Adapun terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj adalah
kerana bumi merasa bangga dengan langit. Berkata dia kepada langit, "Hai
langit, aku lebih baik dari kamu kerana Allah S.W.T. telah menghiaskan aku
dengan berbagai-bagai negara, beberapa laut, sungai-sungai, tanam-anaman,
beberapa gunung dan lain-lain."
Berkata langit, "Hai bumi, aku juga lebih elok
dari kamu kerana matahari, bulan, bintang-bintang, beberapa falah, buruj,
'arasy, kursi dan syurga ada padaku."
Berkata bumi, "Hai langit, ditempatku ada rumah
yang dikunjungi dan untuk bertawaf para nabi, para utusan dan arwah para wali
dan solihin (orang-orang yang baik)."
Bumi berkata lagi, "Hai langit, sesungguhnya
pemimpin para nabi dan utusan bahkan sebagai penutup para nabi dan kekasih
Allah seru sekalian alam, seutama-utamanya segala yang wujud serta kepadanya
penghormatan yang paling sempurna itu tinggal di tempatku. Dan dia menjalankan
syari'atnya juga di tempatku."
Langit tidak dapat berkata apa-apa, apabila bumi
berkata demikian. Langit mendiamkan diri dan dia mengadap Allah S.W.T dengan
berkata, "Ya Allah, Engkau telah mengabulkan permintaan orang yang
tertimpa bahaya, apabila mereka berdoa kepada Engkau. Aku tidak dapat menjawab
soalan bumi, oleh itu aku minta kepada-Mu ya Allah supaya Muhammad Engkau
dinaikkan kepadaku (langit) sehingga aku menjadi mulia dengan kebagusannya dan
berbangga."
Lalu Allah S.W.T mengabulkan permintaan langit,
kemudian Allah S.W.T memberi wahyu kepada Jibrail A.S pada malam tanggal 27
Rejab, "Janganlah engkau (Jibrail) bertasbih pada malam ini dan engkau
'Izrail jangan engkau mencabut nyawa pada malam ini."
Jibrail A.S. bertanya, " Ya Allah, apakah kiamat
telah sampai?"
Allah S.W.T berfirman, maksudnya, "Tidak, wahai
Jibrail. Tetapi pergilah engkau ke Syurga dan ambillah buraq dan terus pergi
kepada Muhammad dengan buraq itu."
Kemudian Jibrail A.S. pun pergi dan dia melihat 40,000
buraq sedang bersenang-lenang di taman Syurga dan di wajah masing-masing
terdapat nama Muhammad. Di antara 40,000 buraq itu, Jibrail A.S. terpandang
pada seekor buraq yang sedang menangis bercucuran air matanya. Jibrail A.S.
menghampiri buraq itu lalu bertanya, "Mengapa engkau menangis, ya
buraq?"
Berkata buraq, "Ya Jibrail, sesungguhnya aku
telah mendengar nama Muhammad sejak 40 tahun, maka pemilik nama itu telah
tertanam dalam hatiku dan aku sesudah itu menjadi rindu kepadanya dan aku tidak
mahu makan dan minum lagi. Aku laksana dibakar oleh api kerinduan."
Berkata Jibrail A.S., "Aku akan menyampaikan
engkau kepada orang yang engkau rindukan itu."
Kemudian Jibrail A.S. memakaikan pelana dan kekang
kepada buraq itu dan membawanya kepada Nabi Muhammad S.A.W. Wallahu'alam.
Buraq yang diceritakan inilah yang membawa Rasulullah
S.A.W dalam perjalanan Israk dan Mikraj.
0 comments:
Post a Comment