Suatu hari ketika Imam Abu Hanifah sedang
berjalan-jalan melalui sebuah rumah yang jendelanya masih terbuka, terdengar
oleh beliau suara orang yang mengeluh dan menangis tersedu-sedu. Keluhannya
mengandungi kata-kata, "Aduhai, alangkah malangnya nasibku ini, agaknya
tiada seorang pun yang lebih malang dari nasibku yang celaka ini. Sejak dari
pagi lagi belum datang sesuap nasi atau makanan pun di kerongkongku sehingga
seluruh badanku menjadi lemah longlai. Oh, manakah hati yang belas ikhsan yang
sudi memberi curahan air walaupun setitik."
Mendengar keluhan itu, Abu Hanifah berasa kasihan lalu
beliau pun balik ke rumahnya dan mengambil bungkusan hendak diberikan kepada
orang itu. Sebaik sahaja dia sampai ke rumah orang itu, dia terus melemparkan
bungkusan yang berisi wang kepada si malang tadi lalu meneruskan perjalanannya.
Dalam pada itu, si malang berasa terkejut setelah mendapati sebuah bungkusan
yang tidak diketahui dari mana datangnya, lantas beliau tergesa-gesa
membukanya. Setelah dibuka, nyatalah bungkusan itu berisi wang dan secebis
kertas yang bertulis, " Hai manusia, sungguh tidak wajar kamu mengeluh
sedemikian itu, kamu tidak pernah atau perlu mengeluh diperuntungkan nasibmu.
Ingatlah kepada kemurahan Allah dan cubalah bermohon kepada-Nya dengan bersungguh-sungguh.
Jangan suka berputus asa, hai kawan, tetapi berusahalah terus."
Pada keesokan harinya, Imam Abu Hanifah melalui lagi
rumah itu dan suara keluhan itu kedengaran lagi, "Ya Allah Tuhan Yang Maha
Belas Kasihan dan Pemurah, sudilah kiranya memberikan bungkusan lain seperti
kelmarin,sekadar untuk menyenangkan hidupku yang melarat ini. Sungguh jika
Tuhan tidak beri, akan lebih sengsaralah hidupku, wahai untung nasibku."
Mendengar keluhan itu lagi, maka Abu Hanifah pun lalu
melemparkan lagi bungkusan berisi wang dan secebis kertas dari luar jendela
itu, lalu dia pun meneruskan perjalanannya. Orang itu terlalu riang sebaik
sahaja mendapat bungkusan itu. Lantas terus membukanya.
Seperti dahulu juga, di dalam bungkusan itu tetap ada
cebisan kertas lalu dibacanya, "Hai kawan, bukan begitu cara bermohon,
bukan demikian cara berikhtiar dan berusaha. Perbuatan demikian 'malas'
namanya. Putus asa kepada kebenaran dan kekuasaan Allah. Sungguh tidak redha
Tuhan melihat orang pemalas dan putus asa, enggan bekerja untuk keselamatan
dirinya. Jangan….jangan berbuat demikian. Hendak senang mesti suka pada bekerja
dan berusaha kerana kesenangan itu tidak mungkin datang sendiri tanpa dicari
atau diusahakan. Orang hidup tidak perlu atau disuruh duduk diam tetapi harus
bekerja dan berusaha. Allah tidak akan perkenankan permohonan orang yang malas
bekerja. Allah tidak akan mengkabulkan doa orang yang berputus asa. Sebab itu,
carilah pekerjaan yang halal untuk kesenangan dirimu. Berikhtiarlah sedapat
mungkin dengan pertolongan Allah. Insya Allah, akan dapat juga pekerjaan itu
selama kamu tidak berputus asa. Nah…carilah segera pekerjaan, saya doakan lekas
berjaya."
Sebaik sahaja dia selesai membaca surat itu, dia
termenung, dia insaf dan sedar akan kemalasannya yang selama ini dia tidak suka
berikhtiar dan berusaha.
Pada keesokan harinya, dia pun keluar dari rumahnya
untuk mencari pekerjaan. Sejak dari hari itu, sikapnya pun berubah mengikut
peraturan-peraturan hidup (Sunnah Tuhan) dan tidak lagi melupai nasihat orang
yang memberikan nasihat itu.
Dalam Islam tiada istilah pengangguran, istilah ini
hanya digunakan oleh orang yang berakal sempit. Islam mengajar kita untuk maju
ke hadapan dan bukan mengajar kita tersadai di tepi jalan.
0 comments:
Post a Comment