi minasy-syaitanir-rajiim) pula, janganlah hendaknya membaca
sekadar menggerakkan lisan semata-mata, melainkan anda sekaligus meninggalkan
segala kelakuan yang disukai oleh syaitan dan menggantikan tempatnya dengan
kelakuan-kelakuan yang diredhai oleh Allah. Umpamanya samalah seperti seorang
yang diserang oleh binatang buas ataupun musuh yang hendak membunuhnya,
janganlah hendaknya ia hanya berkata: Aku berlindung daripadamu di dalam
pendinding yang menahan dari segala mara bahaya, sedangkan ia berdiri tegak di
tempatnya itu, tentulah itu tidak akan memberi apa-apa guna atau manfaat,
kecuali ia mencari tempat yang boleh melindunginya dari binatang atau musuh
itu.
Begitu pula hendaknya bagi orang
yang sering menurutkan hawa nafsu dan kehendak-kehendak yang menjadi keinginan
syaitan dan kebencian ar-rahman (Allah), tidaklah memadai dengan setakat
berkata dengan lidah saja tanpa ada bukti. Barangsiapa yang mengambil hawa
nafsunya menjadi Tuhan, niscaya dia berada dalam medan atau halaman syaitan,
dan bukanlah dalam benteng Allah Ta’ala.
Ketahuilah di antara tipu daya tipu
daya syaitan itu, dia akan memesongkan anda dalam sembahyang daripada
mengingatkan tentang akhirat, atau menghalang anda untuk membuat kebajikan
supaya dapat menahan anda dari memahami bacaan-bacaan yang di baca dalam
sembahyang itu. Maka hendaklah anda faham bahawa segala yang menghalang dari
memahami makna-makna bacaan itu adalah waswas. Sebab gerak-geri lisan itu
bukanlah menjadi maksud yang utama, bahkan maksud yang utama ialah makna-makna
bacaan itu.
Bila anda membaca:
“Dengan nama Allah yang Maha Pemurah
lagi Maha mengasihani.”
Hendaklah anda meniatkaan keberkatan
kerana memulakan bacaan Kalamullah (Firman Allah). Ketahuilah bahawa
maknanya, semua perkara-perkara itu akan berlaku dengan kuasa Allah Ta’ala, dan
bila kita mengi’tikadkan bahawa semua perkara-perkara itu dalam kuasa Tuhan,
tentulah tiada daya lagi bagi kita.
Bila membaca:
“Segala puji-pujian bagi Allah.”
Maknanya: Segala kesyukuran
hendaklah ditujukan kepada Allah semata-mata, kerana dialah yang memberikan
semua nikmat-nikmat itu. Barangsiapa yang menganggap ada lagi nikmat dari
selain Allah Ta’ala, ataupun dia menunjukkan kesyukurannya kepada selain dari
Allah, bukan kerana dia itu terpaksa, maka jadilah segala bacaan Bismillah dan
Alhamdullilah yang disebutkannya itu tadi, tiada berguna, kerana
tujuannya kepada selain dari Allah s.w.t.
Bila membaca:
“Yang Maha Pengasih lagi
Penyayang.”
Di waktu itu hendaklah anda tinjau
di dalam hati segala macam kelembutan Allah kepada sekalian makhlukNya, niscaya
ternampaklah oleh anda rahmatNya sehingga timbul pula pengharapan kepadaNya.
Sesudah itu hendaklah terpancar dari dalam hati anda perasaan membesarkan Allah
dan takut kepadanNya, dengan membaca pula:
“Yanag menjadi raja pada Hari
Kiamat.”
Adapun kebesaran yang diucapkan terhadap Allah itu ialah,
kerana tiada kerajaan kecuali bagi Allah yang Maha Kuasa. Manakala ketakutan
pula ialah dikeranakan kehebatannya hari pembalasan dan hari perkiraan yang
Allah s.w.t. akan menjadi Pengadilnya.
Sesudah itu perbaharukanlah
keiklasan anda terhadap Allah s.w.t. dengan membaca:
“Hanya kepadaMu saja kami
menyembah.”
Menyertai bacaan itu, hendaklah anda
mengingatkan kelemahan anda dan keperluan anda kepada Allah, Begitu pula
mengingat bahawa diri anda itu tiada berdaya-upaya sama sekali dengan membaca
pula.
“Dan hanya kepadaMu pula kami
meminta
pertolongan.”
Di waktu itu yakinlah anda, bahawa
tiada daya-upaya untuk mentaati Allah kalau tidak dengan pertolongan Nya. Dan
bahawasanya manusia itu terhutang budi kepada Allah disebabkan taufiqNya yang
dilimpahkan ke atas manusia untuk membuat ketaatan kepadaNya.
Kemudian tetapkan pula permintaan
anda dan jangan meminta melainkan perkara-perkara yang amat penting saja, dan
bacalah:
“Tunjukilah kami jalan yang lurus
(Shirathal-Mustaqiim).”
Iaitu jalan yang akan membimbing
anda ke sisi Allah s.w.t. dan yang akan menyebabkan keredhaanNya kepada anda.
Dalam pada itu, hendaklah anda tambah pula keterangan penjelasan dan pengukuhan
atau penyaksian terhadap orang-orang yang yang telah menerima limpahan hidayat
dariNya, iaitu dari golongan para Nabi, para Siddiqin, para Syuhada dan para
Salihin, dan bukan pula orang-orang yang dimurkai oleh Allah dari golongan
kafir, musyrik dan orang-orang yang sesat.
Sesudah menyebutkan
semua itu, lalu anda pohonkan pengabulan Allah s.w.t dengan membaca:
“Kabulkanlah segala
permohonan kami
itu.”
Ketahuilah, andaikata
anda tiada memperolehi sesuatu pun dari sembahyang anda itu selain dari
Zikrullah, yakni hanya berzikir kepada Allah saja tentang kemaha-agunganNya dan
kebesaranNya, itu pun sudah memadai. Apatah lagi dengan apa yang anda
harap-harapkan dari balasan dari pahalaNya.
Seterusnya, hendaklah
anda memahami segala bacaan yang anda baca itu dari surah-surah al-Quran.
Janganlah sampai anda lalai atau cuai akan perintah dan laranganNya. Janji dan
ancamanNya. Segala nasihat-nasihat dan berita-berita tentang para NabiNya, dan
seterusnya mengingat segala nikmat dan kebaikanNya, kerana tiap-tiap satu dari
semua ini ada haknya. Timbulnya harapan akibat dari adanya janji. Timbulnya
ketakutan akibat dari adanya ancaman. Timbulnya keazaman akibat dari adanya
suruhan dan larangan. Menurut arahan adalah akibat dari adanya nasihat dan
peringatan. Mengucap kesyukuran adalah akibat dari adanya budi dan pemberian.
Dan mengambil contoh-tauladan adalah akibat dari adanya cerita-cerita para
Nabi. Semua pengertian-pengertian ini akan berkesan sekali dalam diri
seseorang, sesuai dengan tingkatan fahamannya, dan ini tergantung pula kepada
darjat ilmu pengetahuannya dan kebersihan hatinya. Manakala darjat seseorang
dalam bidang ini tidak ada kadar atau batasannya yang tertentu. Jadi sembahyang
itu adalah jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala. Di dalam
sembahyanglah boleh tersingkap semua rahsia kalimat-kalimat akibat dari
bacaan-bacaan yang kita bacakan Demikianlah pula dengan rahsia-rahsia
zikir-zikir dan tasbih-tasbih.
Selanjutnya, mestilah
ada rasa kehebatan dalam segala bacaan-bacaan itu, dan sebaik-baiknya dibacakan
satu-persatu perlahan-lahan. Jangan sampai terlalu cepat atau tergopoh-gapah,
kerana secara itu lebih mudah untuk difahamkan atau direnungkan pengertiannya.
Adapun kelangsungan
berdiri itu adalah suatu peringatan terhadap turutnya hati sama-sama berdiri di
hadapan Allah azzawajalla, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.:
“Sesungguhnya Allah
Azzawajalla itu sentiasa menghadap kepada orang yang bersembahyang, selama ia tiada
menolah-noleh.”
Sebagaimana wajib kita
menjaga kepala dan mata supaya tidak menoleh-noleh ke arah selain dari kiblat,
demikian pula wajib kita menjaga kebatinan kita; iaitu hati dan jiwa supaya
tidak berpaling kepada selain dari Allah s.w.t. dalam sembahyang. Jika ia
berpaling, maka hendaklah segera diperingatkannya bahawa Allah s.w.t. itu
mengatahui segala gerak-geri kabatinan, dan mengingatkan sekali akan buruknya
balasan dari Allah, akibat kelalaian hati orang yang bermunajat dalam
sembahyangnya.
Kekalkanlah kekhusyu’an
di dalam hati, dan tandanya ada kekhusyu’an itu, ialah bila anggota lahir
dan anggota batin tiada menoleh ke mana-mana, dan apakala anggota batin menjadi
khusyu’, niscaya anggota lahir akan menurutnya. Pernah Rasulullah s.a.w. bersabda
ketika melihat seorang yang sedang bersembahyang, pada hal tangannya
bermain-main dengan janggutnya, katanya
“Adapun orang ini,
jika hatinya khusyu’, tentulah segala anggota badannya akan turut khusyu’,
sama, sebab rakyat selalunya patuh kepada pemerintahannya.”
Sebab itulah ada
tersebut di dalam doa yang warid:
“Ya Allah, ya Tuhanku!
Perbaikilah pemelihara (pemerintah) dan pemeliharaannya
(rakyat).”
Maksudnya: Hati dan
segala anggotanya.
Adapun tentang ruku’ dan
sujud itu, sayugialah di waktu melakukanya diperbaharui ingatan terhadap
kebesarn Allah s.w.t., dan ketika mengangkat kedua tangan pula disertakan
memohon pengampunan Allah dari siksaanNya. Sesudah itu, anda menunjukkan pula
kerendahan diri penuh tawadhu’ dengan melakukan ruku’ kepadaNya. Di waktu itu,
hendaklah anda bersungguh-sungguh melembutkan hati dan membaharui khusyu’
dengan sepenuh perasaan, kerana di hadapan anda itu adalah Tuhan yang Maha
Mulia dan Maha Besar. Segala perasaan ini harus diakui oleh hati manakala lisan
turut menolong menyebutkannya.
Anda mengucapkan tasbih
terhadap Tuhan seraya menyaksikan bagi ZatNya keagungan, dan bahawasanya Dia
adalah Maha Besar dari segala yang besar. Sebutan itu haruslah diulang-ulangi
di dalam hati sehingga ia kekal kukuh di situ. Lantas anda tegak berdiri semula
dari ruku’ dengan membawa penuh harapan pada diri anda, sambil menyebutkan:
“Allah telah mendengar
orang yang
memujiNya.”
Yakni: Allah telah
menyahut kepada orang yang memujiNya. Kemudian anda menggadakan pula dengan
kepujian yang bertambah, dengan berkata:
“Wahai Tuhan kami Bagimu
segala
kepujian.”
Kemudian menambahkan
lagi kepujian, dengan membaca:
“Pujian yang meliputi
segala petala langit dan
bumi.”
Seterusnya anda turun
untuk bersujud. Sujud itu merupakan setinggi-tinggi darjat kerendahan diri,
kerana anda telah meletakkan semulia-mulia anggota anda, iaitu wajah ke tempat
yaang paling rendah sekali, iaitu tanah. Jika boleh, lebih utama lagi, kalau
anda terus bersujud ke atas tanah, tanpa ada apa-apa yang mengalasnya,
kerana itu akan lebih menimbulkan perasaan khusyu’ dalam diri dan lebih
menunjukkan kepada pernerimaan diri akan kehinaan. Andai kata anda sanggup meletakkan
diri anda ke tempat yang terendah, berarti anda telah meletakkan ke
tempatnya yang wajar, sama seperti anda mengembalikan cabang kepada
asalnya. Sebab asal anda dijadikan dari tanah dan kepada tanah juga anda akan
kembali kelak. Pada ketika itu, sayugialah anda memperbaharui ingatan kepada
kebesaran Allah di dalam hati, kemudian barulah anda mengucapkan:
“Maha Suci Tuhanku yang Maha
Tinggi.”
Perkukuhkanlah bacaan itu dengan
berulangkali, sebab dengan membaca sekali saja tidak akan meninggalkan kesan
yang kuat dalam diri. Apabila hati anda menjadi lembut dan tipis dan telah
ternyata yang demikian, maka hendaklah anda menunjukkan kebenaran harapan anda
kepada rahmat Allah Ta’ala, sebab rahmatNya akan segera lahir dalam diri
yang lemah dan hina, bukan dalam diri yang sombong dan bongkak. Kini
angkatkanlah kepalamu dengan membaca takbir, seraya meminta pula
hajatmu dengan berkata:
“Wahai Tuhanku! Ampunilah aku dan
belas kasihanilah.”
Pada waktu itu, hendaklah anda
melahirkan perasaan tawadhu’ dan merendah diri, kemudian kembalikan semula
bersujud buat kedua kalinya.
Adapun tasyahhud itu, apabila anda
duduk hendaklah duduk secara beradab sambil menjelaskan di dalam hati, bahawa
semua yang diucapkan dari salawat (doa dan tadharru’) serta segala kebaikan;
iaitu akhlak yang suci-murni, adalah semata-mata kerana Allah Ta’ala. Begitu
pula kita simpulkan bahawa Kerajaan Semesta itu adalah bagi Allah jua.
Demikianlah makna sebenarnya dari bacaan tahiyat dalam duduk bertasyahhud
itu
Kemudian ingatkah di dalam hati
peribadi Nabi Besar Muhammad s.a.w, seraya anda ucapkan:
“Salam sejahtera ke atasmu, wahai
Nabi, dengan rahmat Allah serta keberkataanNya.”
Benarkanlah harapan anda bahawa salam
itu akan sampai kepada baginda Rasulullah s.a.w. serta baginda akan membalas
salammu itu dengan lebih sempurna. Selanjutnya, anda memberi salam pula ke atas
diri anda sendiri dan ke atas sekelian hamba-hamba Allah yang salihin.
Seterusnya, anda menyaksikan pula sifat wahdariah atau keesaan bagi Allah, dan
bagi Muhammad pula kerasulan yakni perutusan yang sebenar. Ini sebagai
memperbaharui janji kepada Allah s.w.t. Dengan mengulang-ucap dua kalimah
Syahadat dan mengharapkan perlindungan di dalam bentengnya.
Kemudian pada akhir sembahyang,
berdoalah dengan doa-doa yang ma’tsur (yang diajarkan oleh Nabi) dengan penuh
perasaan tawadhu’ dan khusyu’, dengan penuh perasaan hina-dina dan rendah diri
serta kebenaran harapan untuk menerima pengabulan. Jangan lupa menyertakan doa
untuk kedua ibu-bapa dan sekalian kaum Mu’minin.
Di waktu mengucap salam pula,
niatkan sekali salam ke atas para Malaikat dan sekalian orang yang hadir ketika
itu. Sambil meniatkan sama berakhirnya sembahyang itu Jangan lupa pula merasakan
kesyukuran anda terhadap Allah s.w.t. kerana taufiqNya, sehingga anda dapat
menyempurnakan ibadat sembahyang itu. Kemudian kalau ada kecuaian atau
kelalaian dalam ibadat itu. rasakanlah di dalam hati anda perasan takut dan
malu. Anda sepatutnya merasa bimbang juga, kalau-kalau sembahyang itu tidak
diterima oleh Allah s.w.t., atau barangkali kerana dosa lahir atau batin, maka
sembahyang itu pun ditolak di hadapan muka anda. Dalam hal ini, hendaklah anda
mempunyai harapan penuh agar Allah s.w.t. akan menerima sembahyang itu
disebabkan sifat rahmatnya dan kemurahatianNya.
Demikianlah keterangan mengenai
sembahyang orang-orang yang penuh khusyu’, sesuai dengan firman-firman
Allah Ta’ala:
“Mereka yang berlaku penuh
kekhusyu’an di dalam sembahyang mereka.” (al-Mu’minun: 2)
“Dan mereka sentiasa memelihara
sembahyang mereka.” (al-Mu’minun: 9)
“Dan mereka yang tetap mengerjakan
sembahyang mereka.” (al-Ma’arij: 23)
Dan mereka itu juga tergolong
orang-orang yang bermunajat kepada Allah s.w.t. menurut kadar kemampuannya
untuk mengatakan ubudiahnya (perhambaannya). Sayugialah setiap manusia
itu mendedahkan dirinya kepada semua sembahyang-sembahyang ini. Mana-mana yang
dia mampu memyempurnakannya, hendaklah ia merasa gembira. Mana-mana yang terlepas
atau tertinggal, hendaklah ia merasa dukacita, dan hendaklah ia berusaha
bersungguh-sungguh pula untuk memperbaikinya.
Adapun orang-orang yang lalai dalam
sembahyangnya, maka ia amatlah membimbangkan sekali, kecuali jika Allah mahu
melimpahinya dengan rahmatNya. Kita memohon Allah s.w.t. agar dilimpahiNya kita
dengan rahmatNya dan keampuanNya, kerana tiada lain jalan bagi kita melainkan
mengaku tentang diri ketidak-mampuan kita untuk menuanaikan sepenuh
ketaatan terhadap Allah Ta'ala’.
Kunci untuk menambah tingkatan dan
darjat diri ialah menerusi sembahyang. Allah berfirman:
“Sungguh telah menang (berhabagia)
orang-orang yang beriman, yang berlaku khusyu’ dalam sembahyang
mereka.” (al-Mu’minun: 1-2)
Allah s.w.t telah memuji kumpulan
orang-orang ini, setelah mereka beriman kepadaNya dengan sesuatu sembahyang
yang tertentu; iaitu sembahyang yang disertai kekhusyu’an. Kemudian Allah
Ta’ala telah melengkapkan sifat-sifat orang yang berbahagia itu dengan
menyebutkan tentang sembahyang pula, dengan firmanNya:
“Dan mereka sentiasa memelihara
sembahyang mereka.” (al-Mu’minun: 9)
Lalu Allah s.w.t. menyanjung sifat
itu dan menentukan balasanNya dengan berkata:
“Mereka itulah yang menjadi
pewaris-pearis yang mewarisi Syurga Firdaus, di mana mereka akan tinggal
berkekalan di dalamnya.” (al-Mu’minun: 10-11)
Jadi Allah s.w.t. telah
mensifatkan mereka itu sebagai orang-orang yang menang dan berbahagia pada mula
ayat, kemudian mensifatkan mereka sekali lagi dengan orang-orang yang bakal
mewarisi Syurga Firdaus sesudah itu.
Menurut keyakinan saya,
bahawa membaca dengan terlalu cepat, sedang hati pula lalai tidak akan dapat
mencapai sifat-sifat yang dijanjikan oleh Allah Ta’ala tadi. Sebab itulah Allah
telah berfirman di dalam al-Quran menerangkan sifat-sifat orang yang di sebalik
sifat-sifat tadi.
“Apakah yang menyebabkan
kamu termasuk ke dalam Neraka saqar. Mereka menjawab: Kerana kami bukan
tergolong orang-orang yang bersembahyang.” (al-Muddatstsir:42-43)
Hanya orang-orang yang
bersembahyang sajalah yang bakal mewarisi Syurga Firdaus, dan mereka jugalah
orang-orang yang dapat melihat cahaya Allah Ta’ala dan orang-orang yang
merasakan kenikmatan, kerana Allah s.w.t. amat hampir dan dekat sekali kepada
diri dan hati mereka. Mudah-mudahan kita semua termasuk kedalam golongan ini.
0 comments:
Post a Comment