Ibrahim al-Khawas ialah seorang wali Allah yang
terkenal keramat dan dimakbulkan segala doanya oleh Tuhan. Beliau pernah menceritakan
suatu peristiwa yang pernah dialaminya. Katanya, "Menurut kebiasaanku, aku
keluar menziarahi Mekah tanpa kenderaan dan kafilah. Pada suatu kali, tiba-tiba
aku tersesat jalan dan kemudian aku berhadapan dengan seorang rahib Nasrani
(Pendita Kristian)."
Bila dia melihat aku dia pun berkata, "Wahai
rahib Muslim, bolehkah aku bersahabat denganmu?"
Ibrahim segera menjawab, "Ya, tidaklah aku akan
menghalangi kehendakmu itu."
Maka berjalanlah Ibrahim bersama dengannya selama tiga
hari tanpa meminta makanan sehinggalah rahib itu menyatakan rasa laparnya
kepadaku, katanya, "Tiadalah ingin aku memberitakan kepadamu bahawa aku
telah menderita kelaparan. Kerana itu berilah aku sesuatu makanan yang ada
padamu."
Mendengar permintaan rahib itu, lantas Ibrahim pun
bermohon kepada Allah dengan berkata, "Wahai Tuhanku, Pemimpinku,
Pemerintahku, janganlah engkau memalukan aku di hadapan seteru engkau
ini."
Belum pun habis Ibrahim berdoa, tiba-tiba turunlah
setalam hidangan dari langit berisi dua keping roti, air minuman, daging masak
dan tamar. Maka mereka pun makan dan minum bersama dengan seronok sekali.
"Sesudah itu aku pun meneruskan perjalananku.
Sesudah tiga hari tiada makanan dan minuman, maka di kala pagi, aku pun berkata
kepada rahib itu, "Hai rahib Nasrani, berikanlah ke mari sesuatu makanan
yang ada kamu. Rahib itu menghadap kepada Allah, tiba-tiba turun setalam
hidangan dari langit seperti yang diturunkan kepadaku dulu."
Sambung Ibrahim lagi, "Tatkala aku melihat yang
demikian, maka aku pun berkata kepada rahib itu - Demi kemuliaan dan ketinggian
Allah, tiadalah aku makan sehingga engkau memberitahukan (hal ini)
kepadaku."
Jawab rahib itu, "Hai Ibrahim, tatkala aku
bersahabat denganmu, maka jatuhlah telekan makrifah (pengenalan) engkau
kepadaku, lalu aku memeluk agama engkau. Sesungguhnya aku telah membuang-buang
masa di dalam kesesatan dan sekarang aku telah mendekati Allah dan berpegang
kepada-Nya. Dengan kemuliaan engkau, tiadalah dia memalukan aku. Maka
terjadilah kejadian yang engkau lihat sekarang ini. Aku telah mengucapkan
seperti ucapanmu (kalimah syahadah)."
"Maka sucitalah aku setelah mendengar jawapan
rahib itu. Kemudian aku pun meneruskan perjalanan sehingga sampai ke Mekah yang
mulia. Setelah kami mengerjakan haji, maka kami tinggal dua tiga hari lagi di
tanah suci itu. Suatu ketika, rahib itu tiada kelihatan olehku, lalu aku
mencarinya di masjidil haram, tiba-tiba aku mendapati dia sedang bersembahyang
di sisi Kaabah."
Setelah selesai rahib itu bersembahyang maka dia pun
berkata, "Hai Ibrahim, sesungguhnya telah hampir perjumpaanku dengan
Allah, maka peliharalah kamu akan persahabatan dan persausaraanku
denganmu."
Sebaik sahaja dia berkata begitu, tiba-tiba dia
menghembuskan nafasnya yang terakhir iaitu pulang ke rahmatullah. Seterusnya
Ibrahim menceritakan, "Maka aku berasa amat dukacita di atas pemergiannya
itu. Aku segera menguruskan hal-hal pemandian, kapan dan pengebumiannya.
Apabila malam aku bermimpi melihat rahib itu dalam keadaan yang begitu cantik
sekali tubuhnya dihiasi dengan pakaian sutera yang indah."
Melihatkan itu, Ibrahim pun terus bertanya,
"Bukankah engkau ini sahabat aku kelmarin, apakah yang telah dilakukan
oleh Allah terhadap engkau?"
Dia menjawab, "Aku berjumpa dengan Allah dengan
dosa yang banyak, tetapi dimaafkan dan diampunkan-Nya semua itu kerana aku
bersangka baik (zanku) kepada-Nya dan Dia menjadikan aku seolah-olah bersahabat
dengan engkau di dunia dan berhampiran dengan engkau di akhirat."
Begitulah persahabatan di antara dua orang yang
berpengetahuan dan beragama itu akan memperolehi hasil yang baik dan memuaskan.
Walaupun salah seorang dahulunya beragama lain, tetapi berkat keikhlasan dan
kebaktian kepada Allah, maka dia ditarik kepada Islam dan mengalami
ajaran-ajarannya."
0 comments:
Post a Comment