KITAB
Rahsia
Sembahyang Dan
Keutamaannya
(Bahagian
1)
Sembahyang itu adalah tiang agama
dan tempat berlindung segala keyakinan. Ia juga Penghulu dari segala amal
kebaktian dan ketaatan. Semua usul-usulnya (pokok-pokoknya) dan furu’-furu’nya
(cabang-cabangnya) telah pun terkumpul di dalam mata pelajaran ilmu fiqh. Di
sini kita hanya menyingkatkan pembicaraan kepada perkara-perkara yang perlu
saja bagi para pelajar, iaitu membicarakan amalan-amalan sembahyang dan
rahsia-rahsia kebatinan sembahyang semata-mata.
Keutamaan azan
Telah bersabda Rasulullah s.a.w.:
“Tiada seorang jin atau manusia atau
benda apapun yang mendengar suara pangilan azan itu, melainkan dia akan
menyaksikannya di Hari Kiamat kelak.”
Sabdanya lagi:
“Apabila kamu mendengar suara azan,
maka ucapkanlah sepertimana yang diucapkan oleh muazzin itu sendiri.”
Menyahut azan sama seperti kata-kata
muazzin itu adalah dituntut dan sunnat, kecuali pada hai’alataini maka
hendaklah dijawab dengan kata:
“Tiada daya dan kekuatan, melainkan
dengan pertolongan Allah.”
“Dan pada kata-kata
‘Qadqamatis-Solah’ dijawab pula:
“Semoga Allah mendirikannya
(sembahyang) dan mengekalkannya.”
Dan pada kata-kata: ‘Ash-Solatu
Khairun Minan-naum’ pula dijawab:
“Engkau telah berkata benar dan
berbakti.”
Sesudah azan, hendaklah ia membaca:
“Ya Allah, Tuhannya doa yang
sempurna ini, dan juga shalat yang berdiri ini. Kurniakanlah Nabi Muhammad
kedudukan yang tinggi serta kehormatan. Dan bangkitkanlah dia pada tempat
yang terpuji (Maqam Mahmud) yang Engkau janjikan
baginya.”
Keutamaan sembahyang fardhu
Allah berfirman:
“Sesungguhnya sembahyang itu
merupakan kewajiban yang ditentukan atas kaum Mu’minin.” (an-Nisa : 103)
Rasulullah s.a.w. pula bersabda:
“Sembahyang-sembahyang yang lima dan
demikian pula satu Jum’at sampai satu Jum’at yang lain menjadi tebusan dosa
antara masing-masing sembahyangnya, selama dijauhi dosa-dosa
besar.”
Baginda juga pernah ditanya: Apakah
amalan yang paling utama? Baginda menjawab: “Sembahyang pada waktunya.”
Khalifah Abu Bakar as-Siddiq pula
berkata: Apabila sampai waktu sembahyang, maka segeralah mendapatkan api
yang kamu nyalakan itu seraya memadamkannya.
Keutamaan menyempurnakan rukun-rukun
sembahyang
Bersabda Rasulullah s.a.w.:
“Barangsiapa menunaikan sembahyang
pada waktunya dan melengkapkan wudhu’nya serta menyempurnakan ruku’nya,
sujudnya dan khusyu’nya, nescaya sembahyang itu akan terangkat (ke atas langit)
dalam keadaan putih dan cemerlang. Ujar sembahyang itu: Semoga Allah memelihara
engkau, sebagaimana engkau memelihara aku. Barangsiapa menunaikan sembahyang di
luar waktunya dan tiada pula melengkapkan wudhu’nya serta tiada menyempurnakan
ruku’nya, sujudnya dan khusyu’nya, nescaya sembahyang itu akan terangkat dalam
keadaan hitam legam. Ujar sembahyang itu: Semoga Allah menyia-nyiakan engkau,
sebagaimana engkau menyia-nyiakan aku. Apabila ia telah sampai ke tempat yang
ditetapkan oleh Allah, maka ia pun dilipat-lipat, sebagaimana dilipatkan
baju-baju yang koyak, lalu dipukulkanlah sembahyang itu ke muka orang yang
melakukannya.”
Keutamaan berjemaah
Bersabda Rasulullah s.a.w.:
“Sembahyang berjemaah itu melebihi
sembahyang bersendiri dengan 27 darajat.”
Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a.
bahawa Rasulullah pernah mengesan beberapa orang tidak ikut serta dalam jemaah,
lalu baginda berkata: Saya hampir-hampir akan memerintahkan orang lain untuk
mengimami orang ramai dalam sembahyang, kemudian saya pergi mendapatkan
orang-orang yang melewat-lewatkannya (sembahyang berjamaah), lalu saya membakar
rumah-rumah mereka.
Dalam sebuah Hadis Marfu’ yang
diriwayatkan oleh Khalifah Usman r.a. dari Rasulullah bunyinya: Barangsiapa
yang mengerjakan sembahyang Isya’ berjemaah, maka ia seolah-olah mendirikan
ibadat sepanjang malam itu.
Berkata Muhammad bin Wasi: Saya
tiada menginginkan dunia melainkan pada tiga perkara saja:
(1) Seorang
saudara yang apabila saya membuat bengkok (salah), dia akan meluruskan
(membetulkan) saya.
(2) Makan
dari rezeki yang halal.
(3) Sembahyang
dalam berjemaah yang akan diangkat daripadaku semua kelalaianku dan dituliskan
bagiku pahala.
Al-Hasan pula berkata: Jangan
kamu bersembahyang di belakang seorang yang tidak sering mendatangi para ulama.
Ibnu Abbas r.a. berkata: Barangsiapa
mendengar suara muazzin, sedangkan dia tiada menjawabnya (menurut pergi
sembahyang berjemaah), nyatalah ia tiada mencintai kebaikan, dan tentu sekali
kebaikan juga tidak akan mencintainya.
Keutamaan sujud
Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Tiada seorang Muslim pun yang
bersujud kepada Allah sekali sujud saja, melainkan Allah mengangkatkan baginya
satu darjat (pahala) dan menghapuskan satu keburukan (dosa).”
Dan sabdanya lagi:
“Seseorang hamba paling dekat dengan
Tuhannya sewaktu ia bersujud, maka perbanyakanlah berdoa ketika itu.”
Allah berfirman:
“Tanda-tanda mereka ada di wajah
mereka tersebab dari bekas (banyaknya) bersujud.” (al-Fath: 29)
Yakni cahaya atau nur kekhusyu’an
mereka, kerana cahaya inilah yang dikatakan memancar dari batiniah seseorang,
lalu terpapar dilahiriahnya.
Kewajiban berkhusyu’
Allah berfirman:
“Dan dirikanlah sembahyang itu
kerana mengingatiku.”
(Taahaa: 14)
Mematuhi perintah itu adalah wajib
dan kelalaian dalam sembahyang bertentangan dengan maksud mengingati Allah.
Bagaimana seseorang itu dikatakan mendirikan sembahyang untuk mengingati Tuhan,
sedangkan ia lalai dan lena dalam sembahyangnya.
Allah berfirman lagi:
“Dan janganlah kamu termasuk
golongan orang-orang yang lalai.” (al-A’raaf:
205)
“Sebenarnya telah menanglah
orang-orang Mu’minin yang berkhusyu’ dalam sembahyang mereka.”
(al-Mu’minun: 1-2)
Allah telah mengkategorikan khusyu’
dalam sembahyang itu sebagai tingkat yang paling tinggi sekali dari
tingkat-tingkat kejayaan. Ini adalah sebagai suatu peringatan kepada
orang-orang yang lena dan lalai dalam sembahyangnya, bahawa mereka itu adalah
berada paling bawah sekali dari tingkat-tingkat kemenangan dari kejayaan yang
dimaksudkan dalam ertikata “al-Falah”.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Sesungguhnya sembahyang itu
adalah ketenangan hati dan kerendahan diri dan permohonan jiwa, dan anda
mengangkat kedua belah tanganmu berkata: Ya Tuhanku! Ya Tuhanku! Barangsiapa
tiada melakukan serupa itu, maka sembahyangnya tidak sempurna (kurang
syarat-syaratnya).”
Sabda lain:
“Barangsiapa yang bersembahyang,
padahal sembahyangnya itu tiada dapat mencegahnya dari perbuatan keji dan mungkar,
maka orang itu tiada akan bertambah sesuatu dari Allah melainkan jauh
daripadaNya.”
Diceritakan suatu peristiwa dari
Muslim bin Yasar, bahawasanya pada suatu hari dia bersembahyang di Masjid
Basrah, maka dengan tiba-tiba dinding masjid itu runtuh, sekalian orang-orang
di pasar (yang berdekatan dengan masjid itu) merasa terkejut kerana kerasnya
bunyi keruntuhan itu, akan tetapi Muslim yang sedang mengerjakan sembahyang itu
tetap pada tempatnya, menoleh pun tidak. Sesudah sembahyang, apabila dilihatnya
orang ramai mengucapkan selamat kepadanya, dia merasa hairan. Katanya: Saya
tidak tahu atau rasa dinding itu runtuh.
Berkata Ibnu Abbas: Dua rakaat
dalam tafakkur (mengingatkan kebesaran dan kekuasaan Allah Ta’ala) lebih baik
daripada beribadat sepanjang malam sedang hatinya lalai.
Keutamaan masjid dan tempat
sembahyang
Allah berfirman:
“Hanyasanya yang meramaikan
masjid-masjid Allah, ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari
Akhirat.” (at-Taubah: 18)
Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Barangsiapa mendirikan masjid
kerana Allah, sekalipun seperti pondok ayam, nescaya Allah akan mendirikan
baginya rumah dalam syurga.”
Sabdanya lagi:
“Apabila seseorang di antara kamu
memasuki masjid, maka hendaklah ia sembahyang dua rakaat sebelum ia
duduk.”
Sabdanya lagi:
“Tiada akan sempurnalah sembahyang
orang yang bertetangga dengan masjid, melainkan di dalam masjid.”
Sabdanya lagi:
“Akan datang kepada manusia suatu
masa, mereka akan duduk-duduk dalam masjid, mereka membicarakan tentang
hal-ehwal keduniaan, ketahuilah bahawa Allah tiada berhajat kepada orang-orang
serupa itu, maka hendaklah kamu menjauhkan diri daripadanya.”
Perbuatan-perbuatan dalam sembahyang
Apabila seseorang yang hendak
sembahyang itu selesai dari berwudhu’, mensucikan diri daripada semua
najis-najis dan kotoran yang berada di badan, tempat dan pakaian, demikian pula
sudah bersedia menutup aurat dari pusat ke lutut, hendaklah ia berdiri tegak,
menghadapkan mukanya ke arah kiblat.
Sebaiknya ia bersembahyang dekat
dengan dinding tembok, kerana yang demikian itu memendekkan jarak pemandangan.
Hendaklah ia mencegah fikiran dari bercabang-cabang kepada yang lain, manakala
penglihatannya hanya bertumpu kepada tempat sujud belaka. Hendaklah berdirinya
itu tetap serupa ini, sehingga sampai waktu melakukan ruku’ tanpa menoleh
kemana pun jua.
Kemudian, barulah ia meniatkan
menunaikan sembahyang dalam hatinya, sambil mengangkat kedua tangannya
setentang dengan dua bahunya. Kedua tapak tangannya diarahkan ke arah kiblat;
semua jari-jarinya dibukakan tidak digenggamkan, tidak dipaksakan sehingga
menjadi terlampau renggang atau terlampau kuncup, tetapi dibiarkan sekadar
kebiasaannya saja, dan dia pun bertakbirlah.
Sebaik-baik selesai bertakbir, dia
pun meletakkan kedua tangannya ke atas dada dengan tangan kanan diletakkan ke
atas tangan kiri, dan janganlah dia mengerakkan kedua tangannya secara kasar
dalam bertakbir itu, melainkan dibiarkannya naik dan turun perlahan-lahan
dengan lemah-lembut sekali.
Dalam menyebutkan Allahu Akbar
hendaklah hanya dibacakan dengan baris dhommah yakni hu (Allahu).
Dan hu itu dibaca dengan sederhana tidak ditekankan sangat. Hendaklah
tidak disambungkan hunya dengan alif sehingga berbunyi semacam wau
(Allahuakbar), ataupun dipanjangkan ba’ dari Akbar dan ra’nya
seolah-olah dia menyebut: Akbaar: Dan hendaklah dimatikan (disukunkan)
huruf ra’ pada Akbar itu dan jangan di dhommahkan; yakni dia
menyebut: Allahu Akbar bukan Allahu Akbaru.
Pembacaan dalam sembahyang
Selanjutnya dia memulakan membaca
doa iftitah sebaik-baik saja selesai bertakbir dengan membaca:
“Allah Maha Besar sebesar-besarnya,
dan segala kepujian bagi Allah sebanyak-banyaknya, dan Maha Suci Allah di waktu
pagi dan petang.”
Ataupun boleh dibaca doa ini:
“Aku menghadapkan mukaku kepada yang
menjadikan langit dan bumi dalam keadaan cenderung dan terserah dan tiadalah
aku dari golongan orang-orang musyrikin. Sesungguhnya sembahyangku dan
ibadatku, hidupku dan matiku kerana Allah, Tuhan seru sekalian alam, tiada
sekutu bagiNya, dan demikian itulah aku diperintahkan dan aku termasuk golongan
kaum
Muslimin.”
Ataupun boleh membaca doa ini juga:
“Maha Suci Engkau wahai Tuhanku
dengan kepujian bagiMu dan Maha Berkat NamaMu, Maha Luhur keputusanMu, Maha
Tinggi pujian-pujianMu dan tiada Tuhan selain dariMu.”
Kemudian membaca pula:
“Aku memohon perlindungan kepada
Allah daripada godaan syaitan yang terkutuk.”
Seterusnya, hendaklah dia membaca
al-Fatihah, setelah selesai, ucapkanlah pula Amiin yang bererti: kabulkanlah!
Tetapi jangan pula dia menyambungkan (mewashalkan) kalimat Amiin itu
dengan kalimah Waladh-dhalliin.
Al-Fatihah dan surah itu hendaklah
dibaca dengan jahar; iaitu dengan suara yang nyaring pada sembahyang-sembahyang
subuh, maghrib dan isya’, kecuali jika dia menjadi ma’mum dalam sembahyang
berjemaah. Bacaan Amiin juga hendaklah dibaca dengan jahar.
Sesudah itu, dia membaca satu surah
ataupun sekadar tiga ayat atau lebih dari al-Quran. Jangan pula dia menyambung
bacaan surah dengan takbir ruku’, tetapi hendaklah dia memisahkan antara
keduanya sekadar bacaan Subhanallah.
Pada sembahyang subuh,
sebaik-baiknya dia membaca surah yang panjang dari surah-surah al-Mufashshal**. Pada sembahyang maghrib pula dia membaca
surah-surah yang pendek. Manakala pada sembahyang-sembahyang zohor, asar dan
isya’, dia membaca surah-surah yang sederhana pula.
** - Surah-surah
al-Mufashshal seperti yang ditentukan oleh para ulama dari surah al-Hujurat
hingga ke akhir juz 29 dari al-Quran (akhir surah Tabarak sebelum ‘Amma).
Surah-surah yang sederhana dari awal juz 30 (‘Amma) hingga ke surah Wadhdhuha.
Manakala surah-surah yang pendek pula ialah dari surah Wadhdhuha hingga akhir
juz 30; iaitu surah an-Nas.
Pada sembahyang subuh, bila dalam
pelayaran dibaca surah al-Kafirun dan al-Ikhlas, termasuklah juga
pada sembahyang-sembahyang sunnat dua rakaat fajar (sebelum subuh), dua rakaat
tawaf dan dua rakaat tahiyat masjid.
Ruku’ dan ekoran-ekorannya
Sesudah itu, dia pun ruku’, dan
hendaklah dia membuat beberapa perkara ketika melakukan ruku’ itu; iaitu
mula-mula mengucap takbir untuk ruku’; mengangkat kedua belah tangannya ketika
mengucapkan takbir tadi, takbirnya dipanjangkan sedikit sehingga sempurna
ruku’nya.
Kedua belah tapak tangannya pula
diletakkan ke atas kedua lutut, sedang seluruh jari-jarinya diluruskan
berhadapan ke hala kiblat, menjulur di sepanjang betis, manakala kedua lututnya
berdiri tegak tidak membengkok. Belakangnya pula diratakan jangan sampai
kepalanya lebih rendah atau lebih tinggi dari belakangnya. Kedua sikunya
direnggangkan dari kedua rusuknya. Kaum wanita hendaklah merapatkan kedua
sikunya kepada kedua rusuknya.
Di waktu ruku’ itu, hendaklah
membaca:
“Maha Suci Tuhanku yang Maha
Agung.”
Ini dibaca tiga kali, dan kalau
hendak ditambah kepada tujuh atau sepuluh kali pun baik juga, tetapi jika bukan
menjadi imam.
Kemudian dia bangkit dari ruku’
untuk berdiri semula serta mengangkat kedua tangannya dengan berkata:
“Allah telah mendengar orang yang
memujiNya.”
Tegak berdiri semula pada i’tidal
dan bertenang sebentar, kemudian membaca:
“Ya Tuhanku, bagiMu segala kepujian
sepenuh langit dan sepenuh bumi dan sepenuh antara keduanya dan sepenuh semua
kemahuanMu dari sesuatu benda sesudah itu.”
Dalam sembahyang subuh, hendaklah
dia membaca doa qunut pada waktu i’tidal dalam rakaat keduanya; iaitu dari
doa-doa yang dituntun dari Nabi s.a.w.
Sujud
Selesai yang di atas,
hendaklah ia melakukan sujud dengan membaca takbir lagi; iaitu menunduk ke
bawah dengan meletakkan kedua lututnya di atas tanah, kemudian dahinya dan
kedua tapak tangannya secara tidak tertutup pula. Dan janganlah ia mengangkat
kedua tangannya ketika bertakbir, kecuali pada melakukan ruku’ saja.
Bagi kaum lelaki, kedua
sikunya hendaklah direnggangkan dari kedua rusuknya, tetapi bagi kaum wanita,
hendaklah dirapatkan (seperti dalam ruku’ tadi). Begitu pula pada kedua
kakinya, hendaklah direnggangkan juga, tetapi kaum wanita tiada
merenggangkannya; perutnya pula diangkatkan dari kedua pahanya manakala kaum
wanita merapatkannya.
Seterusnya bagi orang
yang bersujud itu, hendaklah ia meletakkan kedua tangannya di atas tanah
setentang dengan kedua bahunya, dan janganlah ia merenggangkan antara
jari-jarinya malah dirapatkannya, dan kedua lengannya jangan sampai didudukkan
di atas tanah, dan hendaklah ia membaca:
“Maha Suci Tuhanku yang
Maha Tinggi.”
Ini dibaca tiga kali.
Kalau dilebihkan pula baik kecuali jika ia menjadi imam. Kemudian ia bangkit
dari sujud, lalu duduk sebentar dengan bertentang, iaitu sama sebagaimana
melakukan i’tidal.
Sesudah sujud tadi,
hendaklah mengucapkan takbir lagi seraya mengangkat kepala terus duduk atas
kaki kirinya, sambil tumit kanannya didirikan. Kedua tangannya diletakkan di
atas kedua pahanya dan jari-jarinya diluruskan; dibuat semua ini secara biasa
saja, jangan dipaksa menguncupkan atau merenggangkannya, seraya berkata:
“Ya Tuhanku, ampunilah
aku, kasihanilah aku, berikanlah aku rezeki, berikanlah aku petunjuk,
cukupkanlah keperluanku, sihatkanlah aku dan maafkanlah kesalahanku.”
Kemudian dia membuat
pula sujud kedua semacam itu. Sesudah itu dia meneruskan sembahyangnya dengan
rakaat-rakaat berikutnya, seperti yang pertama memulakan dengan ta’awwuz.
Tasyahhud
Selesai dua rakaat dari
sembahyangnya, dia pun melakukan tasyahhud pertama di mana dia membacakan
salawat ke atas Rasulullah s.a.w. dan ke atas keluarganya. Dalam bertasyahhud
itu, kedua belah tangannya diletakkan di atas kedua lututnya, sedang semua
jari-jari tangan kanannya digenggamkan melainkan jari telunjuk yang harus
ditunjukkan ke hadapan ketika sampai membaca illallah.
Dalam bertasyahhud awal
ini hendaklah dia duduk di atas kakinya yang kiri, seperti cara duduknya antara
dua sujud.
Kemudian dalam tasyahhud
akhir pula, hendaklah dia membaca kesemua doa-doa yang dituntun dari Rasulullah
s.a.w., iaitu sesudah selesai membaca salawat ke atas Rasulullah s.a.w. dan
keluarganya.
Di waktu tasyahhud ini
pula, hendaklah dia mendudukkan punggung kirinya sebab sesudah ini tidak perlu
bangkit lagi, malah dia tetap duduk saja sehingga selesai sembahyangnya. Selain
itu, hendaklah dia meletakkan kaki kanannya di atas kaki kiri, manakala hujung
kaki kirinya dikeluarkan sedikit dari bawah kaki kanannya itu.
Setelah selesai semua
bacaan dalam tasyahhud ini, dia pun bersalam:
“Selamat sejahtera atas kamu serta rahmat
Allah.”
Seraya bersalam, dia
berpaling ke arah kanan sekira-kira dapat dilihat pipi kanannya, (oleh orang
yang di belakangnya), kemudian dia bersalam pula ke arah kiri dengan membuat
sama seperti yang pertama tadi, dan ketika bersalam itu hendaklah dia berniat
memberikan salamnya kepada sesiapa yang berada dari para Malaikat dan kaum
Muslimin, sama ada pada salam yang pertama begitu juga pada salam yang kedua.
Janganlah mengeraskan suaranya, ketika mengucapkan salam itu melainkan sekadar
mendengarkan dirinya saja.
Larangan-larangan dalam sembahyang
Rasulullah s.a.w. telah melarang
seseorang dari memasuki sembahyang, sedangkan dia menahan dari buang air kecil
atau buang air besar, atau orang yang memakai khuf (sepatu) yang sempit
sebab semua itu akan mengganggu kekhusyu’annya dalam sembahyang. Begitu juga
orang yang terlalu lapar atau yang terlalu susah hati.
Mengenai orang yang lapar, ada
sebuah sabda Rasulullah s.a.w.:
“Apabila hidangan makan malam
telah tersedia dan sembahyang hendak dimulakan, maka hendaklah kamu memulakan
dengan memakan hidangan itu dahulu.”
Mengenai menutup mulut dengan kain
pula, sabdanya yang bermaksud: Bahawa Rasulullah s.a.w. telah melarang
seseorang yang menutup mulutnya di dalam sembahyang.
Al-Hasan pula berkata: setiap orang
yang bersembahyang sedangkan hatinya tidak hadir bersamanya, maka dia lebih
dekat kepada mendapat siksaan.
Seterusnya dimakruhkan atas orang
yang sembahyang itu meniup ke tanah ketika dalam bersujud, atau tangannya
bermain-main dengan batu di tanah itu, ataupun dia bersandar di tembok sewaktu
berdiri dalam sembahyang.
Sebahagian para salaf melarang empat
perkara dalam sembahyang:
(1) Menoleh-noleh
ke kanan-kiri.
(2) Menyapu-nyapu
muka.
(3) Merata-ratakan
batu.
(4) Bersembahyang
di tempat lalu lintas orang ramai.
Membedakan yang fardhu dengan yang
sunnat
Apa yang telah kita pelajari
terdahulu dari ini termasuk perkara-perkara yang fardhu, yang sunnat dan
hai’at.
Adapun perbuatan-perbuatan yang
sunnat ialah: Mengangkat kedua tangan pada takbiratul-ihram dan ketika hendak
membongkok membuat ruku’, bangkit dari ruku’, dan ketika bangkit dari duduk
tasyahhud awal, manakala bertawarruk (duduk dalam tasyahhud akhir) dan duduk beriftirasy
(dalam tasyahhud awal) adalah hai’at yang berikutan dengan duduk
bertasyahhud tadi, sebagaimana meninggalkan menoleh-noleh itu adalah hai’at
bagi berdiri serta memperelokkan rupanya.
Doa-doa atau zikir-zikir yang sunnat
pula ialah: Doa Iftitah, Ta’awwuz, membaca Amiin, membaca surah-surah, membaca
takbir-takbir ketika berpindah dari satu rukun ke rukun yang lain. Membaca
zikir-zikir dalam ruku’, sujud, dan I’tidal serta tasyahhud awal. Termasuk
sunnat juga ialah membaca salawat ke atas Nabi s.a.w. padanya. Dan sunnat juga
membaca doa dalam tasyahhud akhir serta salam yang kedua.
Yang disebutkan di atas kesemuanya
sunnat, selainnya maka hukumnya wajib.
Ketahuilah bahawasanya sembahyang
itu laksana seorang manusia. Rohnya dan nyawanya adalah seperti kekhusyu’annya.
Kehadiran hatinya serta keikhlasannya seumpama roh manusia dan kehidupannya.
Semua rukun-rukun sembahyang diumpamakan seperti gerak-geri hati, kepala dan
jantung, sebab tidak ada sembahyang tanpa ada rukun-rukun sembahyang, sama
seperti tidak ada manusia tanpa ada hati, kepala dan jantung. Semua sunat-sunat
sembahyang pula diumpamakan seperti kedua tangan, kedua mata dan kedua kaki
dari manusia, sebab tanpa semua ini kehidupan masih boleh berlaku juga, tetapi
manusia yang tiada mempunyai semua anggota ini adalah manusia yang kurang sifat
kemanusiaannya, yang dipandang sebagai orang cacat. Demikianlah pula umpamanya
dengan sembahyang yang didirikan tanpa sunnat-sunat.
Seterusnya hai’at-hai’at sembahyang
pula diumpamakan sebagai sebab-sebab yang memperelokkan bentuk daripada bulu
kening, janggut, bulu mata dan kebagusan warna dan sebagainya. Maka barangsiapa
yang bersembahyang dengan hanya mengerjakan yang wajib-wajib saja, samalah
seperti seorang yang menghadiahkan seorang hamba yang kudung kaki dan tangan
kepada seorang maharaja.
Ketahuilah bahawa sembahyang itu laksana
suatu persembahan atau suatu pengurniaan yang bernilai, yang disembahkan oleh
seseorang ke hadhrat maharaja dari segala raja (iaitu Allah s.w.t.). Jadi
perkaranya samalah seperti seorang yang menghadiahkan sesuatu jariah (hamba)
kepada rajanya dengan maksud untuk mendekatkan diri kepada raja itu. Padahal
hadiah atau persembahan yang dimaksudkan ini, anda dipersembahan Allah
azzawajalla, kemudian ia dikembalikan semula kepada anda pada Hari Perkiraaan
yang terbesar (Hari Kiamat). Oleh itu, maka perkaranya terserahlah kepada anda
untuk memilih, sama ada persembahan itu harus dari yang baik, mahupun yang
buruk. Kiranya anda memilih yang baik, maka andalah yang akan menerima akibat
baiknya, Jika yang buruk, maka buruk pulalah padahnya.
0 comments:
Post a Comment