Pada suatu hari ketika 'Uzair memasuki kebunnya yang
menghijau dengan pokok-pokok tamar dan tiba-tiba hatinya telah terpesona serta
tertarik untuk memikirkan rahsia keindahan dan keajaiban alam ini. Sesudah
memetik buah-buahan dia pulang dengan keldainya sambil menikmati
keindahan-keindahan alam sekitarnya sehingga keldai yang ditungganginya
tersesat jalan. Setelah sekian lama barulah dia sedar bahawa dia telah berada
di suatu daerah yang tidak dikenali oleh beliau serta sudah jauh dari negerinya
sendiri.
Sebaik sahaja dia sampai ke daerah itu dilihatnya
kampung itu baru sahaja diserbu oleh musuh-musuh sehingga menjadi rosak-binasa
sama sekali. Di tapak atau bekas runtuhan terdapat mayat-mayat manusia yang
bergelimpangan yang sudah busuk serta hancur. Melihatkan pemandangan yang
mengerikan itu, dia pun turun dari keldainya dengan membawa dua keranjang
buah-buahan. Manakala keldainya itu ditambat di situ, kemudian dia pun duduk
bersandar pada dinding sebuah rumah yang sudah runtuh bagi melepaskan penatnya.
Dalam pada itu, fikirannya mula memikirkan mayat manusia yang sudah busuk itu.
"Bagaimana orang-orang yang sudah mati dan hancur
itu akan dihidupkan oleh Tuhan kembali di negeri akhirat?" begitulah
pertanyaan yang datang bertalu-talu da tidak terjawab olehnya sehingga dia
menjadi lemah-longlai dan kemudian terus tertidur. Dalam tidur itu, dia
seakan-akan bertemu dengan semua arwah (roh-roh) orang-orang yang sudah
meninggal itu. Tidurnya amat luar biasa sekali, bukan hanya sejam atau semalam,
tetapi dia telah tidur terus-menerus tanpa bangun-bangun selama seratus tahun
lamanya.
Dalam masa dia tertidur itu, keadaan di sekitarnya
sudah ramai lapisan baru, rumah serta bangunan-bangunan banyak yang telah
didirikan. Dalam masa seratus tahun itu, segala-galanya sudah berubah, manakal
'Uzair tetap terus tidur tersandar di dinding buruk itu menjadi jasad (tubuh)
yang tidak bernyawa lagi. Dagingnya sudah hancur dan tulang belulangnya sudah
hancur lebur berderai.
Kemudian jasad 'Uzair yang telah mati, daging dan
tulangnya yang sudah hancur itu disusun kembali oleh Allah pada bahagiannya
masing-masing lalu ditiupkan ruhnya. Dan ketika itu juga 'Uzair hidup kembali
seperti dahulu. 'Uzair terus berdiri seperti orang yang bangun dari tidur
lantas dia mencari keldai dan buah-buahannya di dalam keranjang dahulu.
Tidak berapa lama kemudian, turunlah beberapa malaikat
seraya bertanya, "Tahukah engkau ya 'Uzair berapa lama engkau tidur?"
Tanpa berfikir panjang 'Uzair menjawab, "Saya
tertidur sehari dua ataupun setengah hari."
Lalu malaikat pun berkata kepadanya, "Bahawa
engkau terdampar di sini genap seratus tahun lamanya. Disinilah engkau
berbaring, berhujan dan berpanas matahari, kadang-kadang ditiup badai dan
berhawa sejuk dan juga panas terik. Dalam masa yang begitu panjang, makanan
engkau tetap baik keadaannya. Tetapi cuba lihat keadaan keldai itu, dia sendiri
pun sudah hancur dan dagingnya sudah busuk."
Berkata malaikat lagi, "Lihatlah dan
perhatikanlah sungguh-sungguh. Demikianlah kekuasaan Allah. Allah dapat
menghidupkan kembali orang yang sudah mati dan mengembalikan jasad-jasad yang
sudah hancur lebur dan dengan semudah itu pulalah Tuhan akan membangkitkan
semua manusia yang sudah mati itu nanti di akhirat untuk diperiksa dan diadili
segala perbuatannya. Hal ini diperlihatkan oleh Tuhan kepada engkau supaya iman
engkau tetap dan engkau sendiri dapat menjadi bukti kepada manusia-manusia lain
supaya engkau dan manusia-manusia lain tiada syak dan ragu-ragu lagi tentang
apa yang diterangkan Tuhan tentang akhirat itu."
Setelah 'Uzair melihat makanan dan keldainya yang
sudah hancur itu, maka 'Uzair pun berkata, "Sekarang tahulah saya bahawa
Allah itu adalah berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu." Tiba-tiba keldai
yang sudah hancur berderai itu dilihatnya mulai dikumpulkan daging dan
tulangnya. Dan akhirnya menjadi seperti sediakala iaitu hidup kembali bergerak-gerak
dan berdiri sebagaimana sebelum mati. Maka 'Uzair pun berkata, "Sekarang
tahulah saya bahawa Allah berkuasa di atas segala-galanya." Lalu dia pun
terus mengambil keldainya dahulu dan terus menunggangnya pulang ke rumahnya
dahulu dengan mencari-cari jalan yang sukar untuk dikenali. Dilihatnya
segala-gala telah berubah. Dia cuba mengingati apa yang pernah dilihatnya
seratus tahun dahulu. Setelah menempuhi berbagai kesukaran, akhirnya dia pun
sampai ke rumahnya. Sebaik sahaja dia sampai di situ, dia mendapati rumahnya
sudah pun buruk di mana segala dinding rumahnya telah habis runtuh. Semasa dia
memandang keadaan sekeliling rumahnya, dia ternampak seorang perempuan tua,
lantas dia pun bertanya, "Inikah rumah tuan 'Uzair?"
"Ya," jawab perempuan itu. "Inilah
rumah 'Uzair dahulu, tetapi 'Uzair telah lama pergi dan tiada didengar berita
tentangnya lagi sehingga semua orang pun lupa padanya dan saya sendiri tidak
pernah menyebut namanya selain kali ini sahaja." Kata perempuan itu sambil
menitiskan airmata.
'Sayalah 'Uzair," jawab 'Uzair dengan pantas.
"Saya telah dimatikan oleh Tuhan seratus tahun dahulu dan sekrang saya
sudah dihidupkan oleh Allah kembali."
Perempuan tua itu terkejut seakan-akan tidak percaya,
lalu dia pun berkata, "'Uzair itu adalah seorang yang paling soleh, doanya
selalu dimakbulkan oleh Tuhan dan telah banyak jasanya di dalam menyembuhkan
orang yang sakit tenat." Sambunya lagi, "Saya ini adalah hambanya
sendiri, badan saya telah tua dan lemah, mata saya telah pun buta kerana selalu
menangis terkenangkan 'Uzair. Kalaulah tuan ini 'Uzair maka cubalah tuan doakan
kepada Tuhan suaya mata saya terang kembali dan dapat melihat tuan."
"Uzair pun mendaha kedua belah tangannya ke
langit lalu berdoa ke hadrat Tuhan. Tiba-tiba mata orang rua itupun terbuka dan
dapat melihat dengan lebih terang lagi. Tubuhnya yang tua dan lemah itu kembali
kuat seakan-akan kembali muda. Setelah merenung wajah 'Uzair dia pun berkata,
"Benar, tuanlah 'Uzair. Saya masih ingat." Hambanya itu terus mencium
tangan 'Uzair lalu keduanya pergi mendapatkan orang ramai, bangsa Israil.
'Uzair memperkenalkan dirinya bahawa dialah 'Uzair yang pernah hidup di kampung
itu lebih seratus tahun yang lalu.
Berita itu bukan sahaja mengejutkan bangsa Israil,
tetapi ada juga meragukan dan ada yang tidak percaya kepadanya. Walau
bagaimanapun berita itu menarik perhatian semua orang yang hidup ketika itu.
Kerana itu mereka ingin menguji kebenaran 'Uzair. Kemudian datanglah anak
kandungnya sendiri seraya bertanya, "Saya masih ingat bahawa bapa saya
mempunyai tanda di punggungnya. Cubalah periksa tanda itu. Kalau ada benarlah
dia 'Uzair."
Tanda itu memang ada pada 'Uzair, lalu percayalah
sebahagian daripada mereka. Akan tetapi sebahagian lagi mahukan bukti yang
lebih nyata, maka mereka berkata kepada 'Uzair, "Bahawa sejak penyerbuan
Nebukadnezar ke atas bangsa dan negara Israil dan setelah tentera tersebut
membakar kitab suci Taurat, maka tiadalah seorang pun bani Israil yang hafal
isi Taurat kecuali 'Uzair sahaja. Kalau benarlah tuan Uzair, cubalah tuan
sebutkan isi Taurat yang betul."
'Uzair pun membaca isi Taurat itu satu persatu dengan
fasih dan lancar serta tidak salah walaupun sedikit. Mendengarkan itu barulah
mereka percaya bahawa sungguh benar itulah 'Uzair. Ketika itu, semua bangsa
Israil punpercaya bahawa dialah 'Uzair yang telah mati dan dihidupkan semual
oleh Tuhan. Banyak di antara mereka yang bersalam dan mencium tangan 'Uzair
serta meminta nasihat dan panduan daripadanya. Tetapi sebahagian daripada kaum
Yahudi yang bodoh menganggap 'Uzair sebagai anak Tuhan pula. Maha Suci Allah
tidak mempunyai anak samada 'Uzair mahupun Isa kerana semua makhluk adalah
kepunyaan-Nya belaka. Janganlah kita was-was tentang kekuasaan Allah, maka
hendaklah dia fikir siapakah yang menciptakan dirinya itu. Adalah mustahil
sesuatu benda itu terjadi dengan sendirinya tanpa ada yang menciptakan. Kalau
masih ada orang yang ragu-ragu tentang kekuasaan Allah, ubatnya hanya satu
sahaja, hendaklah dia membaca dan memahami al-Qur'an, was-was terhadap
kekuasaan Allah itu hanya datangnya dari syaitan.
Allah S.W.T telah meletakkan komputer dalam kepala
kita untuk berfikir, oleh itu gunakanlah akal kita untuk berfikir.
0 comments:
Post a Comment