Kitab
Adab Pergaulan, Persaudaraan Dan Persahabatan
Keutamaan pergaulan dan persaudaraan
Ketahuilah, bahwasanya pergaulan baik itu adalah buah daripada kemurniaan budi
pekerti, manakala perpecahan pula merupakan buah daripada kejelekan budi
pekerti. Maka kebaikan dan kemurniaan budi pekerti itu menelurkan sikap saling
cinta mencintai, bersatu-padu antara satu sama dengan yang lain dan berhaluan
satu, manakala kejelekan budi pekerti membuahkan sikap saling benci-membenci,
dengki antara satu dengan yang lain dan bermusuh-musuhan.
Mengenai kebaikan budi pekerti ini, sudah tidak sepi lagi keutamaannya dalam
agama sebab dengan sifat inilah Allah s.w.t. telah memuji NabiNya alaihis-salam
dalam firmanNya.
“Dan sesungguhnya engkau memiliki budi perkerti yang
luhur.” (al-Qalam: 4)
Rasulullah s.a.w telah bersabda:
“Kebanyakan sebab yang memasukkan manusia ke dalam syurga ialah taqwa kepada
Allah dan kebaikan budi pekerti.”
Sabdanya lagi:
“Aku telah diutus untuk menyempurnakan kebaikan-kebaikan budi pekerti.”
Dengan itu sudah jelaslah, bahwa buahnya budi pekerti yang baik menimbulkan
rasa perpaduan dan menghalang rasa kesepian jiwa. Dalam hal ini terdapat banyak
huraian yang menyimpulkan berbagai-bagai kepujian terhadap sikap perpaduan itu,
terutama sekali bila yang menyebabkan ikatan itu, ialah taqwa atau agama
ataupun cinta kepada Allah. Kepujian-kepujian itu ada yang terdiri dari
ayat-ayat al-Quran, Hadis-hadis Rasulullah s.a.w., atau atsar para sahabat dan
tabi’in, semuanya cukup dan lengkap.
Allah s.w.t. telah berfirman untuk memperlihatkan kebesaran kurniaNya ke atas
kaum Mu’minin, katanya:
“Maka kamu sekalian, dengan sebab kurniaNya itu menjadi
saudara.” (ali-Imran:
103)
Maksud dari ayat tersebut ialah kurnia perpaduan antara satu dengan yang lain.
Allah s.w.t. mencela perpecahan dan menegah dengan keras sikap itu dalam
firmanNya:
“Berpegang teguhlah dengan tali Allah bersama-sama, dan janganlah
berpecah-belah” (ali-Imran: 102)
Rasulullah s.a.w. pula telah bersabda:
“Sesungguhnya orang yang paling hampir kedudukannya kepadaKu, ialah orang
yang paling terbaik budi pekertinya. Mereka yang bersikap merendah diri dan
senang bermesra dan
dimesrai.”
Sabdanya lagi:
“Seorang Mu’min ialah orang yang senang bermesra dan dimesrai dan tiada
gunanya pada orang yang tidak tahu bemersra dan tidak suka dimesrai.
Sabdanya lagi:
“Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah kebaikan baginya, dikurniakannya
seorang teman yang saleh. Apabila terlupa diingatkan dan apabila teringat
ditolong oleh teman itu.”
Lagi sabdanya:
“Tiadalah dua orang yang saling cinta-mencintai kerana Allah itu, melainkan
yang lebih dicintai oleh Allah itu, ialah orang yang lebih banyak cintanya
kepada rakannya.”
Sabdanya lagi:
“Sesungguhnya Allah s.w.t. telah berkata: Sudah pastilah kecintaanKu itu
terhadap orang-orang yang ziarah-menziarahi keranaKu: Sudah pastilah
kecintaanKu itu terhadap orang-orang yang cinta-mencintai keranaKu. Sudah
pastilah kecintaanKu itu terhadap orang-orang yang bersusah payah keranaKu. Dan
sudah pastilah kecintaanKu itu terhadap orang-orang yang tolong-menolong
keranaKu.”
Lagi sabdanya:
“Sesungguhnya orang yang amat dicintai oleh Allah, ialah orang yang senang
bermesra-mesra dan senang dimesrai. Dan sesungguhnya orang yang amat dibenci
oleh Allah, ialah orang yang suka menaburkan kata-kata nista dan suka
memecah-belahkan antara sesama saudara.”
Dari atsar pula, apa yang
diriwayatkan dari al-Fudhail rahimahullah Ta’ala, katanya: Ah! Engkau ingin
menetap dalam Syurga Firdhaus, serta harap bertetangga dengan Allah di dalam
rumahNya (Syurga) bersama-sama para Nabi dan Siddiqin, Syuhada dan Salihin!
Amalan apakah yang telah anda kerjakan? Syahwat manakah yang telah anda
tinggalkan? Kemarahan yang mana satukah telah anda manahan diri? Keluarga yang
mana satu telah anda perhubungkan? Kikhilafan saudaramu, sudahkah anda maafkan?
Orang dekat yang mana telah anda jauhkan kerana mencari keredhaan Allah? Dan
dengan orang jauh yang mana telah anda dekatkan kerana mencari keredhaan Allah!
Dia berkata lagi: Seseorang yang mengamat-amati wajah saudaranya kerana cinta
dan rahmat adalah melakukan suatu ibadat.
Menentukan cinta kerana Allah
Cinta yang hakiki yang didasarkan
kerana Allah semata-mata, ialah bila anda mencintai seseorang bukan kerana
peribadinya, malah kerana kelebihan-kelebihannya yang bergantung dengan
keakhiratannya. Misal cinta itu ialah: Seseorang yang mencintai gurunya sebab
menerusi guru itu ia akan memperolehi ilmu pengetahuan yang akan memperbaiki
amalannya. Sedang tujuan utama dari menuntut ilmu pengetahuan dan amalan yang
baik itu, ialah keselamatan diri di Hari Akhirat. Inilah yang dikatakan antara
contoh-contoh cinta kerana Allah semata-mata.
Misal yang lain ialah: Seorang guru mencintai muridnya, sebab kepadanya guru
itu dapat menurunkan ilmu pengetahuan dan dengan sebab itu pula guru itu
memperoleh pangkat seorang pendidik atau guru. Orang ini juga, dikira cintanya
kerana Allah semata-mata. Begitu pula orang yang bersedekah dengan harta
bendanya kerana menuntut keredhaan Allah, atau orang yang suka mengundang
tetamu di rumahnya, lalu menghidangkan berbagai-bagai makanan yang lazat,
semata-mata kerana ingin mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala. Kemudian
lahirlah dalam diri orang itu perasaan sayang dan kasih terhadap tukang
masaknya, kerana kemahirannya untuk menyediakan makanan-makanan yang lazat;
cinta ini juga dikira sebagai cinta kerana Allah.
Misal lain lagi ialah misal seorang yang suka menyampaikan sedekah kepada
orang-orang yang memerlukannya, maka perilakunya itu dikira sebagai cinta
kerana Allah juga. Ataupun orang yang mencintai pekerja yang membantu mencuci
pakaiannya, membersihkan rumahnya, dan memasak makanannya, yang mana dengan
terlepasnya ia dari tugas-tugas ini, senanglah ia dapat menuntut ilmu atau
membuat pekerjaan yang lain, sedang tujuan utama dari mempekerjakan orang itu
semata-mata kerana melapangkan diri untuk memperbanyakkan ibadat, maka ia juga
terkira pencinta kerana Allah.
Begitu juga ia mencintai seorang kerana orang itu mencukupkan keperluannya dari
wang dan pakaian, makanan dan rumah dan lain-lain keperluan yang mesti untuk
kehidupan di dunia, sedang maksud orang yang menderma itu ialah supaya ia dapat
melapangkan diri untuk menuntut ilmu pengetahuan yang berguna, sambil melakukan
amalan-amalan yang mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala maka cintanya itu
dikira kerana Allah Ta’ala jua.
Segolongan para Salaf Saleh yang terdahulu, sering segala keperluannya
ditanggung oleh hartawan-hartawan yang murah hati. Jadi dalam hal ini,
kedua-dua pihak tergolong pencinta-pencinta yang mencari keredhaan Allah
Ta’ala.
Juga, jika seseorang itu menikahi seorang wanita yang salehah untuk melindungi
dari godaan syaitan, serta memelihara agamanya, atau untuk menginginkan seorang
anak yang saleh dari pernikahan itu, ataupun dia mencintai isterinya kerana
menerusinya ia dapat sampai kepada tujuan-tujuan yang suci, seperti misal-misal
yang disebutkan di atas tadi, maka ia adalah seorang pencinta kerana Allah
Ta’ala.
Demikian pula, jika seseorang itu dalam hatinya tersemat cinta kerana Allah dan
dunia, seperti seorang yang mencintai guru yang mendidiknya, lalu ia pun
mencukupkan segala keperluan guru itu di dunia dengan wang dan sebagainya, maka
ia dikira orang yang mencintai kerana Allah.
Seterusnya, bukanlah dari syarat-syarat cinta kerna Allah Ta’ala itu, ia mesti
tinggalkan semua nasibnya dari harta kekayaan dunia sama sekali, sebab para
Nabi salawatullahi alaihim sering menyeru kita berdoa, agar Allah s.w.t.
mencukupkan kedua-dua keperluan dunia dan akhirat.
“Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di
akhirat.” (al-Baqarah:
201)
Juga dalam doa yang ma’tsur berbunyi:
“Ya Allah! Ya Tuhanku! Sesungguhnya aku memohon daripadaMu kerahmatan yang
dengannya aku boleh memperoleh pangkat kehormatanMu di dunia dan di akhirat.”
Bila
kecintaan seseorang kepada Allah telah menjadi kukuh, niscaya akan muncul
wataknya perasaan suka membantu dan menolong serta mengutamakan orang lain dari
diri sendiri, bersedia untuk membelanjakan segala yang dimilikinya dari harta,
jiwa dan nasihat yang baik.
Dalam hal ini manusia adalah berbeda menurut perbedaan darjat kecintaannya
terhadap Allah azzawajalla. Ia akan dicuba dalam kecintaannya itu dengan
berbagai-bagai percubaan yang bertalian dengan kepentingan-kepentingan dirinya,
sehingga ada kalanya semua kepentingan itu sudah tidak ada yang tinggal lagi,
semuanya telah dibelanjakan bagi kepentingan orang yang dicintainya itu,
Terkadang-kadang ditentukan sebahagian untuk diri sendiri, manakala yang lain
diberikan kepada orang-orang yang dicintainya.
Tidak kurang juga, orang yang membahagikan harta kekayaannya kepada dua, satu
bahagian untuk dirinya dan satu bahagian lagi untuk kekasihnya, ada yang
memberikan sepertiga dari harta kekayaan, dan ada sepersepuluh dan seterusnya.
Banyak atau sedikit wang yang dibelanjakan itu bergantung pada rasa cintanya
terhadap orang itu, sebab tidak dapat ditentukan darjat cinta itu, melainkan
dengan kadar harta yang dibelanjakan kepada para kekasihnya. Maka barangsiapa
hatinya telah dipenuhi oleh rasq cinta kerana Allah, tidak ada benda-benda lain
yang masih dicintakan lagi, selain dari cintanya kepada Allah semata-mata.
Ketika itu tidak akan meninggalkan sesuatu benda pun dari harta kekayaannya,
melainkan semuanya dibelanjakan kerana Allah s.w.t.
Contoh dalam misal ini, ialah Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq (Khalifah Islam
pertama), beliau telah menyerahkan puterinya Aisyah (untuk dikahwinkan kepada
Rasulullah s.a.w. – pent), sedangkan aisyah itu cahaya matanya kemudian
dibelanjakan semua harta bendanya kerana Allah s.w.t.
Dengan itu disimpulkan, bahwasanya sesiapa yang mencintai seorang alim atau’
abid, ataupun dia mencintai penuntut ilmu pengetahuan atau orang yang sepanjang
masanya beribadat atau membuat kebaikan, maka yakinlah bahawasanya ia
mencintainya itu kerana Allah dan untuk Allah dan tentulah ia akan mendapat
ganjaran pahala dan kurnia dari Allah Ta’ala menurut kadar kekuatan cintanya
itu.
Tanda kebencian kerana Allah.
Ketahuilah bahwa apabila seseorang itu mencintai seorang lain kerana Allah,
maka hendaklah apabila ia membencinya kerana Allah juga. Sebab punca yang
menyebabkan anda mencintai seorang manusia itu, mestilah kerana ia amat taat
kepada Allah, ataupun kerana ia dicintai di sisi Allah disebabkan
amalan-amalannya yang baik. Tetapi bila orang itu bermaksiat kepada Allah, maka
tentulah anda akan membencinya, kerana ia menderhaka kepada Allah dan terkutuk
di sisi Allah. Tegasnya barangsiapa mencintai seseorang kerana sesuatu sebab,
niscaya ia akan membencinya kerana sebab yang berlawanan dengannya.
Menampakkan benci kepada seseorang, sama ada dengan membisukan lidah atau tidak
ingin berbicara dengannya, atau tidak mengendahkan kehadirannya atau menjauhkan
diri daripadanya atau bersikap acuh tak acuh terhadapnya atau menganggapnya
tidak penting dan tidak berguna, atau mengeraskan kata bicara kepadanya. Segala
sikap ini diperlakukan menurut tingkatan kefasikan seseorang atau kemaksiatan
yang ditunjukkan oleh orang itu.
Adapun kesalahan yang telah diakui oleh pelakunya bahwa ia telah berkhilaf,
lalu ia merasa dukacita atasnya dan berjanji tidak akan kembali kepadanya lagi,
maka sebaik-baiknya ditutup kekhilafan itu dan dikejamkan mata daripanya.
Sifat yang harus diperhatikan dalam
memilih sahabat.
Ketahuilah, bukan semua manusia patut dijadikan sabahat Rasulullah s.a.w. telah
bersabda:
“Seseorang itu atas agama (perjalanan) rakannya, maka hendaklah seseorang kamu
memerhatikan siapa yang harus dipilih menjadi rakan.”
Sayugialah hendaknya rakan yang dipilih itu mestilah mempunyai beberapa sifat
dan kelakuan yang istimewa, yang menyebabkan anda memilihnya untuk dijadikan
rakan atau sahabat. Kesimpulannya hendaklah sabahat itu seorang yang waras
fikiran, baik budi pekerti, tidak fasik, dan tidak terlampau mementingkan
hal-hal keduniaan.
Adapun sifat waras pemikiran itu menjadi modal atau pokok dalam kehidupan,
kerana tidak ada gunanya membuat sahabat pada orang yang ahmak atau kurang
akalnya, sebab yang demikian itu akan membawa kepada perasaan tidak tenteram
dan perselisihan, sekalipun persahabatan itu berjalan begitu lama. Ada pula
yang berkata bahawasanya memutuskan persahabatan dengan orang
yang ahmak itu, adalah suatu
pengorbanan (mendekatkan diri) kepada Allah.
Adapun perihal budi pekerti yang luhur itu, maka setiap orang patut bersifat
dengannya. Sebab tidak ada gunanya bersahabat dengan orang yang sering dikuasai
oleh perasaan marah, suka dipengaruhi oleh nafsu syahwat, atau orang yang
bersifat kikir dan pengecut atau orang yang selalu menurutkan segala hawa
nafsunya yang buruk itu.
Adapun orang yang fasik dan tetap pula dengan kefasikannya, tidak mahu
bertaubat dan tidak mengendahkan nasihat orang supaya mengubah sikapnya, maka
orang ini juga tidak ada faedah untuk bersahabat dengannya. Malah melihat
kelakuannya saja akan mendorong jiwa kepada perkara-perkara maksiat, serta
memadamkan rasa benci kepada maksiat yang sudah dipunyai oleh hati. Begitu pula
biasanya, orang yang tidak takut kepada Allah, tidak dapat dipercayai
persahabatannya dan tidak dapat ditolak kecurangannya, bahkan biasanya ia
memang suka bertukar-tukar sikap dengan pertukaran keadaan dan pendirian.
Allah
berfirman:
“Dan jangan lah engkau menurut orang yang telah Kami lalaikan hatinya dari
mengingati Kami, lalu ia mengikutkan hawa nafsunya.” (al-Kahf: 28)
Allah
berfirman lagi:
“Maka berpalinglah engkau dari orang yang tiada mempedulikan peringatan
Kami, dan ia hanya menginginkan kehidupan dunia
semata-mata”.
(an-Najm: 29)
Allah berfirman lagi:
“Dan ikutilah jalan orang yang suka kembali (bertaubat) kepadaKu.”
(luqman: 15)
Dalam ayat-ayat tersebut ditunjukkan larangan bersahabat dengan orang-orang
yang fasik.
Alqamah berpesan kepada puteranya katanaya: Wahai anakku! Kiranya engkau
merasakan perlu bersahabat dengan seseorang maka hendaklah engkau memilih orang
yang sifatnya seperti berikut:
(1)
Jika engkau membuat bakti kepadanya, ia akan melindungimu.
(2)
Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya ia akan membalas baik
persahabatanmu itu.
(3)
Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya berupa wang dan sebagainya ia
akan membantumu.
(4)
Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya ia akan menerima dengan
baik.
(5)
Jika ia mendapat sesuatu kabajikan (bantuan) daripadamu, ia akan menghargai
atau menyebut kebaikanmu.
(6)
Jika ia melihat sesuatu yang tidak baik daripadamu, ia akan menutupnya.
(7)
Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, ia akan mengusahakannya.
(8)
Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), ia akan menanyakan
kesusahanmu.
(9)
Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, ia akan meringankan kesusahanmu
(membuat sesuatu untuk menghilangkan kesusahan itu).
(10)
Jika engkau berkata kepadanya, niscaya ia akan membenarkanmu.
(11)
Jika engkau merancangkan sesuatu, niscaya ia akan membantumu.
(12)
Jika kamu berdua berselisih faham, niscaya ia lebih senang mengalah untuk
menjaga kepentingan persahabatan. Demikian pesanan Alqamah kepada puteranya
dalam menggambarkan perilaku sahabat yang sejati.
Berkata Saiyidina Ali r.a:
“Saudaramu yang sebenar ialah orang
yang sentiasa berada di sampingmu.
Ia sanggup membahayakan dirinya demi
kemaslahatanmu.
Orang yang setiap masa bekerja untuk
keperluanmu.
Sanggup mengorbankan segala-segala
untuk kepentingan dirimu.
Abu Sulaiman ad-Darani rahimahullah
berkata pula: jangan sekali-kali engkau bersabahat melainkan dengan salah
seorang dari dua orang berikut:
(1)
Orang yang engkau merasa senang dengannya dalam menguruskan hal-ehwal
keduniaanmu.
(2)
Orang yang engkau dapat menambah faedah dan manfaat dalam hal-ehwal
keakhiratanmu.
Memasyghulkan
diri dengan bersahabat selain dari dua orang yang tersebut di atas itu, akan
menyebabkan kerugian dan menunjukkan kebodohan yang besar.
Adapun
berkawan dengan orang yang sangat mementingkan perkara keduniaan semata-mata,
adalah semacam meminum racun yang membinasakan. Kerana tabiat manusia itu
sentiasa terpengaruh untuk meniru-niru dan mengikut sikap kawan. Dan memang
sudah ternyata, bahwa tabiat manusia selalu meniru tabiat rakannya tanpa
disedari oleh yang lain. Jadi bercampur-gaul atau berkawan dengan orang amat
mementingkan hal-hal keduniaan semata-mata, akan menarik hati kepada sifat
tamak dan sayangkan dunia. Begitu pula bercampur gaul atau berkawan dengan
orang yang zahid atau orang yang mementingkan hal-hal keakhiratan, akan menarik
hati kepada cintakan kezahidan. Oleh itu dimakruhkan persahabatan dengan
penagih dunia atau pencinta dunia, dan dianjurkan persahabatan dengan para
ulama dan para bijaksana dan cendekiawan.
Luqman
memberikan nasihat kepada puteranya katanya: Wahai anakku! Dampinglah para
ulama dan hubungkanlah kedua lututmu dengan mereka, kerana hati itu akan
menjadi hidup dengan diresapi hikmat sebagaimana bumi yang mati itu akan hidup
semua dengan diresapi air hujan.
Hak persaudaraan dan persahabatan
Ketahuilah bahwasanya saudaramu itu mempunyai bermacam-macam hak iaitu:
(1)
Hak di bidang harta
(2)
Hak memberikan bantuan dengan jiwa dan raga.
(3)
Hak memelihara lidah dan hati
(4)
Hak memelihara ucapan
(5)
Hak pengampunan
(6)
Hak mendoakan
(7)
Hak menepati janji dan ikhlas diri
(8)
Hak memberi kemudahan, meninggalkan bersusah payah atau menyusahkan.
Hak-hak saudara ini berjumlah
delapan kesemuanya. Berikut keterangan satu persatu:
(1)
HAK DI BIDANG HARTA:
Diriwayatkan dalam sebuah Hadis
berbunyi:
“Perumpamaan kedua saudara itu
adalah seperti kedua tangan; yang satu membersihkan yang lainnya.”
Amat tepat
sekali, perumpamaan itu, kerana memanglah tugas kedua tangan itu saling
bantu-membantu antara satu sama lain atas maksud yang satu. Demikian pulalah
hendaknya keadaan kedua saudara itu, tiada akan sempurna persaudaraannya,
melainkan bila kedua-duanya bersatu dalam satu tujuan, seolah-olah bila dipandang
keduanya seperti orang yang satu. Kesatuan tujuan keduanya mestilah dalam
keadaan senang dan susah, dan saling tolong-menolong dalam masa akan datang dan
sekarang, dengan menjauhkan segala kepentingan diri atau melebihkan satu atas
yang lain.
Adapun perihal
bantu-membantu dalam soal kewangan terhadap saudara ada tiga peringkat:
Pertama: Tingkat yang paling rendah sekali
ialah dengan mengganggap sebagai seorang khadam kepadamu. Jadi lebih dulu, anda
penuhkan semua keperluan anda dari harta kekayaan anda. Kemudian sekiranya ada
lebih lagi, sedangkan saudaramu memerlukan pula kepada pertolongan, maka
barulah anda berikan pertolongan kepadanya. Tetapi jangan pula anda menunggu
sampai ia meminta dulu baru diberikan, tetapi hendaklah anda menawarkan
terlebih dulu. Jika anda berdiam diri sehingga ia terpaksa meminta, maka sikap
itu adalah suatu kecuaian dalam soal persaudaraan.
Kedua: Tingkat kedua ialah dengan
menganggap saudaramu seperti dirimu sendiri. Anda redha berkongsi dengannya
dalam harta kekayaan dan segala milik anda, sehingga anda sanggup membahagi dua
harta benda dan kekayaan anda bersamanya.
Ketiga: Tingkat yang paling tinggi sekali,
iaitu dengan mendahulukan hajat dan keperluannya atas hajat dan keperluan anda
sendiri. Sifat seumpama ini hanya ada pada orang-orang dalam tingkatan para
siddiqin, dan ia merupakan tingkatan para pencinta.
Dan puncak
dari segala tingkatan-tingkatan ini, ialah melebihkan hak orang lain atas hak
peribadi sendiri, maka sayugialah anda perhatikan semua tingkatan-tingkatan ini
pada diri anda. Kiranya tidak ada satu pun dari ketiga-tiga tingkatan ini pada
diri anda, maka ketahuilah, bahwasanya ikatan persaudaraan itu masih belum
terikat lagi dalam batin anda. Adapun pergaulan yang berlaku sehari-hari dengan
saudara mara itu, tiada lain melainkan semacam pergaulan yang rasmi saja, tidak
ada kesan apa pun yang tertinggal di dalam akal atau agama.
Berkata
Maimum bin Mahran: Barangsiapa yang suka berkawan, tetapi tidak suka melebihkan
kawan atas diri sendiri, maka lebih baik ia berkawan dengan ahli kubur.
Setengah ahli
agama masih belum dapat menerima darjat pertama dari tingkatan-tingkatan yang
tiga tadi sebagai sifat yang diredhai oleh mereka.
Diriwayatkan
bahwa Utbah al-Ghulam rahimahullah mengunjungi rumah seorang kawan yang telah
diakuinya sebagai saudara, lalu berkata: Aku perlukan dari hartamu sekadar
4,000 dirham. Jawab rakannya: Ambillah 2,000 saja! Utbah enggan menerimanya
malah ia mencela orang itu, katanya: Sungguh tak kusangka bahwa anda telah
memilih dunia dari Allah Ta’ala. Tidakkah anda merasa malu mendakwakan
persaudaraan kerana Allah, kemudian anda berkata semacam ini?
Adapun
tingkatan yang paling tinggi sekali dari tingkatan persaudaraan itu, maka Allah
telah menjelaskan sifatnya sepertimana yang ditunjukkan kepada kaum Mu’minin
yang berikut dalam firmanNya:
“Dan
urusan mereka dipermusyawaratkannya antara sesama mereka, dan mereka sentiasa
membelanjakan apa-apa yang Kami memberikan rezeki kepada mereka.” (asy-Syura: 38)
Yakni, kaum
Mu’minin itu menjadi syarikat atau kongsi dalam harta benda sesama sendiri,
tidak ada bedanya harta seorang dengan yang lainnya. Bahkan ada di antara
mereka itu yang enggan mengaku kawan kepada orang yang berkata: Ini sandalku,
yakni ia telah mementingkan dirinya sendiri bila mengatakan sandal itu
miliknya.
Ada di antara
mereka itu yang terus memerdekakan hamba sahayanya disebabkan kedatangan
seorang teman atau saudara ke rumahnya, lalu mengambil dari hartanya sekadar
keperluan saudara itu sedangkan ia tidak ada di rumah. Perbuatan memerdekakan
hamba sahaya itu kerana terlalu gembira dengan perilaku kawannya tersebut.
Berkata
Zainul Abidin Ali Ibnul-Hussain r.a kepada orang ramai: Pernahkah seseorang di
antara kamu memasukkan tangannya ke dalam saku atau kocek kawannya seraya
mengambil apa yang diperlukan olehnya tanpa izin? Mereka berkata: Tidak pernah!
Maka beliau berkata lagi: Kalau begitu kamu sekalian belum boleh dikatakan
sahabat.
Ibnul Umar
r.a pula berkata: Seorang sahabat Rasulullah s.a.w. telah menerima hadiah kepala
kambing dari sahabatnya, tetapi dia telah menolaknya dengan alasan ada sahabat
yang lain yang lebih berhajat daripadanya, maka kepala kambing itu pun
dibawalah kepada sahabat yang dikatakan lebih berhajat itu, tetapi sahabat itu
juga telah menolaknya, dengan alasan bahwa di sana ada orang lain yang lebih
berhajat daripadanya. Seterusnya kepala kambing itu pun bertukar tangan dari
seorang kepada yang lain, sehingga berkeliling ke tangan tujuh orang dan
akhirnya sampai semula ke tangan orang yang pertama itu sekali lagi.
Berkata Abu
Sulaiman ad-Darani: Andaikata seluruh isi dunia ini kepunyaan saya, lalu saya
letakkannya ke dalam mulut salah seorang dari sahabat-sahabatku, maka saya
masih merasakan terlalu sedikit; iaitu disebabkan membelanjakan sesuatu ke atas
sahabat itu lebih utama daripada bersedekah terhadap kaum fakir miskin.
Berkata Ali
r.a.: Dengan hanya dua puluh dirham yang dapat aku berikan kepada saudaraku
kerana Allah adalah lebih kucintai daripada dapat bersedekah dengan seratus
dirham ke atas orang-orang miskin.
Termasuk
kesucian diri dalam persaudaraan ialah bersenang lenang di rumah sahabat,
sebagaimana ianya menjadi amalan sebahagian terbesar dari para Salaf Saleh.
Allah telah berfirman:
“Ataupun
di rumah yang kamu miliki kunci-kuncinya atau di tempat
kawanmu.” (an-Nur: 61)
Maksud dari
ayat di atas ialah sekiranya asa seorang sahabat yang menyerahkan kunci
rumahnya kepada sahabat yang lain, serta mengizinkan sahabat itu untuk
bertindak sesuka hati di dalam rumahnya itu. Jadi pada mulanya sahabat itu
memelihara diri supaya tiada memakan sesuatu dalam rumah itu menurut hukum
taqwa, sehingga Allah turunkan ayat yang tersebut di atas, yang mengizinkan
untuk bersenang lenang dalam mengecap makan-minum kawan-kawan dan rakan-rakan di
rumah masing-masing.
(2)
HAK MENOLONG DENGAN JIWA DAN RAGA
Di dalam soal
menunaikan hajat seseorang sahabat dan mengusahakan semua keperluannya serta
mengutamakan hajat-hajat kawan atas diri sendiri itu ada pula
tingkatan-tingkatannya. Tingkatan yang paling rendah sekali ialah memenuhi
hajat dan keperluan kawan, bila ia memintanya, sedangkan kawan yang diminta
bantuan itu berkuasa untuk membantunya pula. Bila diberikan bantuan, hendaklah
dengan wajah yang manis dan rasa senang, serta melahirkan tanda kegembiraan,
kerana kawan itu sanggup menerima kurniaannya.
Setengah orang berkata: Apabila anda
memohon pertolongan dari saudaramu pada sesuatu keperluan, sedangkan ia tiada
memenuhi permohonan anda itu, maka hendaklah anda ingatkannya kali kedua,
kerana mungkin sekali ia telah terlupa. Tetapi sesudah itu jika ia masih tidak
mengendahkan anda lagi, maka hendaklah anda membaca: Allahu Akbar kepadanya
(seolah-olah anda berdiri sedang sembahyang jenazah --- pent), kemudian bacakan
ayat al-Quran ini:
“Dan orang-orang yang mati itu, akan
dibangkitkan oleh
Allah.” (al-An’am: 36)
Di antara para salaf, ada yang
mengambil berat terus mengenai hal-ehwal keluarga dan anak-anak sahabatnya,
selepas wafatnya sahabat itu sepanjang masa 40 tahun. Ia mencukupkan semua
keperluan mereka, dan sentiasa menziarahi mereka serta memberikan
berbagai-bagai bantuan moral material setiap kali mereka memerlukannya.
Pendekkata, keluarga itu tidak akan merasa kurang apa-apa, kecuali batang-tubuh
ayah mereka yang telah meninggal dunia saja, malah mereka mendapati rakan-rakan
ayah mereka dalam mengambil berat tentang hal-ehwal mereka itu, melebihi
tanggungjawab ayah sendiri sewaktu hayatnya.
Antara tugas-tugas yang dijalankan
oleh para salaf itu, ialah sering mengunjungi rumah-rumah para sahabat mereka,
serta membawa segala keperluan ahli rumah itu, padahal sahabatnya dan seisi
ahli rumah itu, tiada mengetahui siapakah yang memberikan bantuan itu. Dengan
cara beginilah mereka binakan perasaan kasih sayang dan simpati dalam
persudaraan mereka itu. Sebab persaudaraan yang tidak menelurkan apa-apa
perasaan kasih sayang dan simpati antara sahabat yang lain itu tidak ada
gunanya sama sekali.
Berkata Maimun bin Mahran: Orang
yang tidak ada faedah persahabatannya, tentu tidak akan mudharat permusuhannya.
Kesimpulannya: Hendaklah dijadikan
hajat dan keperluan saudaramu itu persis seperti hajat dan keperluan diri
sendiri, malah kalau boleh lebih dipentingkan hajat dan keperluan mereka dari
diri sendiri. Bahkan hendaklah anda sentiasa menyelidiki masa-masa timbulnya
keperluan saudaramu itu, jangan sampau terlalai dengan hal ehwalnya sebagaimana
anda tidak melalaikan tentang hal ehwal diri sendiri. Dan hendaklah anda tidak
membiarkan saudaramu memulakan permintaan bantuan atau pertolongan, baru
diberikan. Kemudian bila sudah dibantu, janganlah merasakan diri anda itu
mempunyai hak atau budi ke atasnya, tetapi hendaklah dianggapnya sebagai anda
terhutang budi kepadanya, kerana ia suka menerima jasa baikmu dan pertolonganmu
untuk menghuraikan keperluannya.
Berkata Atha’: Perhatikanlah
sahabat-sahabatmu itu didalam tiga persoalannya, iaitu:
(1)
Jika mereka sakit, hendaklah segera menziari mereka.
(2)
Jika mereka terlalu sibuk dengan urusan-urusan, maka berikanlah bantuan.
(3)
Jika mereka terlupa, maka hendaklah mengingatkan mereka.
Said Ibnul-Ash berkata pula:
Sahabatku yang rapat kepadaku mempunyai tiga macam hak atasku, iaitu:
(1)
Jika ia datang kepadaku, niscaya aku mengalu-alukan kedatangannya.
(2)
Jika ia berbicara, niscaya aku berikan perhatian kepada perbicaraanya.
(3)
Jika ia duduk disebelahku, niscaya aku luaskan tempat untuknya.
Allah telah berfirman:
“Mereka itu mempunyai perasaan kasih
sayang antara sesama mereka” (al-Fath:
29)
Ayat ini menunjukkan perasaan
simpati dan perasaan hormat menghormati dan kasih-mengasihi antara sesama
sahabat.
Seterusnya untuk menyempurnakan
perasan simpati dan kasih sayang antara para sahabat, hendaklah jangan
mengadakan jamuan makanan yang lazat atau mengadakan keramaian tanpa
mengundangnya turut bersama mengecap makanan-makanan yang lazat itu, malah
hendaklah merasa tidak senang bila ia tiada bersama-sama ataupun merasa kurang meriah
bila ia terpisah dari sahabat-sahabatnya dalam keadaan-keadaan yang demikian.
(3)
HAK MEMELIHARA LIDAH
Dalam menunaikan hak sahabat dalam
memelihara lidah ialah dengan berdiam diri suatu kala dan berbicara di kala
yang lain.
Cara berdiam diri itu ialah tiada
menyebut-nyebut keburukan-keburukan kawan di masa dia hadir di hadapan kita
ataupun dia tiada. Malah jika kita tahu ada keburukannya, kita buat-buat tidak
tahu saja, dan kalau ada orang yang menyebutnya, kita harus pura-pura tidak tahu,
dan jangan sampai kita menambah-nambah pula atau membuka pintu perdebatan
mengenai keburukan kawan itu. Dan jangan pula kita merisik-risik tentang
kekurangannya atau menungkit-ungkit perihalnya.
Andaikata kita lihat ia sedang
menuju ke suatu usaha, atau sedang menunaikan sesuatu keperluan, maka janganlah
kita bertanyakan tentang maksud dari usahanya itu, dari mana puncanya dan
datangnya. Mungkin sekali dia tidak ingin memberitahu kita tentang rahasia
perusahaannya itu, sehingga ia terpaksa berbohong kerananya.
Apabila diberitahukan kepada kita
sesuatu rahasia, maka hendaklah kita menyimpannya baik-baik, jangan sampai kita
bocorkan rahasia itu kepada sesiapa pun, meskipun kepada salah seorang sahabat
yang paling rapat dengannya. Rahasia itu mestilah disimpan baik-baik, walaupun
sesudah itu berlaku pergisiran atau perselisihan-faham antaranya dengan kita,
namun rahasia mestilah dijaga. Jika kita bocorkan juga, maka itu adalah sikap
orang yang tercela tabiatnya dan kotor batinya.
Seterusnya, hendaklah kita tidak
mencela rakan-rakan yang disayanginya, begitu pula dengan isteri dan
anak-anaknya. Andaikata kita mengetahui ada orang lain yang mencacinya, maka
janganlah pula kita menyampaikan caci-cela itu kepadanya. Kerana ada kata
pepatah: Orang mencacimu itu ialah orang yang menyampaikan cacian orang lain,
Sebaik-baiknya, bila mendengar ada orang yang memuji sahabat kita, kita
sampaikan kepadanya, kerana yang demikian itu akan menimbulkan rasa gembira
dalam hatinya, dan dia pula akan berterima kasih kepada kita kerana kita
sampaikan berita itu, kemudian itu akan menimbulkan rasa gembira dalam hatinya,
dan dia pula akan berterima kasih kepada kita kerana kita sampaikan berita itu,
kemudian dia akan merasa senang dengan orang yang memujinya itu. Menyimpan
berita itu, samalah seperti orang yang busuk hati dan hasad.
Pendek kata, hendaklah kita tiada
menyebut-nyebut kata-kata yang boleh menimbulkan kemaraham atau perasaan benci
dalam hatinya, melainkan bila wajib kita berkata terus terang kepadanya dan
tidak ada jalan lain lagi untuk menahannya; iaitu seperti mengingatkan kepada
suruhan agama yang mesti ditunaikan atau larangan yang patut dijauhi. Dalam hal
serupa ini, tidak boleh berdiam diri, malah berdosa jika menutup mulut.
Meskipun berkata terus terang begitu akan menimbulkan kemarahannya, namun
kita harus tiada mengendahkan yang demikian itu. Sebab itu sebenarnya serupa
dengan melakukan suatu kebajikan bagi faedahnya, walaupun dianggap sebagi suatu
perkara buruk pada zahirnya.
Adapun menyebut-nyebut tentang
keburukan-keburukannya, aib-aibnya serta aib-aib anak-anaknya, maka itulah yang
dikatakan ghibah atau mengumpat dan hukumnya adalah haram atas setiap orang
Muslim.
Anda dilarang dari perkara ini ialah
disebabkan dua perkara:
Pertama: Cuba anda perhatikan
terlebih dulu perihal diri anda sendiri. Kiranya anda dapati dirimu ada satu
saja dari perkara yang tercela itu, maka sudah cukuplah bagi anda untuk menahan
diri daripada mencela orang lain. Memadailah anda fahamkan, bahwa dia tiada
berdaya untuk menahan dirinya dari melakukan perkara yang tercela itu,
sepertimana anda juga tidak berkuasa untuk mengekang diri dari perkara-perkara
bala yang menimpa atas diri sendiri. Janganlah anda memandang terlalu berat
suatu kelakuan yang tercela daripadanya, kerana siapakah orangnya yang boleh
dikatakan terlepas dari celaan dan cemuhan?!
Kedua: Ketahuilah, kiranya anda
ingin mencari kawan seorang yang bersih dari segala aib dan keburukan, anda
akan terpaksa mengasingkan diri dari sekalian manusia, sedangkan anda masih
belum ketemui orang itu lagi. Sebab tiada seorang pun di dalam dunia ini,
melainkan ada padanya perkara-perkara yang baik dan perkara-perkara yang buruk.
Kiranya kebaikannya itu lebih banyak dari keburukannya, maka itulah
sebaik-sebaik kawan yang dicari dan tidak ada lebih baik dari itu.
Ingatlah bahwa sifat seorang Mu’min
yang mulia itu, hatinya sentiasa mengenang-ngenangkan kebaikan kawan agar
timbul dalam hati kawan itu perasaan saling hormat-menghormati, sayang-menyangi
dan perasaan suka memuliakan kawan yang lain. Sebaliknya sifat seorang munafik
pula, pekertinya buruk, hatinya selamanya akan memendam segala macam keburukan
orang lain dan keaibannya.
Berkata Ibnul-Mubarak: Orang Mu’min
itu selalu menerima keuzuran (jika ada orang membuat salah – pent) dan orang munafik
selalu mencari-cari kesalahan orang lain.
Al-Fudhail berkata pula:
Kepahlawanan itu ialah memaafkan segala kekhilafan kawan-kawan.
Oleh kerana itulah maka Rasulullah
s.a.w telah bersabda:
“Berlindunglah dari jiran yang jahat
pekertinya; bila melihat kebaikan ditutupnya, dan bila melihat keburukan
diheboh-hebohkannya.”
Sebagaimana kita wajib memelihara
lidah dari menyebut-nyebut segala keburukan kawan, begitu juga kita wajib
memelihara hati dari segala sangkaan buruk terhadapnya. Sebab sangkaan buruk di
dalam hati iti dikira ghibah juga. Dan ghibah atau mencaci di dalam hati adalah
dilarang keras oleh agama. Dan batasannya supaya kita tidak mengira semua
amalan kawan itu buruk, tetapi sekadar yang boleh kita kira semuanya bertujuan
baik. Tetapi jika sudah terang, bahwa amalan itu sememangnya buruk dengan penuh
keyakinan dan penyaksian mata, sebaik-baiknya dikira saja bahwa perkara itu
berlaku daripadanya kerana terlalai atau terlupa, supaya kita terjauh dri buruk
sangka, Sebab yang demikian itu akan menarik kita untuk mengintip rahasia orang
dan mencari-mencari kesalahan orang lain. Nabi s.a.w. telah bersabda:
“Janganlah kamu mencari-cari
kesalahan orang lain, jangan mengintip-intip rahasia mereka, janganlah
memutuskan perhubungan, jangan bermusuh-musuhan dan jadilah kamu sebagai
hamba-hamba Allah yang bersaudara.”
Jadi menutup keburukan-keburukan
orang lain dan pura-pura tidak nampak atau tidak tahu mengenai keburukannya
itu, adalah sikap yang patut dilengkapi oleh ahli agama. Dan ketahuilah,
bahwasanya tidak akan sempurna iman seseorang Muslim itu, selagi ia tidak
mencintai diri saudaranya sepertimana ia mencintai dirinya sendiri. Dan
sekurang-kurangnya, hendaklah ia memperlakukan terhadap saudaranya, sebagaimana
ia berharap orang lain memperlakukan terhadap dirinya sendiri.
Adapun punca segala kecuaian dalam
soal menutup keaiban orang lain, atau suka membocorkan rahasia kawan, ialah
bersumber dari penyakit yang terpendam di dalam hati; iaitu kedengkian (hasad).
Barangsiapa yang menyimpan perasaan dendam di dalam hatinya terhadap seseorang
Muslim, maka imannya masih lemah dan tumpul, dan perkara ini amat membahayakan
diri manakala hatinya dikira busuk, tiada sesuai untuk bertemu dengan Allah
s.w.t.
Di antara hak-hak kawan yang lain
yang harus dipelihara ialah: Tidak membocorkan rahasia yang dipercayakannya
kepada kita. Kita boleh mengingkarinya, jika perkara yang dilakukannya itu
tidak baik meskipun dengan berbohong, kerana bercakap benar itu bukanlah wajib
pada semua keadaan. Sayugialah, sebagaimana seseorang itu harus menutup keaiban
dirinya dan rahasia-rahasianya yang buruk, sekalipun ia terpaksa berbohong
kerananya, maka terhadap keaiban dan rahasia saudaranya, itu dikira satu
kedudukan dengannya; kedua-duanya laksana orang yang satu, tiada beda antara
keduanya melainkan dalam tubuh badan saja. Inilah yang dikatakan persaudaraan
atau persahabatan yang hakiki dan tulen.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Barangsiapa menutup rahasia
saudaranya, niscaya Allah akan menutup rahasianya di dunia dan di akhirat.”
Sabdanya lagi:
“Apabila seseorang itu menyampaikan
sesuatu berita, kemudian ia berpaling (pergi dari situ), maka ketahuilah bahwa
berita itu adalah amanat.”
Lagi sabda baginda:
“Majlis-majlis (perbicaraan dalam
perkumpulan) adalah amanat.”
“Hanyasanya dua orang yang berbicara
dalam suatu majlis itu adalah amanat, dan tiadalah boleh bagi seseorang dari
keduanya membocorkannya apa-apa rahasia yang tiada disenananginya.”
Pernah ditanyakan kepada seseorang:
Bagaimana anda memelihara rahasia? Jawabnya: Aku menjadi kuburnya. Sesungguhnya
dada orang yang merdeka itu merupakan kuburnya segala rahasia.
Pernah diceritakan, ada seseorang
menyatakan rahasia hatinya pada seorang kawan, kemudian ia bertanya kepada
kawan itu: Ingatah anda apa yang aku bicarakan tadi? Jawabnya: Entahlah, aku
sudah lupa.
Al-Abbas, bapa saudar Nabi s.a.w.
pernah memesan kepada puteranya Abdullah, katanya: Aku lihat orang ini
(maksudnya) saiyidina umar Ibnul-Khattab r.a.) sering mengkedepankan engkau
dari banyak orang-orang yang tua, maka peliharalah nasihatku yang lima ini:
(1)
Janganlah engkau bocorkan rahasianya sama sekali
(2)
Janganlah engkau mencaci orang lain dihadapannya
(3)
Janganlah engkau membiasakan bohong kepadanya
(4)
Janganlah engkau melanggar perintahnya
(5)
Janganlah sampai ia melihat sesuatu pengkhianatan berlaku daripadamu.
Asy-Sya’bi memberi komennya terhadap
ucapan di atas, katanya: Setiap satu dari mutiara kata lima ini, lebih berharga
daripada seribu kata.
Di antara hak kawan lagi ialah:
Meninggalkan perbantahan atau pertengkaran terhadap segala yang diucapkan oleh
saudaramu.
Berkata Ibnu Abbas: Jangan ajak
bertengkar pada orang yang kurang akal, nanti ia akan membahayakan kamu. Jangan
pada orang yang bersabar, nanti kamu dibencinya pula.
Rasullullah s.a.w telah bersabda:
“Barangsiapa meninggalkan
pertengkaran sedang ia bersalah, akan dibina baginya sebuah rumah di dalam
halaman syurga. Dan barangsiapa meninggalkan pertengkaran sedang ia benar
(tidak salah), akan dibina baginya sebuah rumah di tempat tertinggi dalam
syurga.”
Hadis tersebut menunjukkan betapa
toleransi Agama Islam, padahal meniggalkan yang salah itu adalah wajib
hukumnya. Tetapi Hadis itu telah menjadikan pahala melakukan sunnat di sini
lebih besar. Sebab berdiam diri ketika dalam kebenaran itu lebih berat
tekanannya atas diri daripada berdiam diri ketika dalam kesalahan atau
kebatilan, dan sebenarnya pahala itu dikira atas kadar tanggungan.
Ingatlah, bahwa sebab yang paling
berat sekali untuk menyalakan api kedengkian dalam hati sesama saudara, ialah
dengan menimbulkan pertengkaran dan perbantahan. Kedua-dua sifat ini merupakan
punca utama kepada permusuhan dan putus perhubungan. Bukanlah berputus hubungan
itu mula-mulanya berlaku dengan timbulnya pendapat-pendapat yang berbeda-beda,
kemudian dengan kata-kata yang tak senang didengar oleh telinga, kemudian
dengan beradu kekuatan atau berpukul-pukulan.
Nabi s.a.w. telah bersabda:
“Janganlah kamu bermusuh-musuhan,
jangan benci-membenci, jangan dengki-mendengki, jangan berputus hubungan antara
satu dengan yang lain dan jadilah kamu sekalian sebagai hamba-hamba Allah yang
bersaudara-mara.”
Baginda bersabda lagi:
“Seseorang Muslim adalah saudara
kepada Muslim yang lain, tiada boleh menganiyainya, atau menghalangi
keperluannya, atau menghinanya. Memadailah seseorang itu dikira jahat, apabila
ia menghina saudaranya Muslim yang lain.”
Ketahuilah, bahwa seberat-berat
penghinaan terhadap kawan telah melakukan perbantahan terhadapnya, sebab orang
yang membantah kata-kata kawannya itu mungkin menganggap kawan itu bodoh, atau
lalai, atau cuai dari memahami sesuatu perkara menurut semestinya. Itulah yang
dikatakan penghinaan yang menyempitkan dada dan mengacau jiwa.
Abu Umamah meriwayatkan sebuah Hadis
katanya: Pada suatu ketika Rasulullah s.a.w datang ke tempat kami, sedang kami
lagi berbantah-bantahan, maka baginda pun murka lalu bersabda:
“Tinggalkanlah pertengkaran dan
berbantah-bantahan, sebab amat sedikit sekali kebaikannya. Hindarkanlah
pertengkaran dan berbantah-bantahan sebab tidak seberapa manfaatnya, malah ia
akan menarik kepada permusuhan dan perselisihan antara sesama saudara.”
Setengah para salaf berkata: Orang
yang mengata-nista saudaranya atau membantah-bantahnya, adalah orang yang
rendah pekertinya dan yang telah lenyap penghormatanya dirinya.
Yang lain pula berkata: Awas! Jangan
sekali-kali berbantah-bantahan dengan orang ramai. Sebab anda takkan berdaya
menolak tipu daya seorang penyabar, atau menahan bencana seorang jahat.
Al-Hasan berkata pula: Tiada akan
terbeli permusuhan seorang dengan kasih-sayang seribu orang.
Pendek kata tidak ada gunanya
berbantah-bantahan, selain dari ingin menampakkan diri sebagai orang yang
banyak akal dan lebih utama, serta menampakkan diri kawannya sebagai orang yang
rendah dan masih bodoh. Bukannkah itu menandakan takabbur dalam diri, menyimpan
perasaan sombong, suka menghina dan mencaci orang lain sebagai kurang akal,
bodoh dan jahil. Tidak ada pengertian lain yang lebih tepat dari yang tersebut
itu, maka bagaimana dapat dibentuk persaudaraan yang sejati dan persefahaman.
Ibnu abbas pernah meriwayatkan dari
Rasulullah s.a.w katanya, sabda baginda:
“Janganlah anda membantah saudaramu,
dan janganlah pula bersenda gurau dengannya (yakni yang berlebih-lebihan), dan
bila berjanji suatu perjanjian, maka janganlah anda memungkirinya.”
Sabda baginda lagi:
“Kamu tidak mungkin akan menguasai
orang ramai dengan harta kekayaan kamu, tetapi kuasailah mereka dengan wajah
yang berseri-seri dan budi pekerti yang luhur.”
Adapun sifat berbantah-bantahan itu
adalah berlawanan dengan sifat budi pekerti yang luhur. Dan ketahuilah,
bahawasanya asasnya persaudaraan itu ialah permuafakatan dalam perbicaraan,
perlakuan dan sayang-menyayangi antara sesama saudara.
(4)
HAK MEMELIHARA LIDAH DALAM UCAPAN
Persaudaraan itu bukanlah
semata-mata dengan menutup mulut dari menyebut-nyebut segala yang dibenci oleh
saudara itu, malah menyebut-nyebut segala yang disukai dan digemarinya juga,
bahkan yang akhir ini lebih utama lagi. Sebab jika memadai dengan berdiam diri
saja, maka lebih baiklah kita bersahabat dengan ahli-ahli kubur. Jadi nyatalah,
bahwa tujuan utama persaudaraan itu, ialah supaya kita menimbulkan kebaikan
kepada saudara kita, dan bukanlah dengan semata-mata menghindarkan dirinya dari
gangguan atau bahaya yang mungkin kita lakukan terhadapnya.
Sememangnya berdiam diri dari
menyebut-nyebut keburukan kawan itu, seperti menolak bahaya daripadanya, tetapi
yang patut dilakukan juga ialah menyebut-nyebut kebaikannya dan memuji-mujinya.
Tambahan lagi. Sewajarnyalah kita bertanyakan hal-ehwalnya seperti bertanyakan
kalau ada sesuatu halangan yang mungkin menimpa dirinya, lalu kita melahirkan
perasaan kurang senang dan mengambil berat mengenainya. Ataupun jika kawan
sakit, kita tunjukkan perasaan dukacita kalau terlalu lambat sembuh dari
penyakit itu. Ataupun jika berlaku lain-lain hal yang mungkin tiada
menyenanginya. Ataupun jika berlaku lain-lain hal yang mungkin tiada
menyenanginya, maka hendaklah kita turut melahirkan perasaan simpati
terhadapnya dengan ucapan dan perbuatan. Sebaliknya jika hal yang berlaku itu
mendatangkan rasa gembira dan senang dalam hatinya, maka hendaklah kita turut
melahirkan perasaan simpati terhadapnya dengan ucapan dan perbuatan. Sebalinkya
jika hal yang berlaku itu mendatangkan rasa gembira dan senang dalam hatinya,
maka hendaklah kita turut melahirkan perasaan yang sama terhadapnya dengan
ucapan, ataupun kita turut bersama-sama bergembira kerana peristiwa atau
sempena itu.
Pendek kata pengertian persaudaraan
itu ialah bersama-sama berkongsi jiwa dalam kesenangan dan kesusahan.
Berkta Rasulullah s.a.w dalam
sabdanya.
“Kiranya seseorang kamu mencintai
saudaranya, maka hendaklah diberitahukan kepadanya.
Sebabnya Rasulullah s.a.w. menyuruh
kita memberitahukannya kerana hal itu akan melahirkan perasaan kasih sayang
yang lebih. Jika kawan anda mengetahui, bahwa anda mencintainya, tentulah ia
akan mencintai anda sama, bahkan barangkali lebih dari itu. Demikianlah cinta
antara kedunya itu akan terus bertambah dari masa ke semasa dan cinta antar
Mu’min dengan Mu’min yang lain, adalah amat dituntut di dalam syariat dan
paling dikasihi oleh Agama Islam.
Oleh itu juga, maka Rasulullah s.a.w
telah menunjukkan kepada kita jalan ini, dengan sabdanya:
“Beri memberilah antara kamu,
niscaya kamu akan cinta-mencintai antara sesama kamu”
Di antaranya hendaklah anda
memanggilnya dengan nama-nama yang amat disukai olehnya sama ada pada masa ia
berada di hadapan anda ataupun tidak.
Berkata Umar Ibnul-Khattab r.a.:
Tiga perkara akan menimbulkan kasih sayang saudaramu kepadamu:
(1)
Hendaklah anda memberi salam kepadanya bila bertemu
(2)
Hendaklah meluaskan tempat duduk baginya dalam majlis.
(3)
Hendaklah memanggilnya dengan sebaik nama yang disukainya.
Juga seharusnyalah anda memuji
perilakunnya yang baik kepada orang-orang yang memang dia senang kalau
diceritakan tentang perilakunya. Itu juga akan membawa sebab rasa gembiranya
kepada anda. Ataupun anda memuji anak-anaknya, isterinya, usahanya dan
perbuatannya yang baik, malah patut juga anda memuji akal pemikirannya, budi
pekertinya, bentuk dna rupanya, tulisannya, syair-syairnya, karya-karyanya dan
segala apa saja yang boleh menimbulkan kegembiraan pada diri kawan itu. Tetapi
itu semua tidak boleh dilakukan secara berpura-pura, atau dengan itu bohong,
atau secara berlebihan-lebihan, hanya yang dibolehkan ialah mengindahkan
mana-mana berita yang patut diindahkan saja.
Lebih digalakkan lagi, ialah supaya
anda menyampaikan pujian orang jika memang ada yang memujinya, kemudian anda
tunjukkan rasa gembira atas pujian itu, kerana menyembunyikan berita itu boleh
dikira semacam dengki dan iri hati.
Selain itu, hendaklah anda berterima
kasih kepada kawan anda, bila dia membuat sesuatu perkara baik terhadap anda.
Bahkan wajar sekali anda berterima kasih atas cita-citanya yang baik, meskipun
dia belum sempat menyempurnakan cita-cita itu.
Lebih berkesan lagi dalam menarik
rasa cinta kawan anda, ialah membela dirinya pada masa ia absen (tidak hadir);
iaitu apabila ada orang mengkecam kehormatannya, sama ada dengan ucapan yang
terang-terangan ataupun sindiran. Sebab hak persaudaraan itu ialah menyegerakan
diri untuk melindungi kawan dalam segala hal, dan menolongnya menentang orang
yang mencacinya, sehinggakan jika perlu boleh dikeraskan suara dalam menangkis
kecaman dan cacian orang itu. Mendiamkan diri dalam persoalan seumpama ini akan
menyempitkan dadanya, dan menyebabkan kawan melarikan diri tidak ingin
bersahabat terus dengan anda. Ini merupakan suatu kecacatan dalam hak
persaudaraan. Jadi membiarkan saja orang lain mencemarkan kehormatan kawan
tanpa membuat sesuatu, samalah seperti membiarkan orang lain mengoyak-ngoyakkan
dagingnya di hadapan anda. Sejelek-jelek kawan, ialah bila ia melihat kawannya
sedang diserang oleh anjing, dagingnya digigit-gigit oleh anjing tadi, padahal
dia berdiam diri saja menonton kejadian itu berlaku di hadapan matanya. Dia tiada
mempunyai belas kasihan atau simpati untuk mempertahankannya. Dan sudah memamng
di akui, bahwa mencemarkan kehormatan diri itu pada tekanan jiwa, adalah lebih
berat ditanggung daripada dagingnya dikoyak-koyak oleh gigitan anjing. Sebab
itulah Allah s.w.t. telah menyamakan orang yang mencemarkan kehormatan orang
lain itu dengan memakan daging saudaranya yang sudah mati.
Firman Allah Ta’ala:
“Sukakah seseorang kamu memakan
daging saudaranya yang sudah mati? (al-Hujurat: 12)
Jelaslah, bahwasanya melindungi
kawan dengan menolak celaan musuh-musuhnya dan menentag orang-orang yang
mencacinya itu adalah wajib dan menentang yang tulen.
Setengah orang berkata: Setiap kali
kawanku dicaci orang, melainkan kugambarkan dirinya berada di hadapanku, maka
akan kuucapkan apa-apa yang patut didengarnya, jika ia hadir.
Tugas yang lain terhadap kawan,
ialah mengajarnya ilmu pengetahuan yang berguna serta memberikan nasihat yang
berfaedah. Sebab hajat kawan kepada ilmu pengetahuan tidak kurang dari hajat
kawan kepada ilmu pengetahuan tidak kurang dari hajatnya kepada harta kekayaan.
Maka jika anda kaya dengan ilmu pengetahuan, sayugialah anda membantu
mengajarnya dari kelebihan ilmu yang ada pada anda, dan menunjukinya ke jalan
mendatangkan baginya manfaat dunia dan akhirat.
Andaikata sesudah anda mengajar dan
menunjukkannya jalan yang benara, malah dia tidak menurut petunjuk itu, maka
hendaklah anda memberi masihat; iiatu dengan mengingatkannya tentang
bencana-bencana perbuatan itu serta dengan mengingatkannya tentang bencana-bencana
perbuatan itu serta faedah-faedahnya pula, jika ditinggalkan kelakuan itu.
Kemudian diingatkannya pula tentang perkara-perkara yang harus dibencinya,
dunia dan akhirat, mudah-mudahan ia menginsafi dirinya dan tersedar akan
kesalahan-kesalahan atau keburukan yan dilakukannya.
Teguran dan nasihat itu hendaklah
disampaikan secara rahsia, supaya tiada seorang pun yang mengetahuinya, kerana
nasihat yang disampaikan di hadapan khalayak ramai itu, bukanlah teguran atau
nasihat, melainkan suatu kecemaran yang memalukan. Teguran yang disampaikan
secara rahsia itulah yang dinamakan belas kasihan dan nasihat yang sebenarnya.
Berkata Zun-Nun: Bersahabat kepada
Tuhan dengan menurut perintahNya. Bersahabat kepada makhluk dengan mengambil
nasihatnya. Bersahabat kepada nafsu dengan meninggalkan keiginannya.
Janganlah menyangka bahwa menasihati
seorang kawan itu akan menyebabkan hatinya tak senang, kerana mengingatkan apa
yang ia tiada mengetahui itu, merupakan tanda belas kasihan dan itulah yang
dinamakan persepakatan hati – yang maksudnya di sini ialah jiwa orang-orang
yang waras fikirannya. Adapun orang-orang yang kurang akalnya, maka tentu
sekali tiada boleh dikira dalam kategori di atas tadi. Ketahuilah, bahwa orang
yang mengingatkan kamu atas perbuatanmu yang jahat, atau menegur kelakuanmu
yang tak senonoh supaya kamu mengubahnya itu, samalah seperti orang yang
memberitahu kamu; ada seekor ular atau kala jengking dikakimu, dan binatang itu
hampir pula membinasakan kamu. Andai kata kamu marah kepada orang yang
memberitahu itu, tentulah amat dahsyat sekali kebodohan kamu itu?!
Kelakuan-kelakuan yang buruk itu
samalah seperti kala-jengking dan ular, sebab ia akan membinasakan kamu di
akhirat kelak. Kelakuan-kelakuan itu akan merosakkan hati dan jiwa, dan pedihnya
lebih hebat daripada anggota dan tubuh bdan yang digigit ular atau kala
jengking, kerana kelakuan-kelakuan yang tak senonoh itu dijadijan Allah dari
api neraka yang bernyala-nyala.
Oleh kerana itulah maka Umar
Ibnul-Khattab r.a. meminta para sahabatnya untuk menunjukkan keaibannya. Beliau
berkata: Moga-moga Allah merahmati orang yang menunjukkan keaiban saudaranya.
Salah seorang para salaf menulis
kepada saudaranya, katanya: Ketahuilah wahai saudaraku, bahwa orang yang selalu
membaca al-Quran sedangkan hatinya amat terpikat kepada harta kekayaan dunia,
maka saya belum yakin bahawasanya ia tiada tergolong orang-orang yang suka
mengejek-ejek keterangan-keterangan Allah Ta’ala.
Allah s.w.t telah mensifatkan
orang-orang yang suka berbohong itu dengan sikap orang yang membencikan
orang-orang yang menyampaikan nasihat, firmanNya:
“Akan tetapi kamu tiada menyukai
orang-orang yang memberikan nasihat.” (al-A’raf: 78)
Ini sekiranya keaiban itu dilakukan
secara tidak sengaja atau secara lalai. Akan tetapi sekiranya keaiban itu
dilakukan dengan sengaja, maka hendaklah mengambil sikap lemah-lembut dalam
menyampaikan nasihat atau teguran. Sekali denagn sindiran dan sekali lagi
dengan terang-terangan, dengan syarat tidak sampai menimbulkan kebosanannya.
Jika anda dapati bahwa nasihat itu tida memberi apa-apa kesan pada dirinya,
malah semakin dinasihati semakin menjadi-jadi kelakuan tak baik itu
ditunjukkannya, maka berdiam diri itu adalah lebih utama. Itu semua jika
berkaitan dengan maslahat-maslahat kawanmu dalam hal-ehwal agama dan dunianya.
Adapun jika berkaitan dengan
kepentingan diri kamu, di mana ia telah dicuaikan oleh kawan, maka hendaklah
kamu menanggungnya dengan sabar dan cuba memaafkan dan melupakan saja, ataupun
pura-pura tidak melihat. Melibatkan diri dalam menegur orang serupa itu tidak
ada gunanya. Ya, jika keterlaluan kelakuan buruknya itu mungkin akan
menyebabkan putus perhubungan antaranya dengan anda, maka memarahnya dengan
secara rahasia itu lebih baik daripada menegur secara terus teranga, ataupun
menulis surat kepadanya adalah lebih utama daripada mencelanya dengan lisan.
Walaupun begitu, yang lebih utama dari ini semua ialah menahan diri dari
bertindak, jika boleh.
(5)
HAK MEMAAFKAN KESALAHAN DAN KETELANJURAN
Keterlanjuran kawan di dalam agamanya boleh ditegur secara lemah-lembut dengan
jalan nasihat, sebagaimana yang telah kita sebutkan, sebelum ini. Jika kawan
itu terus tidak mengendahkan nasihat, maka menurut pendapat para salaf,
hendaklah memutuskan perhubungan dengannya. Setengah yang lain berpendapat
boleh diteruskan perhubungan dan rasa kasih sayang dengannya, tetapi harus
membenci segala kelakuannya yang buruk itu. Adapun ketelanjurannya terhadap
diri kamu meskipun membosankan, tiada diragukan lagi utamanya dimaafkan dan
menanggung dengan penuh daya-upaya segala kesalahannya itu. Malah harus dibalas
dengan cara yang baik, ataupun mengharapkan sesuatu keuzuran daripadanya, sama
ada dalam waktu yang dekat mahupun jauh.
Ada orang berkata: Sewajarnyalah anda mencari alasan bagi keterlanjuran
sahabatmu itu hingga 70 macam alasan (keuzuran). Andaikata jiwamu tiada dapat
menerima alasan itu, maka jangan disalahkan orang lain melainkan dirimu
sendiri. Katakanlah kepada dirimu ketika itu: Alangkah kerasnya hatimu itu.
Sahabatmu mengemukakan keuzurannnya hingga 70 kali, kamu masih tidak mahu
menerimanya Sebenarnya engkaulah yang tercela dan bukan sahabatmu!
Al-Ahnaf berkata: Hak seseorang sahabat atasmu ialah agar kamu menanggung tiga
macam perkara, iaitu:
(1)
Penganiayaan disebabkan kemarahannya
(2)
Penganiayaan disebabkan perubahan keadaannya
(3)
Penganiayaan disebabkan kesalahnnya
Walau bagaimanapun sekalipun, bila
seorang sahabat mengemukakan sebab-sebab keuzurannya, sama ada bohong apatah
lagi kalau betul, maka hendaklah anda menerima keuzuran itu, sebab orang Mu’min
yang sejati ketika dalam keadaaran marah, ia segera pula redha dengan alasan
yang dikemukakan kepadanya. Dan kalau mesti marah atau benci pun, maka janganlah
bersikap keterlaluan.
Allah telah berfirman:
“Moga-moga Allah akan menukarkan
keadaan kamu dengan orang-orang yang kamu bermusuh-musuhan itu dengan kasih
sayang.” (al-Mumtahinah: 7)
Berkata Umar Ibnul-Khattab r.a.:
Awas, jangan sampai kecintaan kamu itu seperti dipaksa-paksakan, atau kebencian
kamu pula seperti membinasakan. Maksudnya sehingga kamu merasa senang hati akan
kebinasaan sahabatmu itu.
(6)
HAK MENDOAKAN SAHABAT
Sewajarnyalah seorang sahabat mendoakan sahabatnya dengan doa yang baik-baik,
bagi diri sahabat itu dan ahli rumahtangga serta sekalian orang yang dalam
tanggunggannya, sebagaimana dia mendoakan bagi dirinya sendiri; sama ada
sahabat itu masih hidup dalam dunia ini, mahupun sudah mati.
Dalam sebuah hadis ada tertera:
“Bila seseorang mendoakan bagi diri sahabatnya sedang ia tidak ada bersamanya,
maka Malaikat akan berkata: Dan engkau juga akan menerima sepertinya juha.”
Dalam Hadis yang lain pula:
“Doa seseorang untuk saudaranya dalam masa ketiadaannya, tidak akan tertolak.”
Abu Darda’ berkata; Aku sentiasa mendoakan untuk 70 orang dari sahabatku ketika
akau dalam keadaan sujud terhadap Allah, aku sebutkan nama mereka satu-satu.
Berkata Muhammad bin Yusof al-Ishfahani: Siapakah yang kiranya dapat disamakan
dengan seorang sahabat yang saleh? Keluargamu membahagi-bahagikan harta
peninggalanmu dan mereka mengkecap kenikamatan dari harta benda yang kamu
wariskan untuk mereka. Padahal sahabat yang saleh itu duduk seorang diri
berdukacita kerana kepergianmu, amat merasa bimbang dengan keadaan yang kamu
sedang menghadapinya dan apa yang akan terjadi terhadap kamu, dia mengangkatkan
tangan mendoakan kamu di tengah malam, manaka engkau sedang berada di dalam
lapisan bumi.
Berkata setengah para salaf: Mendoakan orang-orang yang sudah mati itu, samalah
seperti mengirimkan hadiah-hadiah kepada orang-orang hidup.
(7)
HAK KEUNGGULAN JANJI DAN IKHLAS.
Arti keunggulan di sini, ialah berdiri teguh atas cinta yang berterusan, hingga
menemui maut, kemudian yang hidup akan meneruskan kecintaan itu terhadap anak
buah si mati dan para sahabatnya. Sebab maksud cinta itu, ialah supaya
berpanjangan hingga ke Hari Akhirat. Jika cintanya terputus sebelum mati,
niscaya akan sesialah amalan dan hilanglah segala usaha.
Diceritakan dari Rasulullah s.a.w., bahwa baginda pernah memuliakan seorang
perempuan tua, lalu para sahabat bertanya sebabnya. Jawab baginda: Perempuan
tua ini selalu datang ke rumah kami di waktu haya Siti Khadijah, dan
sesungguhnya kemuliaan janji itu dari agama.
Termasuk arti keunggulan kepada kawan ialah memelihara sekalian rakan-rakan dan
sanak-keluarganya yang menggantungkan kehidupan mereka kepadanya. Mengambil
berat tentang hal-ehwal mereka ini lebih berkesan dalm hati kawan it daripada
mengambil berat tentang dirinya sendiri. Ia akan berlonjak gembira kerana ada
orang yang mengambil tahu tentang kesusahan para tanggungannya yang mana itu
menunjukkan pula tanda kukuhnya kasih sayang dan cinta seorang kawan kepada
kawannya.
Apabila seseorang itu berkasih sayang pada jalan Allah jangan biarkan kasih
sayang itu bercampur aduk dengan dengki dan hasad baik dalam perkara agama
ataupun dunia. Bagaimana hatinya sampai tergamak mendengkinya, padahal segala
yanga ada dalam tangannya itu, adalah untuk kawannya dan segaa manfaat dan
maslahat akan kembali kepada kawannya,
Dengan contoh serupa inilah Allah s.w.t telah mensifatkan orang-orang yang
bercinta pada jalan Allah dengan fimanNya:
“Mereka tiada menyimpan keinginan dalam hati, terhadap apa yang diberikan
kepada mereka, dan mereka mengutamakan orang lain dari diri
sendiri.” (al-Hasyr: 9)
Jika ada keinginan di dalam hati,
tentulah ada iri hati dan perasaan dengki.
Termasuk dalam arti keunggulan lagi ialah: Jangan pai keadaannya berubah dalam
perhubungan dengan sahabatnya andaikata ia mendapat pangkat, atau luas pengaruhnya,
ataupun tinggi kedudukannya. Meninggikan diri ke atas rakan-rakan kerana
sebab-sebab tersebut tadi adalah sifat yang tercela. Lihat apa kata penyair
dalam maksud ini:
Manusia budiman bila dalam kemewahan
sentiasa teringat kawan yang bersamanya dalam rumah yang buruk.
Selanjutnya hendaklah anda ketahui, bahawasanya pengertian keunggulan itu
bukanlah bila anda menyetujui rakan anda menjejaki jalan batil dalam
perkara-perkara yang berkaitan dengan agama yang suci, malah hendaklah anda
menentangnya serta menasihatinya kerana Allah.
Sebagai tanda kebenaran dan keikhlasan dalam persahabatan serta keunggulan
dalam diri, hendaklah anda merasa berat bila hendak berpisah dengan kawan,
tidak dapat ditanggung oleh diri biar apa pun sebabnya. Kata seorang penyair:
Semua bencana zaman dapat kutanggung
Hanya berpisah dengan kekasih saja berat padahnya.
Ibnu Uyainah menyajak, katanya: Pernahku bergaul dengan sepuak kaum yang kini
telah keberpisah dengan mereka selama 30 tahun. Tetapi hasrat perpisahan itu
masih belum hilang lagi dari hatiku.
Antara tanda keunggulan lagi, agar ia tiada mengendah perceksokan orang kan
segala percekcokan orang lain terhadap kawannya, ataupun berkawan dengan musuh
kawannya.
Berkata Imam Syafi’I rahimahullah: Apabila kawanmu sudah mentaati kehendak
musuhmu maka kedua-duanya telah bersyarikat dalam permusuhanmu.*
*
Aku berkata: Alangkah indahnya apa yang diucapkan oleh Ibnul Muqaffa’ dalam
kitab ad-Durratul Yatimah bab ‘kawan’ mengenai kedudukan ini, katanya: Jika kau
lihat kawanmu bersama musuhmu, janganlah kau merasa merah terhadapnya, kerana
ia ketika itu adalah salah satu dari dua orang:
Pertama: Andaikata ia seorang yang boleh dipercayai, niscaya ia
merupakan sebaik-baik kawan yang boleh memberi faedah kepadamu disebabkan
terdekatnya kepada musuhmu. Jika ada bahaya yang dirancangkan oleh musuhmu
dapat ia menghalangnya, jika ada keburukan dapat ia menutupnya; jika ada
rahasia dapat ia memberitahumu. Adapun kawan itu apalah yang boleh
menguntungkan kamu, bila ia berkawan dengan hanya orang-orang kepercayaanmu
saja?
Kedua: Andaikata ia seorang kawan yang tidak rapat denganmu, maka
dengan apa jalan engkau hendak menahannya dari berkawan dengan orang ramai,
atau engkau hendak memerintahnya supaya jangan berkawan atau menghampiri,
melainkan orang yang engkau tunjuk saja.
Kata-kata ini adalah sangat baik
untuk dijadikan tauladan yang boleh menarik musuh kepada menginsafkan dirinya.
(8)
HAK MERINGANKAN DAN TIDAK MEMBERATKAN
Hendaklah seseorang kawan itu tiada memberati kawannya dengan sesuatu perkara
yang akan menjengkelkannya, bahkan hendaklah ia meringankan tanggungannya
dengan memikul setengah dari kebutuhannya dan keperluannya, Jangan sekali-kali
ia membebankan kawan itu untuk menunaikan sebahagian dari
kewajiban-kewajibannya sendiri. Malah jangan pula ia mengharap sesuatu dari
kasih sayangnya terhadap kawan itu, melainkan semata-mata kerana Allah Ta’ala
saja, ataupun menganggapnya sebagai semacam sumbangan terhadap agamanya, dan
berlapang hati untuk menemui Allah serta mendekatkan diri kepadaNya. Atas
tujuan-tujuan serupa itulah ia menunaikan hak-hak kawan dan memberikan
bantuan-bantuan kepadanya.
Setengah para Salihin berkata: Sesiapa yang membebani saudaranya dengan sesuatu
perkara yan tak dapat ditanggungnya, maka telah menganiayai saudara itu.
Sesiapa membebani saudaranya pula dengan sesuatu yang pernah ia bebani sebelum
itu, maka ia telah menyusahkannya. Dan sesiapa yang tidak pernah membebani
saudaranya apa-apa pun, maka itulah orang yang paling utama dan paling unggul
kepada sekalian saudaranya.
Kesimpulannya, janganlah sampai ia menyusahkan kawannya sama sekali sehingga ia
merasa tiada malu dengan kawan , sebagai mana ia tiada malu dengan diri
sendiri.
Berkata Ali r.a.: Sejelek-jelek kawan, ialah kawan yang sentiasa memberati kamu
dengan perkara-perkara yang tak tertanggung, menyebabkan kamu bersikap
serba-salah dan menyeret kamu kepada memuat berbagai alasan.
Al-Fudhail berkata: Yang menyebabkan orang ramai putus perhubungan antara satu
dengan yang lain ialh taklif; iaitu memberatkan diri orang lain dengan
bermacam-macam permintaan. Seseorang kawan menziarahi kawannya, lalu ia
memberatkan kawan itu dengan berbagai-bagai tanggungan, akhirnya kawan itu pun
memutuskan perhubungan dengannya.
Pernah Ja’far bin Muhammad as-Sadiq radhiallahu anhuma berkata: Seberat-berat
kawan padaku, ialah kawan yang suka menyusahkan dirinya keranaku, sedangkan aku
terpaksa berkira-kira terhadapnya. Dan seringan-ringan kawan pula, ialah kawan
yang suka menyusahkan dirinya keranaku, sedangkan aku terpaksa berkira-kira
terhadapnya. Dan seringan-ringan kawan pula, ialah kawan yang bila aku
bersamanya sama seperti aku duduk seorang diri.
Di antara cara-cara lain untuk meringankan diri dan tiada menyusahkan ialah
hendaknya ia tiada membantah kawannya dalam melakukan ibadat-ibadat yang
sunnat. Ada sekumpulan para salaf dalam persahabatan mereka; bila ada seorang
di antara mereka yang makan terus sepanjang hari, tidak pula ditegurnya,
mengapa ia makan terus, mengapa tidak berpuasa. Jika ada yang puasa sepanjang
abad pula, tidak juga disuruhnya, supaya berbuka puasa atau makan. Jika ada
yang tidur sepanjang malam, tidak ada yang membantah atau menyuruh bangun,
begitu juga jika ada yang bersembahyang sepanjang malam, tidak ada yang
membangkang atau menyuruhnya supaya tidur. Keadaan mereka sekalian sama belaka,
di mana-mana mereka berada , tidak lebih dan tidak kurang.
Ada pepatah yang berkata: Bila tidak ada banyak formality atau pantang-larang
dalam persahabatan, persahabatan akan kekal. Dan bila bantuan itu senang
diperolehi dari seorang kawan, tentulah kasih saying antaranya akan
berpanjangan.
Setengah orang berkata: Jika seseorang bebas melakukan empayt perkara berikut
dalam rumah saudaranya, maka telah sempurnalah kemesraan antara mereka, iaitu:
(1)
Biasa makan bersama-samanya di rumah
(2)
Biasa membuang air kecil atau besar di situ.
(3)
Biasa sembahyang
(4)
Biasa tidur
Apabila keempat-empat perkara ini
disebutkan kepada setengah para guru agama, mereka berkata ada satu lagi yang
kurang aitu: Jika ia dating membawa isterinya sekali ke rumah saudaranya,
kerana rumah itu adalah tempat yang sesuai untuk dilakasanakan kelima-lima
perkara yang tersebut tadi. Kalau tidak kerana itu, tentulah masjid lebih utama
untuk melakukan sembahyang bagi orang-orang yang suka beribadat.
Apabila seorang sahabat sudah
melakukan kelima-lima perkara tersebut di atas tadi terhadap sahabatnya, maka
telah sempurnalah ikatan persaudaraan di antara keduanya, dan terangkatlah
kekekokan serta terhasillah kelapangan hati dan kebebasan pergerakan.
Orang-orang Arab bila menyambut
tamunya, menunjukkan sikap yang demikian ketika ia berkata kepada tamunya:
Marhaban wa Ahlan wa Sahlan. Marhaban artinya: Kami manyambutmu dengan penuh
lapang hati dan lapang tempat. Ahlan artinya: Anda akan mendapati semua ahli
rumah ini melayan kehendakmu dan menghiburkan hatimu. Sehingga anda tidak risau
atau canggung. Sahlan artinya: Anda akan mendapati serba-serbinya mudah, tidak
ada sesuatu yang anda kehendaki, melainkan dikabulkan dan diusahakan.
Menakala meringankan diri anda tiada
menyusah-nyusahkan tidak akan sempurna, selagi seseorang itu tiada menganggap
dirinya kurang dan lebih rendah dari kawannya. Kemudian hendaklah ia meletakkan
sangkaan yang baik terhadapa kawan, sedangkan pada diri sendiri ia meletakkan
sangakaan yang buruk selalu. Dan ketahuilah tiada faedahnya berkawan dengan
seseorang yang tiada menghargai diri anda, sebagaimana anda menghargai dirinya.
Itulah serendah-rendah tingkatan persahabatan, yakni masing-masing memandang
diri kawan yang lain sama sedarjat belaka, dan yang lebih sempurna lagi kalau
ia memandang kawannya: serba-serbi lebih dari dirinya sendiri. Apabila ia
menganggap dirinya lebih utama dari kawannya, maka sebenarnya ia telah menghina
kawan itu, dan perkara semacam ini pada kaum Muslimin umumnya adalah dilarang
dan dicela.
Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
“Memadailah seseorang itu dikatakan
jahat bila ia memandang rendah terhadap saudara lainnya yang Muslim.
Termasuk dalam kesempurnaan
melapangkan diri dan meninggalakan menyusah-nyusahkan diri, ialah bila seorang
kawan itu mengajakk bermesyuarat dengan kawan yang lain dalam perkara-perkara
yang hendak dilakukan, kemudian ia menerima pula nasihat kawan itu.
Allah telah berfirman:
“Dan mesyuaratkanlah dengan mereka
dalam segala urusan kamu” (ali-Imran: 159)
Ini merupakan puncak segala hak-hak
persahabatan.
Dan segala yang tersebut di atas
itu, tiada akan cukup sehingga anda menurunkan diri anda ke tingkatan khadam,
yang bersedia untuk melaksanakan semua hak-hak persahabatan itu dengan segala
anggota anda.
DARI SEGI PENGLIHATAN
Sewajarnya anda melihat kepada kawan-kawan anda dengan penglihatan yang penuh
kasih saying, sehingga mereka merasakan keadaan itu dari anda dengan
sebenar-benarnya. Kemudian hendaklah selalu memerhatikan segala kebaikan yang
mereka lakukan, dan melupakan segala keaiban atau keburukannya. Jangan
memalingkan wajah, ketika mereka mendapatkan anda, atau ketika mereka bercakap
dengan anda.
Diriwayatkan bahawasanya Rasulullah s.a.w sering membahagi-bahagikan
pandangannya kepada setiap orang yang duduk dalam majlisnya sehingga setiap
orang yang duduk di situ menyangka, bahwa dialah orang yang diberikan
penghormatan oleh baginda dalam majlis itu. Begitu juga baginda alaihissalam,
apabila bertemu muka dengan para sahabatnya Baginda sering merasa terharu
dengan cerita-cerita yang disampaikan oleh mereka kepadanya.
DARI SEGI PENDENGARAN
Apabila kawan-kawan anda mengucapkan sesuatu kepada anda, maka hendaklah anda
mendengar ucapannya dengan penuh minat, merasa asyik dengan ucapan itu seraya
mempercayai segala-galanya dan menunjukkan kesenangan hati terhadap ucapan itu.
Jangan sekali-kali memotong percakapan mereka dengan cadangan atau tentangan,
dengan tambahan atau sanggahan. Jika anda merasa penat kerana ada sesuatu
urusan lain, maka berikanlah keuzuran atau alasan kepada mereka.
DARI SEGI LIDAH
Mengenai perihal lisan atau lidah, telah tersebut sebelum ini hak-haknya.
Antaranya tidak menganggkat suara dan tidak bercakap-cakap kepada mereka,
melainkan menurut kadar fahaman mereka, supaya mereka ketahui dan faham.
DARI SEGI KEDUA TANGAN
Mengenai kedua tangan, jagan menggenggam kedua tanganmu untuk menghulurkan
bantuan kepada mereka, selagi kedua tangan dapat melakukan.
DARI SEGI KEDUA KAKI
Mengenai kedua kaki pula, jangan melangkah ke hadapan kecuali sekadar tempat
yang mereka berdiri, jangan melangkah dekat dengan mereka, melainkan sekadar
yang perlu saja. Kedua kaki itu akan berdiri untuk menyambut mereka sampai, dan
jangan pula duduk melainkan sesudah mereka sekalian duduk. Dan hendaklah
duduknya dengan penuh merendah diri dan tidak duduk, melainkan di tempat mereka
duduk.
Tata-cara pergaulan dengan sempurna
lapisan makhluk.
Sekumpulan para pendita membuat
kesimpulan dengan berkata: Jika kamu inginkan pergaulan yang baik, maka
hendaklah kamu memelihara tata tertib berikut:
Pertama: Berikan keredhaan kamu kepada kawan dan musuh sama belaka. Tunjukkan
kepada mereka sikap yang baik tanpa menyombong diri, dan rendahkanlah dirimu
tanpa menghinakannya Jadikanlah sikap kamu sederhana pada semua perkara, sebab
terlalu meninggi sangat ataupun merendah sangat, kedua-duanya adalah sifat yang
tercela.
Kedua: Jangan menoleh ke kanan atau ke kiri, ataupun terlalu banyak sangat
menoleh. Jangan berdiri di antara orang ramai. Bila duduk jangan menggelenyar
(duduk tidak tetap). Jangan selang-selikan jari-jari antara satu sama dengan
yang lain. Jangan terlalu banyak mengurut janggut atau memainkan cincin
di jari.
Ketiga: Jangan mengorek gigi atau hidung, banyak berludah atau berhingus atau
selalu menggeliat dan menguap dihadapan muka orang ramai dan di waktu sedang
bersembahyang atau sebagainya.
Keempat: Bila duduk biarlah duduk kamu itu tenang saja, dan perbualan kamu itu
teratur.
Kelima: Dengarkanlah perbualan-perbualan atau percakapan-percakapan yang baik
dari orang yang bercakap kepadamu, tanpa menunjukkan ketakjuban yang
berlebih-lebihan, atau menyuruh orang itu mengulangi percakapannya. Kalau
percakapannya itu mentertawakan, maka tahanlah tertawamu sedapat mungkin.
Keenam: Jangan suka memuji-muji anak buah sendiri, atau syair-syair yang kamu
ciptakan sendiri atau karya-karya yang kamu hasilkan sendiri, ataupun segala
sesuatu yang mengenai diri kamu sendiri.
Ketujuh: Jangan meniru cara-cara kamu kaum wanita memperhiaskan drinya dan
jangan bersikap rendah, seperti yang biasa dilakukan oleh para hamba sahaya.
Kedelapan: Jangan menggesa orang untuk mendapatkan sesuatu keperluan, dan
jangan mendorong orang supaya melakukan kezaliman atau penganiayaan terhadap
sesama manusia.
Kesembilan: Jangan memberitahu isteri anak-anak, apatah lagi orang lain,
tentang jumlah wang yang simpananmu. Sebab kalau mereka tahu simpanan itu
sedikit, tentulah mereka akan menunjukkan sikap kurang senang. Tetapi kalau
mereka tahu simpanan itu banyak, mereka sentiasa tidak puas dan tidak cukup
dengan pemberianmu. Jika kamu pandang perlu untuk menakut-nakutkan mereka,
lakukanlah tanpa kekerasan atau ancaman, dan jika kamu kira perlu mengangkat
suara kerana sesuatu musibah atau bencana, jangan tujukkan mereka sikap yang
lemah.
Kesepuluh: Jika kamu berselisih faham, maka hendaklah kamu segere bertenang,
hindarkanlah sikap berkeras hati dan jangan terlalu terburu nafsu. Malah
hendaklah kamu fikirkan hujah atau dalil yang boleh diterima oleh akal. Jangan
terlalu banyak menggunakan isyarat dengan tangan, atau menoleh-noleh ke
belakang. Apabila kemarahan kamu telah reda barulah bercakap.
Kesebelas: Sekali-kali jangan sampai kamu menganggap harta kekayaan kamu itu
lebih mulia daripada harga diri kamu.
Kedua belas: Bila kamu memasuki sesuatu majlis, maka peliharalah adab majlis
itu. Mula-mula dengan memberi salam kepada orang ramai. Jangan
melangkah-langkah tempat duduk saja di mana terdapat tempat kosong, kerana yang
demikian itu menunjukkan tawadhu’nya seseorang. Setelah duduk, hendaklah kamu
berjabat tangan dengan orang-orang yang di sampingmu. Jauhilah duduk ditempat
perjalanan orang.
Sesudah duduk maka peliharalah
adab-adab berikut iaitu:
(1)
Memalingkan pandangan dari apa-apa yang tidak senonoh.
(2)
Menolong orang yang teraniaya
(3)
Membantu orang yang sedang dalam kesusahan.
(4)
Menolong orang yang lemah
(5)
Memandu orang yang sesat
(6)
Membalas salam orang lain.
(7)
Memberi orang yang meminta
(8)
Menyuruh berbuat baik dan melarang melakukan kejahatan.
(9)
Memilih tempat yang sesuai bila mahu berludah dan jangan sekali-kali berludah
ke arah qiblat tempat orang bersembahyang.
Ketiga belas: Awaslah jangan kamu
bersenda-gurau dengan orang cendekiawan, ataupun orang kurang akalnya. Si
cendekiawan akan merasa kurang senang dengan perilakumu, yang kurang akalnya
akan menentang perbuatanmu. Apabila terlena di dalam sesuatu majlis disebabkan
senda gurau atau kelalaian, maka hendaklah ia berzikir kepada Allah tatkala
beredar dari majlis tersebut:
Bersabda
Rasulullah s.a.w.:
“Apabila seseorang kamu berada di dalam sesuatu majlis, lalu banyak omong
kosongnya. Kemudian sebelum ia beredar dari majlis itu dia membaca zikir: Maha Suci
Engkau, wahai Tuhanku, dan segala kepujian bagimu, aku bersaksi bahawasanya
tiada Tuhan melainkan Engkau, aku memohon keampunan dan aku bertaubat kepadaMu,
maka Allah akan mengampunkan segala omong kosongnya di dalam majlis itu.”
Hak seorang Muslim, keluarganya dan
tetangganya.
Ketahuilah, bahwa manusia perlu bercampur-gaul dengan manusia yang sebangsa
dengannya, maka oleh itu, tidak boleh tidak ia mesti mempelajari tata-tertib
pergaulan dengan mereka.
Setiap manusia yang bergaul dengan satu-satu golongan manusia, tentulah ada
cara-caranya yang tertentu, dan cara-cara itu menurut kadar hak masing-masing,
dan hak masing-masing menurut perhubungannya. Perhubungan itu berlain-lainan
pula, sama ada dikeranakan kekeluargaan; iaitu perhubungan yang khusus, ataupun
perhubungan dikeranakan persaudaraan Islam; iaitu perhubungan yang umum.
Termasuk ke dalam maksud persaudaraan ini, ialah perhubungan antara kawan dan
kawan atau perhubungan persahabatan.
Perhubungan juga dikeranakan rakan tetangga, ataupun dikeranakan rakan
pelayaran, rakan sepejabat, rakan sepersekolahan, ataupun dikeranakan
persahabatan atau persaudaraan semata-mata dan bagi setiap satu dari
perhubungan-perhubungan ini mempunyai darjat masing-masing.
Perhubungan kerana kekeluargaan dan haknya. Akan tetapi hak kerabat atau mahram
adalah lebih utama lagi. Sebagaimana bagi mahram itu ada haknya, akan tetapi
hak kedua ibu-bapa lebih penting lagi kemudian hak tetangga pula. Akan tetapi
keutamaan tetangga itu berbeda pula di antara yang dekat dengan rumah dan yang
jauh. Sebagai misalan untuk menampakkan perbedaannya; iaitu orang yang senegeri
bila sama-sama berada di negeri orang lain, akan nampaklah ia sebagai salah
seorang keluarga sendiri di negeri itu kerana sememangnya ia mempunyai hak
ketetanggaan senegeri. Begitulah hendaknya, hak seorang Muslim kepada Muslim
yang lain, harus dikukuhkan dengan terkukuhnya pengenalan dan pergaulan.
Hak seorang Muslim
Pertama: Mula-mula hendaklah engkau
memberi salam kepadanya, setiap kali bertemu dengannya. Bila ia mengundangmu,
hendaklah engkau mengabulkannya Bila ia bersin, engkau mendoakanna dengan
yarhamukallah (moga-moga Tuhan merahmatimu). Bila sakit, engkau menziarahinya.
Bila mati engkau hadiri jenazahnya. Bila bersumpah, engkau tunaikan (penuhi)
sumpahnya. Bila meminta masihat engkau menasihatinya. Bila ia tidak ada, engkau
memelihara nama baiknya.
Kedua: Hendaklah egkau mencintainya, sebagaimana engkau mencintai dirimu
sendiri, ataupun engkau membencinya sebagaimana engkau membenci dirimu sendiri
juga.
Bersabda Rasulullah s.a.w.:
“Perumpamaan orang-orang Mu’min dalam saling kasih-mengasihi dan
saying-menyayangi, laksana sebatang tubuh, bila salah satu anggotanya mengaduh
sakit, seluruh anggota yang lain sama-sama merasa demamnya dan berjaga malam.”
Sabdanya lagi:
“Seorang Mu’min kepada Mu’min yang lain, bagaikan suatu bangunan yang satu
mengukuhkan yang lain.”
Ketiga: Jangan sekali-kali menyakiti sesama Muslimin dengan perbuatan atau
percakapan. Sabda Rasulullah s.a.w:
“Seorang Muslim ialah orang yang terselamat kaum Muslimin yang lain dari
bencana lidahnya dan tangannya. Dan seorang Mu’min pula ialah orang yang
teraman daripadanya kaum Mu’minin lainnya ke atas diri dan harta benda mereka.
Dan orang Muhajir (yang berpindah negeri), ialah orang yang meninggalkan
kejahatan dan menjauhi daripadanya.”
Sabdanya lagi:
“Tiada halal bagi seorang Muslim menakut-nakutkan Muslim yang lain.”
Keempat: Hendaklah engkau merendahkan diri terhadapnya Muslim yang lain, dan
jangan berlaku sombong terhadapnya. Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Sesungguhnya Allah Ta’ala mewahyukan, agar kamu merendah diri sehingga
seseorang kamu tiada membesarkan diri ke atas yang lainnya.”
Kelima: Janganlah engkau mendengar berita-berita buruk yang disampaikan orang
yang berlaku antara satu dengan yang lain, atau pun menyampaikan berita-berita
yang didengarnya itu dari seorang kepada yang lain. Ada sebuah Hadis yang
berbunyi:
“Tidak akan masuk syurga orang yang suka menyampaikan berita-berita buruk
kepada yang lain.”
“Keenam: Jangan sampai tiada bertegur sapa terhadap seorang Muslim yang
dikenalnya lebih dari tiga hari berturut-turut, betapa pun dia marah kepada
Muslim itu. Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Tiadalah halal bagi seorang Muslim meninggalkan (tidak bertegur sapa)
saudaranya Muslim yang lain lebih dari tiga hari, mereke keduanya berjumpa lalu
yang satu memalingkan muka dari yang lain, dan adalah sebaik-baik orang di
antara keduanya ialah orang yang memulakan salam terlebih dulu.”
Berkata Saiyidatina Aisyah r.a.: Rasulullah s.a.w tidak pernah merasa jengkel
sama sekali, melainkan apabila dilanggar larangan-larangan Allah lalu Allah
akan turut sama merasa jengkel terhadap pelanggannya.
Dalam sebuah Hadis yang lain pula: Tiada seseorang yang menerima keampunan dari
Allah Ta’ala, melainkan ia bertambah mulia di sisiNya.
Ketujuh: Hendaklah engakau berbuat baik kepada semua orang sekadar keampunanmu,
tidak kira sama ada ia dari ahlinya (patut menerima kebaikan itu) ataupun
bukan ahlinya (tak patut menerimanya).
Dalam sebuat atsar disebutkan: Berbuat baiklah kepada ahlinya (ahli kebaikan)
dan bukan ahlinya. Kiranya kebetulan engakau temui ahlinya, maka sudah tepatlah
engkau letakkan kebaikan itu kepadanya. Tetapi kiranya engkau terkhilaf, tidak
meletakkan kebaikan kepada ahlinya, maka cukuplah engkau telah menjadi dari
ahlinya.
Dalam sebuah atsar yang lain pula: Tanda kewarasan pemikiran sesudah
menjalankan perkara-perkara agama, ialah mencintai semua manusia dan berbuat
baik kepda sekalian yang baik dan yang jahat.
Rasulullah s.a.w. ketika ada orang yang berbicara kepadanya baginda sentiasa
menghadapkan wajahnya kepada orang yang berbicara itu, tidak pernah baginda
memalingkan wajah, sehingga orang tu selesai dari pembicaraanya.
Kedelapan: Hendaklah engkau tidak memasuki rumah seseorang, melainkan sesudah
engkau izinkan masuk. Engkau boleh meminta izin sampai tiga kali saja, jika ia
masih belum memberi izin, maka hendaklah engkau pulang.
Kesembilan: Hendaklah engkau mempergauli semua manusia dengan budi pekerti yang
luhur, dan melayan mereka menurut cara yang mereka suka.
Kesepuluh: Hendaklah engkau menghormati orang tua-tua, dan mengasihani
anak-anak yang kecil. Dalam sebuah Hadis:
“Bukanlah dari golongan kami, siapa yang tiada menghormati orang tua kami
dan tiada pula mengasihani anak kecil kami.”
Baginda Rasulullah s.a.w. gemar sekali berlemah-lembut dengan anak-anak kecil.
Biasanya bila kembali dari setiap pelayaran, baginda terlebih dulu mendapatkan
anak-anak kecil, dan memanggil mereka untuk dating. Kerap anak-anak kecil itu
secara kemanjaan meminta baginda mendukung mereka. Maka baginda pun mendukung
mereka itu, setu demi satu di antara kedua belah tangannya, dan ada pula yang
lain bergantung dari belakang baginda. Seringkalii juga baginda menyruh para
sahabatn melakukan sama seperti yang dilakukannya.
Ada kalanya pula anak-anak kecil itu di bawa ke hadrat Rasulullah s.a.w. untuk
didoakan, atau diberikan nama. Maka baginda pun menyambut anak-anak itu, seraya
dipangkunya ke atas haribaannya Seringkali pula anak-anak itu terkencing
di atas pangkuannya, maka oleh Rasulullah s.a.w. dibasuhnya tempat kencing itu
tanpa merasa marah.
Kesebelas: Hendaklah engkau selalu bergembira, dan menunjukkan muka manis
kepada orang ramai seraya berhati lunak. Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Tahukah kamu kepada siapa api neraka itu diharamkan? Para sahabat menjawab:
Allah dan RasulNya sajalah yang mengetahui. Baginda menerangkan lagi: Kepada
Orang yang lemah lembut, mudah dalam segala hal, senang berurus dengannya dan
sentiasa dekat dengan sesiapa pun.”
Sabdanya lagi:
“Takutilah api neraka itu walaupun dengan bersedekah setengah biji kurma.
Kalau tak ada yang hendak disedekahkan, maka dengan ucapan yang baik.”
“Kedua belas: Janganlah engkau berjanji dengan seseorang Muslim, melainkan
engkau menepati janji itu, tiada memungkirinya. Sabda Rasulullah s.a.w.: Janji
itu adalah suatu pemberian. Dan sabdanya yang lain: Janji itu adalah hutang.
Dan sabdanya yang lain lagi:
“Tiga sifat bila salah satu daripadanya ada pada diri seseorang maka ia
adalah seorang munafik, meskipun ia berpuasa dan bersembahyang. Bila berbicara
ia bohong, bila ia berjanji ia mungkir dan bila diamanatkan sesuatu, ia
khianat.”
Ketiga belas: Hendaklah engkau berlaku adil terhadap orang ramai, tiada
dibuatnya sesuatu terhadap orang lain, jika ia tidak suka perkara yang sama
diperlakukan kepada dirinya sendiri. Bersabda Rasulullah s.a.w. kepada Abu
Darda’, katanya: Wahai Abu Darda’! Lakukan yang baik kepada tetangga yang
berjiran denganmu, niscaya engkau menjadi seorang Muslim yang sebenarnya. Dan
cintailah bagi semua orang apa yang engkau citai bagi dirimu sendiri, dengan
itu maka engkau menjadi seorang Muslim yang sejati.
Keempat belas: Hendaklah engkau melebihkan penghormatanmu terhadap orang, yang
menerusi gaya dan pakaiannya menunjukkan bahwa ia seorang yang tinggi
kedudukannya dalam masyarakat. Sebab setiap orang harus diberikan penghormatan
menurut darjat kedudukannya.
Kelima belas: Hendaklah engkau berusaha untuk mendamaikan perselisihan faham
antara kaum Muslimin, di mana ada peluang untuk mendamaikan antara mereka.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Sedekah yang paling utama, mendamaikan dua orang yang berselisih.”
Dalam sebuah hadis yang lain:
“Bukan pendusta namanya, jika seseorang cuba mendamaikan antara dua orang
yang bertelagah, lalu menyampaikan segala kata-kata yang muluk-muluk (yakni
kata-kata itu sebenarnya bohong).”
Hadis tersebut menunjukkan bahwa tugas mendamaikan antara manusia itu wajib,
kerana meninggalkan cakap bohong juga wajib. Sesuatu hokum yang wajib tidak
akan terluput, melainkan dengan hokum wajib yang lebih utama atau penting dari
yang mulanya.
Bersabda Rasulullah s.a.w.:
“Semua ucapan yang dusta itu ditulis (sebagai dosa), kecuali seseorang yang
berbohong untuk kepentigan berperang, sebab peperangan itu adalah tipu daya,
ataupun berbohong untuk mendamaikan dua orang yang bertelagah ataupun berbohong
kepada isteri untuk mendapatkan keredhaannya.”
Keenam belas: Hendaklah engkau menutup segala celaan kaum Muslimin. Berkata
Rasulullah s.a.w.:
“Barangsiapa menutup celaan seorang Muslim, niscaya Allah akan menutup
celaannya di dunia dan akhirat.”
Sabdanya lagi:
“Tiadalah seorang Mu’min, bila melihat dari saudaranya suatu celaan, lalu
ditutupinya, melainkan ia akan masuk syurga.”
Lagi sabdanya:
“Wahai kelompok orang yang menyatakan iman dengan lidahnya, sedangkan iman itu
masih belum meresap dalam hatinya. Janganlah kamu mencaci orang ramai, dan
jangan pula mengintip keburukan-keburukan mereka. Sebab barangsiapa mengintip
keburukan-keburukan mereka. Sebab barangsiapa mengintip keburukan saudaranya
sesama Muslim, niscaya Allah akan mengintip keburukannya dan barangsiapa
keburukannya diintip Allah, niscaya rahasianya akan didedahkan oleh Allah,
sekalipun ia berada di tengah-tengah rumahnya”
Diriwayatkan ada seorang khalifah pada zaman dahulu, pada suatu malam beliau
sedang berputar-putar keliling kota lalu, mendengar suara seorang lelaki sedang
bernyanyi di dalam sebuah rumah. Beliau pun memanjat rumah itu dan dilihatnya
di samping orang lelaki itu ada seorang wanita, dan bersama mereka ada minuman
arak. Khalifah berujar: Wahai musuh Allah! Apakah kau kira Allah akan menutupi
kelakuanmu yang keji ini, padalah kau sedang berfoya-foya dengan maksiat ini?
Lelaki itu segera menjawab: Dan engkau juga wahai Amirul Mu’minin, jangan
terburu nafsu. Kiranya aku telah bermaksiat kepada Allah, hanya satu maksiat
saja. Tetapi kau ini telah membuat tiga maksiat sekaligus dalam suatu masa.
Tuhan telah berfirman: Jangan kamu mengintip-mengintip, sedangkan perbuatanmu
ini adalah mengintip hal orang lain. Tuhan berfirman lagi: Bukanlah kebaikan
itu, dengan kamu mendatangi rumah-rumah dari pintu belakangnya, tetapi kini kau
telah memanjat rumahku. Tuhan berfirman: Jangan sekali-kali kamu memasuki rumah
selain rumah kamu sendiri (yakni tanpa izin), tetapi kini kau telah memasuki
rumahku tanpa memberi salam pula. Berkta khalifah: Adakah padamu sesuatu yang
baik (untuk mempertahankan dirimu), andaikata aku mengampunkan kamu. Berkata
lelaku itu: Saya, ada! Demi Allah jika engkau ampunkan perbuatanku ini, aku
berjanji tidak akan kembali kepada perbuatan yang sama lagi sepanjang umurku.
Maka khalifah pun mengampunkannya dan beredar dari situ.
Berkata Rasulullah s.a.w.:
“Sekalian ummatku mendapat keampunan, melainkan orang yang suka menghebohkan
rahasianya. Dan cara menghebohkannya ialah bila dia melakukan kejahatan secara
rahasia, lalu dia menceritakan kejahatan itu kepada orang lain.”
Misal mengheboh-hebohkan rahasia itu, ialah bila ia membuat sesuatu keburukan
secara bersembunyi-sembunyi, kemudian ia menceritakan rahasia itu kepada orang
ramai.
Bersabda Rasulullah s.a.w.:
“Sesiapa mencuri pendengaran berita sesuatu kaum, sedangkan mereka tidak
senang kepada perbuatan itu, kelak di Hari Kiamat telinga orang itu akan
dituang timah yang mendidih.”
Ketujuh belas: Hendaklah engkau menjauhkan diri dari tempat-tempat yang
menimbulkan berbagai-bagai tuhmah atau sangkaan buruk untuk menjaga hati orang
ramai dari mengeluarkan tuduhan-tuduhan yang tak baik, dan mengeluarkan
tuduhan-tuduhan yang tak baik, dan memelihara lidah-lidah mereka dari
mengumpat. Kiranya mereka telah bermaksiat kepada Allah tersebab oleh
kelakuannmu, maka bersyarikat engkau dengan dosa mereka itu.
Allah telah berfirman:
“Jangan sekali-kali kamu mengeji orang-orang yang menyeru Tuhan selain dari
Allah, sehingga mereka pula mengeji Allah secara berlampauan, tanpa
pengetahuan.” (al-An’am: 108)
Dalam sebuah Hadis berbunyi:
“Tahukah kamu bagaimana seseorang itu memaki-maki ibubapanya sendiri? Mereka
berkata: Adakah orang yang mahu memaki-maki ibu-bapa sendiri? Rasulullah
menjawab: Benar ada. Iaitu dia memaki-maki kedua ibu-bapa orang lain, lalu
orang itu pula membalas memaki-maki kedua ibu-bapanya.”
Berkata Umar Ibnul Khattab r.a.: Sesiapa yang meletakkan dirinya di
tempat-tempat yang akan menimbulkan sangka-sangka yang tak baik, maka janganlah
ia menyalahkan orang-orang ysng menyangka buruk terhadapnya.
Kedelapan belas: Hendaklah engkau menolong orang-orang Muslimin yang mempunyai
hajat dan keperluan dan menjamin mereka kepada orang yang berpangkat, agar
orang itu dapat menolongnya dan memenuhi hajat dan keperluannya sekadar
termampu. Rasulullah s.a.w. bersabda: Jaminkanlah (hajat seseorang), niscaya
kamua akan menerima pahala.
Kesembilan belas: Hendaklah engkau memulakan salam kepada sesiapa yang engkau
temui sebelum engkau mengajaknya bercakap-cakap. Sesudah itu hendaklah engkau
berjabat tangan pula. Allah berfirman:
“Apabila kamu diberi salam sesuatu salam, maka hendaklah kamu membalas salam
itu dengan salam yang lebih baik, ataupun balaslah dengan salam seumpamanya.”
(an-Nisa’ : 86)
Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Demi jiwaku yang berada di tanganNya, kamu sekalian tidak akan memasuki
syurga sehingga kamu beriman dan kamu sekalian tidak akan beriman selagi kamu
tidak berkasih sayang. Mahukah kamu aku tunjukkan sesuatu amalan, jika kamu
lakukannya niscaya kamu akan saling kasih-mengasihi? Para sahabat berkata:
Bahkan, wahai Rasulullah, tunjukkanlah! Berkata Rasulullah s.a.w.: Amalkanlah
memberi salam antara satu dengan yang lain di antara kamu!”
Dari Rasulullah s.a.w. lagi: Orang yang berkenderaan, hendaklah memberi salam
kepada yang berjalan kaki. Andaikata seorang dari orang ramai yang memberi
salam, cukuplah ia menggantikan yang lain.
Anas r.a. sendiri bila menemui anak-anak di jalanan, dia sering memberi salam
kepada mereka. Kata Anas: Saya pernah melihat Rasulullah s.a.w membuat macam
itu.
Diceritakan lagi bahawa suatu kali pernah Rasulullah s.a.w. melalui sebuah
masjid sedang di situ ada banyak orang yang sedang duduk-duduk, maka baginda
pun mengisyaratkan dengan tangannya memberi salam. Kemudian baginda berkata:
Jika seseorang kamu sampai ke suatu majlis, maka hendaklah ia memberi salam
kepada orang-orang yang ada di situ. Kemudian jika ia suka duduk, duduklah.
Sesudah itu bila ia bangun pula, maka hendaklah ia memberi salam lagi. Tidaklah
salam yang pertama tadi lebih berhak (utama) dari yang kedua pula.
Diberitakan juga bahwa kesempurnaan salam itu ialah dengan berjabat tangan.
Berkata al-Hasan: Berjabat tangan itu akan menambahkan kasih sayang antara
orang yang berjabat tangan itu. Diharuskan pula untuk mencium tangan orang yang
banyak ilmunya dalam urusan agama, untuk mendapatkan berkat daripadanya, atau
untuk memberikan penghormatan kepadanya. Rasulullah s.a.w. sendiri membenarkan
orang mencium tangannya dan kepalanya.
Menundukkan diri ketika berjabat salam adalah terlarang dalam agama. Tetapi
berpeluk dan mencium pernah dilakukan ketika kembali dari pelayaran. Begitu
juga tentang memegang tali kenderaan, kerana menunjukkan penghormatan kepada
seorang alim yang menunggangnya, pernah disebutkan dalam atsar. Ibnu Abbas
sendiri pernah melakukan yang demikian ketika menyambut Zaid bin Tsabit.
Bersabda Rasulullah s.a.w.:
“Janganlah seseorang kamu membangunkan seorang yang lain dari tempat duduknya,
kemudian dia duduk di tempat itu. Tetapi hendaklah kamu meluaskan tempat bagi
yang baru dating dan lapangkanlah.”
Sunnat bagi orang yang baru datang dalam sesuatu majlis, sesudah memberi salam,
lalu tiada mendapat tempat duduk di hadapan, hendaklah ia duduk saja di belakang
dan tidak pulang meninggalkan majlis tersebut.
Sekali peristiwa sedang Rasulullah s.a.w duduk dalam majlisnya di masjid,
tiba-tiba dating tiga orang. Dua antaranya menuju ke majlis Rasulullah s.a.w.,
maka salah seorangnya mendapat tempat kosong lalu ia pun duduk. Seorang lagi
terus duduk di belakang orang ramai. Manakala yang ketiga oleh kerana penuh
sesaknya majlis itu, ia pun pulang meninggalkan majlis itu.
Setelah selesai majlis itu, maka Rasulullah s.a.w. pun berkata: Bolehkah saya
memberitahu tentang ketiga-tiga orang yang dating tadi? Yang pertama telah
memperlindungkan dirinya kepada Allah, maka Allah pun melindunginya. Yang kedua
merasa malu kepada Allah, dana Allah pun turut malu kepadanya. Manakala yang
ketiga telah membelakangkan Allah, maka allah pun membelakangkan ZatNya
daripada orang itu.
Ummu Hani pernah memberi salam kepada Rasulullah s.a.w. lalu baginda bertanya:
Siapa itu? Orang memberitahu baginda: Ummu hani yang memberi salam itu. Maka baginda
menjawab Selamat datang wahai Ummu Hani.
Kedua puluh: Hendaklah engkau memelihara kehormatan kawanmu, dirinya dan harta
bendanya dari penganiayaan orang lain sekadar kemampuanmu, menahan segala
kesusahan, mempertahankannya dan menolongnya, sebab yang demikian itu wajib
atasmu menurut dasar persaudaraan Islam.
Dalam sebuah Hadis Rasulullah s.a.w.:
“Tidak ada seorang Muslim pun yang menolong seorang Muslim yang lain dalam
suatau keadaan di mana kehormatannya telah diceroboh, dan dirinya telah
diperlakukan secara sewenang-wenang, melainkan Allah akan menolong orang itu
dalam kesusahannya di tempat lain, di mana ia merasa perlu pertolongan itu dari
Allah. Dan tidak ada seorang pun yang mengkecewakan seorang Muslim yang lain
dalam suatu keadaan, di mana kehormatannya telah diceroboh, melainkan Allah
akan mengkecewakan orang itu pada suatu keadaan lain, di mana ia sangat-sangat
mengharapkan pertolongan dari Allah.”
Kedua puluh satu: Hendaklah engkau mendoakan bagi orang bersin. Nabi s.a.w.
mengajar orang yang bersin itu suapaya berkata: Al-Hamdulillah ala kulli hal
(Segala kepujian bagi Allah atas setiap perkara). Orang yang mendoakan pula
berkata: yarhamukullah (moga-moga allah merahmati kamu). Dibalas pula oleh
orang yang bersin Yahdikumullahu wa Yuslihu Balakum (moga-moga Allah memberi
kamu petunjuk dan membersihkan hati kamu).
Disunnatkan bagi seseorang apabila mahu bersin, merendahkan suaranya dan
menutup wajahnya. Dan bagi orang yang mahu menguap meletakkan tanganya ke atas
mulutnya.
Kedua puluh dua: Bila engkau diuji dengan perbuatan orang yang jahat, maka
hendaklah engkau menanggung dengan sabar dan menjaga dirimu dari kejahatanya.
Setengah orang berkata: Berikhlas diri kepada orang Mu’min dengan
seikhlas-ikhlasnya, dan tunjukkanlah akhlak yang baik semampu-mampunya kepada
orang jahat, sebab orang yang jahat itu selalu suka dengan akhlak-akhlak yang
baik pada zahirnya saja.
Abu Darda’ berkata: Kita pernah menunjukkan muka manis kepada setengah-setengah
manusia, padahal hati kita mengutukinya.
Inilah yang dikatakan bergaul secara baik dengan orang-orang yang ditakuti
kejahatannya.
Allah berfirman:
“Tolaklah dengan cara yang lebih baik.”
(al-Mu’minun: 96)
Ibnu abbas berkata, menerangkan maksud al-Quran berikut:
“Mereka menolak keburukannya dengan
kebaikan.” (ar-Ra’ad: 22)
Yakni: Menolak kejahatan dan penganiayaan orang itu, dengan membuat perdamaian
dan pergaulan yang baik.
Ibnu Abbas berkata lagi dalam menerangkan ayat al-Quran yang berikut pula:
“Andaikata tiada pembelaan Allah
terhadap manusia antara satu puak dengan yang lainnya.”
(al-Baqarah: 251)
Ia berkata: maksudnya ialah dengan
mengembirakan dan menakut-nakutkan dengan perasaan malu dan bergaul secara
lemah-lembut.
Berkata Syaidatina aisyah r.a.: Ada
seseorang yang meminta izin untuk menemui Rasulullah s.a.w. lalu baginda
berkata: Izinkanlah ia masuk, tetapi ia sebenarnya seburuk-buruknya manusioa
yang boleh diajak bergaul. Apabila orang itu masuk, Rasulullah s.a.w pun
mempergaulinya dengan lemah lembut, sehingga (kata Aisyah) aku menyangka bahwa
orang itu mempunyai suatu kedudukan di sisi Rasulullah s.a.w. Apabila orang itu
keluar, aku berkata: Kini ia telah keluar. Aku pun berkata kepada Rasulullah
s.a.w.: Bila orang itu hendak masuk tadi, engkau berkata kepadaku macam-macam
terhadapnya, kemudian engkau berlemah-lembut pula dalam kata-katamu kepadanya.
Maka baginda pun berujar: Wahai Aisyah! Sesungguhnya seburuk-buruk kedudukan
manusia di sisi Allah pada Hari Kiamat, ialah manusia yang disingkirkan oleh
orang ramai kerana takutkan kejahatannya.
Dalam suatu khabar yang lain: Apa
saja yang digunakan oleh seseorang untuk menjaga kehormatannya, maka itu adalah
sedekah.
Berkata Muhammad Ibnul Hanafiah:
Bukanlah seorang bijaksana, bila seseorang itu tidak dapat bergaul secara baik
dengan orang yang tidak boleh tidak mesti ia bergaul dengannya, sehinggalah
Tuhan melorongkan baginya kelapangan (iaitu suatu jalan untuk melepaskan diri).
Kedua puluh tiga: Hendaklah
engaku bercampur gaul dengan orang-orang miskin, dan berbuat baik kepada
anak-anak yatim. Nabi s.a.w. juga selalu berdoa:
“Ya Allah! Ya Tuhanku! Hidupkanlah
aku sebagai seorang miskin dan matikanlah aku sebagai seorang miskin juga,
serta bangkitkanlah aku (di Hari Kiamat kelak) dalam kumpulan orang miskin.”
Diceritakan bahwa Nabi Allah
Sulaiman alaihis-salam, meskipun mempunyai kerajaan yang agung, apabila baginda
masuk dalam masjid dan melihat ada orang miskin di situ, niscaya baginda akan
duduk bersama-sama mereka seraya berkata: Seorang miskin sedang duduk dengan
miskin yang lain.
Dalam suatu khabar berbunyi:
Janganlah kamu merasa irihatri, jika melihat seorang jahat mendapat kurniaan
nikmat yang banyak, sebab engkau takkan tahu ke mana kesudahan orang itu
setelah ia mati kerana di belakangnya tentu ada seorang yang mencari untuk
menuntutnya.
Adapun terhadap anak yatim, maka
Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
“Barangsiapa menanggung anak yatim
sehingga menjadi kaya, maka telah wajib baginya memasuki syurga.”
Sabda Nabi lagi:
“Saya dan orang yang menanggung anak
yatim seperti kedua ini – sambil baginda mengisyarat dengan kedua belah jarinya
(yakni paling hampir sekali).”
Lagi sabdanya:
“Barangsiapa mengusap kepala seorang
anak yatim tanda belas kasihan, maka ia mendapat kebajikan atas setiap rambut
yang diusapnya itu.”
Dan sabdanya yang lain pula:
“Sebaik-baik rumah kaum Muslimin,
ialah rumah yang ada di dalamnya seorang anak yatim dimuliakan. Dan
sejahat-jahat rumah kaum Muslimin, ialah rumah yang ada di dalamnya seorang
anak yatim yang dicuaikan kepentingannya.”
Kedua puluh empat: Hendaklah engkau
seka memberi nasihat kepada setiap Muslim dan cuba bersungguh-sungguh untuk
mengembirakan hatinya. Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Tidak beriman seseorang kamu,
sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya senddiri.”
Sabdanya lagi:
“Barangsiapa menyejukkan mata
seorang Mu’min (menghilangkan kesusahannya), niscaya Allah akan menyejukkan
matanya di Hari Kiamat.”
Lagi sabdanya:
“Barangsiapa melapangkan diri
seorang Mu’min yang sedang dalam kesusahan atau menolong Mu’min yang teraniaya,
niscaya ia akan diampunkan dosanya.”
Sabdanya lagi:
“Di antara amalan-amalan yang paling
disukai oleh Allah s.w.t ialah menimbulkan kegembiraan dalam hati seorang
Mu’min, melapangkan kesusahannya, menunaikan hutangnya atau mem0berinya makan
waktu lapar.”
Kedua puluh lima: Hendaklah engkau
menziarahi pesakit-pesakit kaum Muslimin. Adab orang yang menziartahi orang
sakit ialah memendekkan masa ziarah itu mengurangkan banyak pertanyaan,
melahirkan belas kasihan, mendoakan agar segera sembuh dan memalingkan pemandangan
dari melihat aurat-aurat pesakit. Bila meminta izin masuk, janganlah engkau
menghadap ke pintu dan mengetuknya biarlahg dengan perlahan-lahan. Bila ditanya
siapa itu, jangan engkau menjawab: Saya.
Dalam sebuah Hadis dari Rasulullah
s.a.w. berbunyi:
“Apabila seseorang Muslim menziarahi
saudaranya yang sakit atau menengoknya, berfirman Allah Ta’ala: Engkau telah
melakukan yang baik dan akan baiklah perjalananmu dan engkau telah menduduki
sebuah rumah di syurga.”
Daripada Saiyidina Usman r.a. katanya:
Suatu hari saya sakit, maka Rasulullah s.a.w. datang menziarahi saya, lalu
mengucapkan:
“Dengan nama Allah Maha Pengasih
lagi Penyayang. Aku memohonkan perlindungan bagimu kepada Allah yang Maha Esa,
dan Tuhan Tempat meminta tiada beranak dan tiada diberanakkan, dan tiada
seorang pun yang serupa denganNya dari bahaya yang telah menimpamu.”
Baginda mengucapkannya berkali-kali
Bagi pesakit pula disunnatkan
membaca:
“Saya mohon perlindungan dengan
kemuliaan Allah dan kekuasaaNya dari bahaya yang menimpaku.”
Berkata Thaus: Sebaik-baik ziarah
kepada pesakit ialah yang paling ringan, yakni singkat waktunya.
Di antara adab-adab pesakit pula,
hendaklah ia mempunyai sifat-sifat kesabaran kurang mengadu dan tidak lekas
bosa, sentiasa merasa takut sehingga memohon doa kepada Allah Ta’ala yang
menyebabkan ubat itu menyembuhkan:
Kedua puluh enam: Hendaklah engkau
menghantar jenazah-jenazah mereka. Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Barangsiapa menghantarkan jenazah,
maka baginya pahala satu qirat jika ia menunggu hingga jenazah itu dikebumikan
maka baginya pahala dua qirat. Dan qirat itu besanta macam gunung Uhud.”
Gunung Uhud adalah sebuah gunung
yang besar dekat Madinah al-Munawwarah. Tujuan menghantar jenazah itu ialah
menunaikan hak kaum Muslimin dan mengambil I’tibar bila berdepan dengan
kubur-kubur orang yang sudah mati.
Kedua puluh tujuh: Hendaklah engkau
menziarahi kubur-kubur mereka. Tujuan ziarah itu ialah memohon doa bagi yang
mati dan mengambil I’tibar serta melunakkan hati. Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Tiada suatu pemandangan yang pernah
aku lihat melainkan kuburlah yang paling mengerikan dari yang lain-lain.”
Berkayta Hatim Al-Asham: Sesiapa
yang berjalan melalui kuburan, sedangkang ia tiada memikirkan mengenainya, dan
tiada pula mendoakan bagi orang-orang yang berada di dalamnya, maka ia telah
mengkhianati dirinya dan mengkhianati orang-orang yang di dalam kubur itu.
Berkata Maimun bin Mahran: Sekali
peristiwa, saya pergi bersama-sama Umar bin Abdul Aziz menziarahi kubur,
apabila beliau melihat saja kepada kubur-kubiur itu, beliau menangis seraya
berkata: Wahai Maimun! Inilah kubur datuk-nenekku, seolah-olah mereka tidak
pernah berkongsi kelazatan dengan ahli-ahli dunia. Tidakkah engkau melihat
mereka iti kesemuanya berbaringan kini. Mereka terlepas dari segala hukuman
yang mereka alami. Sedangkan tubuh badan mereka telah dimakan ulat di dalam
tanah. Kemudian beliau menangis lagi. Beliau berkata pula: Demi Allah! Aku
tiada mengetahui seseorang yang lebih merasakan kenikmatan daripada orang-orang
yang telah berada di dalam kubur-kubur ini, dan mereka telah terselamat
daripada azab Allah Ta’ala.
Adab orang yang menyampaikan
takziah.
Bagi orang yang menyampaikan takziah kepada keluaraga si mati, hendaklah ia
menunjukkan sikap merendah diri, melahirkan rasa dukacita, mengurangkan
perbualan dan jangan sekali-kali tersenyum atau ketawa.
Adab menghantar jenazah ke kubur
Hendaklah memelihara suasana itu dalam keadaan yang khusyu’ tidak banyak
bicara, memerhatikan pada yang mati, memikirkan tentang maut yang akan menimpa
setiap orang yang hidup serta bersedia untuk menghadapi maut itu.
Menyegerakan pengurusan jenazah itu adalah sunnat.
Kesimpulan tata cara pergaulan
Berikut kesimpulan dari berbagai tata cara pergaulan dengan seumum masyarakat,
disebutkan dengan ringkas di bawah:
(1)
Jangan memandang kecil, rendah atau hina kepada sesiapa pun, sama ada yang asih
hidup mahupun yang sudah mati, kerana bersikap demikian akan membinasakan anda.
Sebenarnya anda tiada mengetahui mungkin sekali orang itu lebih baik nasignya
dari anda di hari belakang. Sekalipun orang itu pada lahirnya fasik jahat,
tidak mustahil pula nasib yang semacam itu akan menimpa dirimu sendiri,
sehingga anda mengakhiri hayatmu dalam keadaa fasik dan jahat, sedangkan ia
mengakhiri hayatnya dalam keadaan baik dan saleh.
(2)
Janganlah menilai seseorang itu menurut keadaan dunianya lalu anda
memuliakannya. Sebab dunia itu kecil sekali di sisi Allah Ta’ala, segala-gala
yang ada di dalam dunia kecil semata-mata Jangan sampai anda menjual agamamu
untuk mendapatkan benda-benda keduniaan, sehingga anda dipandang kecil di mata
orang yang memberinya. Mungkin sekali suatu masa kelak, anda tidak akan
diberinya lagi, maka ketika itu anda akan kehilangan harga diri di matanya.
(3)
Jangan cuba menentang orang lain, sehingga terjadi permusuhan antara kamu
bersama, melainkan jika anda melihat sesuatu kemungkaran dalam agam yang
dilakukan oleh orang itu maka ketika itulah boleh anda menentang usaha-usaha
kemungkaran yang dilakukannya itu.
(4)
Jangan merasa puasa hati bila mendengar pujian orang di hadapanmu ataupun
merasa senang bila ditunjukkan rasa kemesraan dan muka manis terhadapmu, sebab
yang demikian itu belum tentu dari hakikat batinnya.
(5)
Jangan sekali-kali mengadukan segala hal-ehwalmu yang berupa kesusahan dan
sebagainya kepada orang lain sebab di khuatiri bahwa Allah Ta’ala akan murka
lalu diserahkan semua urusanmu itu kepada orang itu.
(6)
Jangan harapkan orang lain akan bersikap sama terhadapmu bila berada di
belakangmu, sebagaimana yang anda kenal kepadanya di masa berdepan denganmu.
Harapan semacam itu adalah sesia belaka dan tidak betul.
(7)
Jangan terlalu mengharapkan untuk memiliki apa-apa yang ada di dalam tangan
orang, niscaya anda akan dipandang hina olehnya. Tetapi apabila meminta sesuatu
benda dari seorang kawan lalu diberinya benda itu pada anda, makka itulah
seorang kawan yang berfaedah. Jika ia tidak memberinya, maka janganlah anda
mencacinya, kelak ia akan menjadi lawan yang bukan senang bagimu untuk
menghadapnya.
(8)
Jangan membuang masa untuk menghambur-hamburkan nasihatmu kepada orang yang
sudah ternyata tidak mahu menerima nasihat-nasihat itu darimu. Kerana bukan
saja ia tiada akan mendengar nasihat-nsihatmu itu, malah ia akan memusuhimu
pula. Kalau perlku di nasihatkan juga, maka hendaklah dengan sindiran, atau
memberikan berbagai-bagai contoh dengan bercerita tanpa diberitahukan
kepadanya, bahwa dialah orang yang dimaksudkan.
(9)
Jika anda mendengar bahwa orang itu pernah mencelamu, atau membuat sesuatu
keburukan terhadap dirimu, maka sebaik-baiknya anda serahkan perkaranya kepada
Allah Ta’ala, serta anda berlindung dengan Allah daripada bahaya-bahayanya.
Ingatlah jangan cuba memikirkan sesuatu rancang bals terhadap perbuatannya itu,
sebab yang demikian itu akan lebih membahayakan diri anda. Terhadap orang-orang
yang membuat salah terhadap dirimu, hendaklah anda tetap menunaikan segala
hak-hak mereka, memekakkan telingan dan mendengar segala kebatilan mereka serta
mengakui semua hak-hak mereka.
(10)
Waspadalah dari berkawan dengan semua peringkat manusia, sebab bukan semua orang
dapat memaafkan keihlafan, atau mengampunakn kesalahan atau menutupkan
keburukan. Tetapi biasanya mereka berkira-kira sangat atas yang kecil dan yang
besar dan mendengki terhadap yang sedikit dan yang banyak.
(11)
Jangan segera menyatakan kecintaanmu kepada orang yang anda belum kenal
kesetiaannya dengan cara yang seteliti-telitinya. Tetapi hendaklah anda
berkawan dengannya dalam waktu yang panjang sedikit, di mana anda dapat
mencubanya dalam hal-ehwalnya, umpamanya dalam urusan wang ringgit, atau ketika
ana dalam keperluan, atau anda cuba mengawaninya dalam pelayaran. Maka jika
anda redha dan senang dengan kelakuannya dalam hal-hal yang tersebut di atas
tadi, maka barulah anda jadikan dia sebagai kawan. Iaitu kiranya ia lebih tua
dari anda, jadikanlah ia seolah-lah ayah, dan kiranya ia lebih muda dari anda,
jadikanlah ia seolah-olah anak, ataupun kiranya anda sebaya umur dengannya,
jadikanlah ia seolah-olah saudara kandung.
Demikian kesimpulan tata-cara
pergaulan dengan semua peringkat manusia.
Hak tetangga
Ketahuilah, bahwa tetangga itu mempunyai hak-hak yang lain sesudah hak-hak yang
dipunyai oleh persaudaraan dalam Islam. Seorang tetangga Muslim mendapat
hak-hak yang sama seperti Muslim yang lain, ditambah pula dengan hak ketetanggaan.
Nabi s.a.w. bersabda dengan menentukan hak jiran:
“Jiran atau tetangga ada tida macamnya. Jiran yang mempunyai satu hak, jiran
yang mempunyai dua hak, dan jiran yang mempunyai tiga hak. Jiran yang mempunyai
tiga hak, ialah jiran Muslim yang berkerabat, maka baginya hak ketetanggaan,
hak keislaman dan hak kekerabatan. Adapun jirang yang mempunyai dua hak ilah
jiran Muslim, yang mempunyai hak ketetanggaan dan hak keislaman. Manakala
jirang yang mempunyai satu hak, ialah jiran yang musyrik.”
Perhatikanlah bagaimana Islam telah menetapkan bagi seorang musyrik haknya,
hanya kerana ia menjadi tetangga kepada seorang Muslim saja. Rasulullah s.a.w.
telah bersabda lagi:
“Berbuat baiklah terhadap jiran yang bertetangga denganmu, niscaya engkau
menjadi seorang Muslim (yang sejati).”
Lagi Sabdanya:
“Malaikat Jibril sentiasa
mengingatkan aku tentang hak jiran sehingga aku menyangka ia akan
mewariskannya.”
Sabdanya lagi:
“Barangsiapa beriman dengan Allah
dan Hari Akhirat, hendaklah ia memuliakan tentangganya.”
Lagi sabdanya:
“Tiada sempurna iman seseorang
hamba, sehingga tetangganya terselamat dari segala kejahatannya.”
Sabdanya lagi:
“Jangan sekali-kali seseorang kamu
melarang tetangganya memasak sebatang kayu pada tembok rumahnya.”
Abu Hurairah r.a. berkata: Mengapa
saya melihat kamu sekalian kurang setuju dengan perkara itu.Demi Allah aku
meletakknay ke atas bebanan kamu. Setengah ulama pula berpendapat bahwa perkara
itu menjadii wajib.
Pernah Rasullullah s.a.w diberitahu
seperti dalam sabdanya:
“Bahwasanya perempuan itu berpuasa
di siang hari dan bersembahyang di tengah malam, akan tetapi dia suka menyakiti
jirannya. Berkata Rasulullah s.a.w.: Dia akan masuk ke dalam neraka.”
Dari Rasulullah s.a.w. lagi: Empat
puluh rumah masih dikira tetangga lagi. Mengenai Hadis ini az-Zohri telah
memberi pendapatnya, katanya: Yakni empat puluh rumah dari kanan dari kiri dari
belakang dari hadapannya masih dikira tetangga juga.
Ketahuilah bahwasanya bukanlah hak
tetangga itu semata-mata dengan mencegah diri dari melakukan yang boleh
menyakitinya saja, bahkan hendaklah menanggung dengan sabar segala kelakuan
yang tidak sopan yang mungkin datang daripanya pula. Tambahan lagi mestilah
menunjukkan kepada tetangga itu sifat belas kasihan, dan membalasnya dengan
segala kebaikan dan kebajikan.
Diceritakan bahwa Ibnul-Muqaffa’
diberitahu yang tetangganya akan menjual rumahnya kerana terlalu banyak hutang
yang ditanggungnya. Ketika itu Ibnul-Muqaffa’ sedang duduk di bawah teduhan
rumah tersebut. Lalu ia pun berkata: Tentulah aku tidak memberikan kehormatan
teduhan rumah ini, kiranya tetanggaku menjualnya kerana hendak menggunakan
wangnya itu. Maka ia pun membayar harga rumah itu kepada tetangga itu seraya berkata:
Jangan jual rumah ini!
Di antara hak-hak kejiranan ialah:
(1)
Hendaklah anda memulakan memberi salam kepadanya.
(2)
Jangan terlampau banyak menanyakan tentang hal-ehwalnya.
(3)
Menziarahinya bila ia sakit dan melawatinya bila ia mati. Sama-sama merasakan
kesusahan bila ada kematian di rumahnya dan menunjukkan rasa kegembiraan bila
ada kesukaan pula.
(4)
Sama-sama menyertainya dalam masa kesenangan dan kegembiraannya.
(5)
Memaafkan segala kesalahan dan keikhlafannya.
(6)
Tiada menunjukkan pandangan dari atas rumahmu ke dalam rumahnya sehingga anda
dapat melihat auratnya.
(7)
Tiada menyempitkan perasaannya, umpamanya dengan meletakkan sebatang kayu pada
dinding rumahnya.
(8)
Tiada menyempitkan perjalanan menuju ke rumahnya
(9)
Tiada menujukan pandanganmu kepada apa-apa yang di bawa ke dalam rumahnya.
(10)
Hendaklah menutup segala keaiban dan kecelaan yang mungkin berlaku daripadanya.
(11)
Meringankan dirinya dari menanggung mala petaka yang menimpanya
(12)
Jangan lalai memerhatikan rumahnya di masa-masa ia tiada di rumah.
(13)
Jangan terpedaya dengan kata-kata orang terhadapnya
(14)
Palingkan pendanganmu dari melihat isterinya dan jangan memandang lama-lama
kepada khadam wanita yang bekerja dirumahnya.
(15)
Selalu bersikap lemah-lembut terhadap anak-anaknya dengan ucapan yang
baik-baik.
(16)
Cuba tunjukkan kepadanya apa-apa yang ia tiada mengetahui dari perkara agama
mahupun perkara dunia.
Demikianlah himpunan hak-hak yang
kami sebutkan. Yang patut ditunaikan terhadap seumum kaum Muslimin.
Hak kaum kerabat dan keluarga
Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
“Berkata Allah Ta’ala: Akulah
ar-Rahman (Maha Pengasih) dan ini pula ar-Rahim (kaum kerabat). Aku pecahkan
nama ini dari namaKu. Maka barangsiapa memperhubungi keluarganya, niscaya Aku
akan berhubung dengannya dan barangsiapa memutuskan perhubungannya dengan
mereka niscaya Aku akan memutuskan perhubunganKu dengannya pula.”
Pernah Rasulullah s.a.w. ditanya:
Mana satu manusia yang paling utama? Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Orang yang paling banyak taqwanya
kepada Allah, paling tererat sekali perhugungannya dengan keluarga, paling suka
menyuruh berbuat kebajikan dan melarang berbuat kemungkaran.”
Bersabda Rasulullah s.a.w.:
“Bersedekah kepada orang miskin
adalah mendapat pahal sedekah saja, tetapi bersedekah kepada kaum keluarga
mendapat dua pahala; pahala sedekah pahala perhubungan.”
Apabila Abu Talhah ingin
menyedekahkan kebunya kerana terharu dengan pahala yang ditentukan oleh firman
Allah Ta’ala yang bermaksud:Kamu tidaka akan memperoleh kebajikan, sehingga
kamu membelanjakan sesuatu dari apa yang kamu cintakan. (ali-Imran: 92), beliau
lalu berkata kepada Rasulullah s.a.w.: Kebun itu dijadikan kerana fi sabilillah
dan kerana para fakir dan miskin. Berkata Rasulullah s.a.w.: Telah wajib
pahalamu dari Allah dan sekarang bahagi-bahagikan ia di antara kaum kerabatmu.
Hak kedua ibu-bapa dan anak
Sudah menjadi jelas sekali, bahwa apabila sudah parti ditunaikan hak-hak bagi
kaum kerabat dan keluarga, maka yang paling terutama sekali didahulukan dari
mereka itu, ialah yang ada perhubungan dengan keturunan, maka haknya semakin
bertambah-tambah lagi dipastikan dan diistimewakan.
Bersabda Rasulullah s.a.w.:
“Berbaktilah kepada ibumu, ayahmu, saudara perempuanmu, saudara lelakimu,
kemudian yang terhampir denganmu, dan yang terhampir.”
Pernah Rasulullah s.a.w. yang ditanya oelh seorang, katanya Wahai Rasulullah!
Adakah lagi yang masih diwajibkan atas saya untuk berbakti kepada kedua
ibu-bapa saya, setelah keduanya meninggal dunia? Rasulullah s.a.w. menjawab:
Ya, iaitu memohonkan kerahmatan kepada keduanya memintakan keampunan bagi
kedua-duanya, menunaikan segala janji-janjinya, memuliakan semua rakan temannya
serta menghubungkan silatur-rahim yang tidak boleh terhubung, melainkan dengan
keduanya.
Bersabdanya Rasulullah s.a.w. lagi:
“Sesungguhnya setinggi-tinggi darjat kebaktian, ialah bila seseorang itu suka
menghubungi keluarga kesayangan ayahnya, sesudah ia meninggal dunia.”
Sabdanya lagi:
“Allah merahmati seorang ayah yang mendorong anaknya untuk berbakti kepadanya.”
Maksudnya: Menolong anak itu agar ia tiada menderhaka kepada ayahnya,
disebabkan keburukan perbuatannya sehari-hari.
Lagi sabdanya: Semakan antara anak-anakmu dalam pemberian.
Sabda yang lain pula: Adalah menjadi hak bagi anak ke atas ayahnya agar ia
memperelokkan budi pekertinya dan memperbaguskan namanya.
Selain itu hendaklah menunjukkan belas kasihan kepada anak-anak sekalian.
Al-Aqra’ bin Habis, suatu hari melihat Rasulullah s.a.w mencium cucunya
al-Hasan r.a., lalu ia berkata kepada Nabi s.a.w.: Saya mempunyai sepuluh orang
anak, tetapi tidak pernah saya mencium seorang pun dari mereka. Maka Rasulullah
s.a.w. berkata: Sesungguhnya orang yang tiada berbelas kasihan tiada akan
dibelas kasihani.
Berkata Mu’awiyah kepada al-Ahnaf bin Qais: Apa yang dapat engkau katakana
kepada anak-anak? Al-Ahnaf menjawab: Wahai Amirul Mu’minin, mereka itu buah
hati kita dan tulang belakang kita. Kita ini laksana bumi yang hina bagi
mereka, dan langit yang meneduhi kehidupan mereka. Tersebab merekalah kita
berhempas pulas atas setiap jerih-jerih. Oleh itu kiranya mereka meminta sesuau
darimu berikanlah kepadanya. Kiranya mereka marah, segera pujuk mereka, niscaya
akan diberikan kamu kasih sayangnya, dan diredhai kamu segala usahanya. Jangan
sekali-kali kamu menjadi kunci yang berat (penghalang) terhadap kemahuannya,
niscaya mereka akan merasa jemu terhadap kehidupan kamu, seraya mencita-citakan
kematian kamu dengan segera. Kelak mereka akan merasa benci pula untuk
mendekatkan diri dengan kamu.
Selesai mendengar kata-kata itu, Mu’awiyah pun berkata pula: Sunguh tepat
sekali kata-katamu itu, wahai Ahnaf. Sebenarnya engkau telah tunjukkan bagiku
jalan, bagaimana harus aku meredhai sesiapa yang aku menaruh marah dari
anak-anakku.
Kemudian al-Ahnaf pun diberikan oleh Mu’awiyah hadiah yang sangat bernilai.
Seterusnya harus kita mengetahui bahwa setengah para alim-ulama, berpendapat,
bahwa mentaati kedua ibu bapa itu wajib, sekalipun dalam hal-hal yang
berhubungan dengan perkara-perkara syubhat (yakni belum tentu halal haramnya).
Hanya yang dilarang mentaatinya ialah dalam perkara-perkara yang sudah jelas
haramnya saja.
Seseorang anak tidak boleh meninggalkan kedua ibu-bapanya kerana pelayaran yang
mubah (harus) atau yang sunnat melainkan dengan mendapat izin dari keduanya
terlebih dahulu.
Bersabda Rasulullah s.a.w.:
“Hak saudara yang tua ke atas saudara yang muda, adalah seperti haknya seorang
ayah ke atas anak-anaknya.”
0 comments:
Post a Comment