Sebuah kapal yang sarat dengan muatan dan bersama 200
orang temasuk ahli perniagaan berlepas dari sebuah pelabuhan di Mesir. Apabila
kapal itu berada di tengah lautan maka datanglah ribut petir dengan ombak yang
kuat membuat kapal itu terumbang-ambing dan hampir tenggelam. Berbagai usaha
dibuat untuk mengelakkan kapal itu dipukul ombak ribut, namun semua usaha
mereka sia-sia sahaja. Kesemua orang yang berada di atas kapal itu sangat cemas
dan menunggu apa yang akan terjadi pada kapal dan diri mereka.
Ketika semua orang berada dalam keadaan cemas,
terdapat seorang lelaki yang sedikitpun tidak merasa cemas. Dia kelihatan
tenang sambil berzikir kepada Allah S.W.T. Kemudian lelaki itu turun dari kapal
yang sedang terunbang-ambing dan berjalanlah dia di atas air dan mengerjakan
solat di atas air.
Beberapa orang peniaga yang bersama-sama dia dalam
kapal itu melihat lelaki yang berjalan di atas air dan dia berkata, "Wahai
wali Allah, tolonglah kami. Janganlah tinggalkan kami!" Lelaki itu tidak
memandang ke arah orang yang memanggilnya. Para peniaga itu memanggil lagi,
"Wahai wali Allah, tolonglah kami. Jangan tinggalkan kami!"
Kemudian lelaki itu menoleh ke arah orang yang
memanggilnya dengan berkata, "Apa hal?" Seolah-olah lelaki itu tidak
mengetahui apa-apa. Peniaga itu berkata, "Wahai wali Allah, tidakkah kamu
hendak mengambil berat tentang kapal yang hampir tenggelam ini?"
Wali itu berkata, "Dekatkan dirimu kepada
Allah."
Para penumpang itu berkata, "Apa yang mesti kami
buat?"
Wali Allah itu berkata, "Tinggalkan semua
hartamu, jiwamu akan selamat."
Kesemua mereka sanggup meninggalkan harta mereka.
Asalkan jiwa mereka selamat. Kemudian mereka berkata, "Wahai wali Allah,
kami akan membuang semua harta kami asalkan jiwa kami semua selamat."
Wali Allah itu berkata lagi, "Turunlah kamu semua
ke atas air dengan membaca Bismillah."
Dengan membaca Bismillah, maka turunlah seorang demi
seorang ke atas air dan berjalan meng hampiri wali Allah yang sedang duduk di
atas air sambil berzikir. Tidak berapa lama kemudian, kapal yang mengandungi
muatan beratus ribu ringgit itu pun tenggelam ke dasar laut.
Habislah kesemua barang-barang perniagaan yang
mahal-mahal terbenam ke laut. Para penumpang tidak tahu apa yang hendak dibuat,
mereka berdiri di atas air sambil melihat kapal yang tenggelam itu.
Salah seorang daripada peniaga itu berkata lagi,
"Siapakah kamu wahai wali Allah?"
Wali Allah itu berkata, "Saya ialah Awais
Al-Qarni."
Peniaga itu berkata lagi, "Wahai wali Allah,
sesungguhnya di dalam kapal yang tenggelam itu terdapat harta fakir-miskin
Madinah yang dihantar oleh seorang jutawan Mesir."
WaliAllah berkata, "Sekiranya Allah kembalikan
semua harta kamu, adakah kamu betul-betul akan membahagikannya kepada
orang-orang miskin di Madinah?"
Peniaga itu berkata, "Betul, saya tidak akan
menipu, ya wali Allah."
Setelah wali itu mendengar pengakuan dari peniaga itu,
maka dia pun mengerjakan solat dua rakaat di atas air, kemudian dia memohon
kepada Allah S.W>T agar kapal itu ditimbulkan semula bersama-sama hartanya.
Tidak berapa lama kemudian, kapal itu timbul sedikit
demi sedikit sehingga terapung di atas air. Kesemua barang perniagaan dan
lain-lain tetap seperti asal. Tiada yang kurang.
Setelah itu dinaikkan kesemua penumpang ke atas kapal
itu dan meneruskan pelayaran ke tempat yang dituju. Apabila sampai di Madinah,
peniaga yang berjanji dengan wali Allah itu terus menunaikan janjinya dengan
membahagi-bahagikan harta kepada semua fakir miskin di Madinah sehingga tiada
seorang pun yang tertinggal. Wallahu a'alam.
0 comments:
Post a Comment